Thursday, 25 February 2016

TINJAUAN UDARA




DUA pesawat Bombardier CL415 milik Unit Udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) melakukan tinjauan udara lebih 1,000 kaki dari paras laut bagi mengenalpasti beberapa lokasi kebakaran hutan gambut di Kuala Baram, sebelum kaedah semburan air dilepaskan dari pesawat.
Pengalaman mengikuti operasi membuktikan tugas unit ini bukanlah semudah yang disangka dan tidak seindah yang disaksikan.
Tiupan angin kencang dan cuaca panas selain laluan trafik sepanjang Sungai Batang Baram dengan aktiviti perkapalan dan halangan kayu balak hanyut, antara cabaran yang terpaksa ditempuhi Komander Azizan Mohd Bujang dan 13 lagi krew sepanjang dua hari operasi khas APMM di Miri.

Setiap satu pesawat melakukan enam jam penerbangan sehari, purata 30 kali semburan udara dengan kapasiti 6,000 liter air dilepaskan. Kos untuk satu jam operasi ini mencecah RM25,000.
Operasi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri memadam kebakaran, yang lokasinya sukar ditembusi melalui jalan darat ini menarik perhatian masyarakat Miri yang kagum dengan tugas murni mereka, sebaik sahaja sebahagian rakaman video operasi udara viral di media sosial tempatan.
Komander Azizan yang berasal dari Kampung Semerah Padi, Kuching dan anggota bawahannya turut mendapat sokongan moral dan penghargaan terima kasih dari Dato Sebastian Ting, Adam Yii dan Datuk Lee Khim Shin, tiga calon SUPP~Barisan Nasional di Miri.

No comments:

Post a Comment