Tuesday, 23 February 2016

POLISI PENDIDIKAN … SALAHKAH CM SARAWAK?


APABILA Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan hendak meminta autonomi pendidikan seperti yang termaktub sewaktu Perjanjian Malaysia 1963 dan juga IGC Report ramai rakyat Sarawak yang menyokong usaha beliau.  Ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia sudah mengetahui betapa dasar pendidikan ini amat mustahak untuk membentuk satu generasi yang berilmu dan berkualiti. 

Pada tanggal 13hb November 2015, Datuk Adenan sekali lagi menekan kepada Putrajaya bahawa beliau serius untuk memastikan bahawa Sarawak juga turut diberi ruang untuk membuat keputusan mengenai Dasar Pendidikan Negara.  Di dalam pada itu, beliau juga turut menekankan bagaimana subjek Sejarah yang dipelajari sekarang harus juga dirombak kerana dikatakan berat sebelah seperti Sarawak itu tidak mempunyai sejarah dengan “memenangkan” sejarah di pihak Semenanjung Malaysia. 

Kemudian, isu pendidikan sekolah Cina di Sarawak melalui pengiktirafan kepada UEC (Unified Examination Certificate) iaitu satu peperiksaan untuk pelajar-pelajar yang menuntut di sekolah aliran Cina pula diperjuangkan beliau.  Jika dahulunya UEC langsung tidak dapat memberikan apa-apa keistimewaan kepada pelajar di sekolah persendirian Cina namun atas inisiatif beliau UEC berkelayakan untuk memohon biasiswa Yayasan Sarawak jika hendak melanjutkan pelajaran.  Bukan itu sahaja, mereka juga berkelayakan untuk memasuki sektor awam Kerajaan Negeri Sarawak. 

Di sebalik sokongan dari rakyat Sarawak ternyata ada juga suara-suara sumbang yang mempertikaikan kesungguhan Datuk Adenan dengan polisi pendidikan ini.  Lebih-lebih lagi daripada pihak pembangkang terutamanya DAP yang mula memainkan isu ini sebagai meraih simpati ke atas mereka. Memang sudah nyata sama sekali DAP lebih gemar untuk berpolitik daripada membela untung nasib masyarakat Cina itu sendiri yang menjadi penyokong kuat mereka. 

Mungkin sudah terdesak kerana parti pembangkang seperti hilang punca dikala usaha Datuk Adenan sudah mampu meraih kepercayaan penyokong mereka selama ini sehingga membuatkan mereka melakukan apa sahaja untuk menggagalkannya. Dahulu, pihak pembangkang Sarawak sering mengwar-warkan bahawa mereka mahu menjadi “check and balance” di dalam kerajaan tetapi sekarang mengapa hendak memutarbelit kenyataan?

Tidak bolehkah pihak pembangkang menyokong tindakan ini kerana sewajarnya kita jauhkan isu pendidikan daripada alam politik.  Yang penting sekarang adalah memastikan bahawa generasi muda kita akan tidak terpalit dengan kancah-kancah polisi yang terumbang-ambing. Kita buang jauh-jauh segala hal “survival politik” sebaliknya kita jadikan misi dan visi kita menjadi rakyat Sarawak yang berilmu itu sebagai satu yang utama. 

Salahkah Ketua Menteri Sarawak memperjuangkan autonomi Pendidikan untuk kita?

Tepuk Dada Tanya Iman. 

No comments:

Post a Comment