Sunday, 14 February 2016

RASIONALNYA 22 JULAI 1963


“KITA menuntut Putrajaya untuk mengiktiraf 22hb Julai sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak dan juga cuti umum untuk negeri Sarawak bukan bermakna kita hendak keluar dari Malaysia” –Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak.

Sudah terang lagi bersuluh, apa yang diperkatakan oleh KM Datuk Adenan itu merupakan antara janjinya untuk membawa kembali autonomi yang menjadi hak kita.  Sememangnya tiada apa yang harus ditakuti oleh Putrajaya kerana 22 Julai 1963 merupakan tarikh “self-governing” Sarawak sebagai sebuah Negara yang merdeka daripada penjajahan Koloni British Borneo.  Jadi mengiktirafkan tarikh keramat itu juga adalah antara sesuatu yang bermakna kepada rakyat Sarawak Bumi Kenyalang khususnya. 

Menyelusuri sejarah Sarawak ini membuktikan iaitu pada tahun 1962 menyaksikan satu pilihanraya dibawah seliaan Koloni British Borneo dilangsungkan di Sarawak. Parti-parti politik seperti
SNAP, PANAS, SUPP dan PESAKA yang merupakan parti politik tempatan Sarawak turut bertanding bagi membentuk satu kabinet berkerajaan sendiri.  SNAP menang besar di dalam pilihanraya 1962.

Usai pilihanraya tersebut barulah Gabenor British iaitu Sir Alexander Waddel bersama-sama dengan rakyat Sarawak menyaksikan upacara bersejarah iaitu menurunkan bendera Union Jack dan seterusnya menaikkan bendera Sarawak di Round Tower pada tanggal 22hb Julai 1963.  Simbolik kepada penurunan bendera ini merupakan salah satu daripada amalan untuk setiap Negara yang menuju kepada kemerdekaan. 

Sehari sebelum hari bersejarah itu iaitu pada tanggal 21hb Julai 1963, dengan mandat daripada Koloni British akhirnya seorang anak watan Sarawak iaitu Tan Sri Datuk Stephen Kalong Ningkan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama.  Dan pada tanggal 23hb Julai 1963, lahirlah pula barisan kabinet Sarawak yang pertama yang dianggotai oleh anak Sarawak iaitu Abdul Taib bin Mahmud, James Wong Kim Ming, Dustan Endawi anak Enchana, Awang Hipni bin Pengiran Anu dan Teo Kui Seng. 

Sejarah ini tidak boleh diperlekehkan kerana ianya sememangnya membuktikan bahawa Sarawak itu merdeka pada 22hb Julai 1963 walaupun ada suara-suara sumbang mengatakan ianya “Fake Independence” kerana 54 hari selepas itu Sarawak membentuk Malaysia pada tanggal 16 September 1963 malahan sepanjang tempoh tersebut menurut mereka Sir Alexander Waddel masih lagi mengungguli kabinet Sarawak. 

Mungkin mereka yang bersuara sumbang tidak pernah berfikir bahawa sebagai sebuah Negara yang baru merdeka ianya umpama seperti bayi yang baru lahir. Sudah tentu banyak penyerahan tugas antara kerajaan memerlukan sedikit masa.  Dan mungkin mereka ini tidak mengetahui bahawa Kabinet Sarawak pada masa itu turut membuat usulan di Sarawak Supreme Council samada Sarawak mahu atau tidak menyokong penubuhan Malaysia dan ternyata Sarawak senada seirama dengan Malaya, North Borneo dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963. 

Jadi rasionalnya 22hb Julai 1963 itu sebagai tarikh kemerdekaan Sarawak terbukti di dalam sejarah.  Rakyat Sarawak mahukan ianya diiktiraf dan apa yang dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Adenan adalah dari rakyat Sarawak untuk Sarawak.  

No comments:

Post a Comment