Saturday, 27 February 2016

BELAGA PUNYA CERITA!


DAHULU kawasan ini mempunyai satu kerusi DUN sahaja tetapi untuk PRN Ke-11 ini ianya sudahpun dibahagikan kepada 2 kerusi dengan menampilkan N65 Belaga dan N66 Murum.  Kedua-dua kerusi ini mempunyai jumlah pengundi berdaftar yang hampir sama banyak iaitu N65 Belaga seramai 7,218 pengundi manakala N66 Murum seramai 7648 pengundi.  Dan majoriti pengundi di kedua-dua kawasan ini adalah dari Kaum Orang Ulu Sarawak. 
Setelah Murum disahkan sebagai antara salah satu kerusi baru untuk PRN Ke-11 ini iaitu sejak dari tahun 2015 lagi telah terdengar corat-coret akar umbi di Murum mahukan kerusi Murum diserahkan untuk diwakili oleh PBB.  Ini kerana dikatakan PBB di Murum lebih dekat dengan rakyat berdasarkan jumlah keanggotaan PBB yang ramai di Murum berbanding di PRS. 
Tetapi di dalam pada itu, sejak dari awal-awal lagi PRS sudah menyatakan bahawa Murum  adalah untuk mereka dan diwar-warkan bahawa mereka akan meletakkan calon PRS dari etnik Kenyah untuk Murum.  Disamping itu mereka akan terus mempertahan Belaga yang juga akan diwakili oleh PRS, antara parti komponen BN Sarawak. 
Di dalam keasyikan cerita parti manakah yang menjadi “Winnable Candidate” untuk N66 Murum ini tersebar pula cerita di Belaga yang tidak berapa enak didengar.  Ada segelintir kumpulan di Belaga yang sekarang sedang menghembus angin taufan di Belaga iaitu mengenai Adun Belaga sekarang yang dikatakan tidak memperjelaskan mengenai isu wang royalti Hidro Bakun dan juga wang RM20 juta daripada Ketua Menteri Sarawak yang tidak sampai kepada rakyat yang sebenarnya. 
Jika benar hal ini berlaku maka sepatutnya Adun yang berkenaan mencari inisiatif terbaik berjumpa dengan rakyat Belaga itu sendiri agar hal ini tidak akan menjejaskan sebarang keputusan sewaktu PRN Ke-11 nanti.  Kadang-kadang kita kena akur dengan bidalan orang lama-lama.. Hanya kerana nila setitik habis susu sebelanga.  

No comments:

Post a Comment