Wednesday 17 February 2016

DARI TULANG RUSUK KIRI LELAKI, LAHIRLAH SRIKANDI


DARI tulang rusuk kiri lelaki, lahirlah srikandi… inilah kata-kata perumpamaan untuk golongan wanita-wanita kita.
  Tiada yang boleh menafikan betapa wanita itu juga adalah antara tiang sandaran untuk memperkuatkan sesuatu bangsa mahupun Negara.

Berbicara corat-coret politik di Sarawak, sememangnya tidak pernah kurang ahli politik di Sarawak yang terdiri daripada golongan wanita.  Sejak berdirinya Sarawak, Malaysia itu sendiri menyaksikan dunia politik Sarawak diwarnai nama-nama besar seperti Datuk Ajibah Abol yang merupakan Menteri Wanita Pertama di dalam Kabinet Sarawak suatu waktu dahulu.  Tidak kurang juga Datuk Paduka Jorkinah Hashim @ Sitom yang mewarnai dunia politik Sarawak sewaktu pembentukan Malaysia suatu waktu dahulu. 

Dan sekarang kita diwarnai dengan nama-nama besar ahli politik wanita Sarawak yang diberikan kepercayaan untuk mengungguli kementerian-kementerian besar Kabinet Malaysia seperti Datuk Paduka Rohani Karim (Kementerian Pembangunan Wanita Dan Masyarakat) dan Hajjah Nancy Syukri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).  Ini merupakan menteri wanita Sarawak di peringkat persekutuan sekarang. 

Di dalam lanskap politik Sarawak sendiri sekarang hanya ada beberapa kerat nama ahli politik wanita Sarawak seperti YB Puan Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (N07 Semariang), Yb Puan Hajjah Simoi Peri (N28 Lingga), YB Datin Hajjah Fatimah Abdullah (N56 Dalat) dan YB Puan Rosey Yunus (N71 Bekenu).  Inilah sahaja nama-nama ahli politik wanita Sarawak yang masih lagi mengungguli lanskap politik iaitu hanya 4 kerusi berbanding daripada 71 kerusi pada PRN Ke-10 2011 lepas yang didominasi oleh ahli politik lelaki Sarawak. 

Bukannya untuk menimbulkan rasa kurang senang dengan usulan “gender competition” namun begitu sudah sampai masanya calon-calon pilihanraya untuk PRN Ke-11 ini juga turut menampilkan lebih ramai ahli politik wanita Sarawak. Hakikatnya di Sarawak tidak pernah ketandusan wanita-wanita yang berwibawa untuk mengemudi sesuatu kawasan di dalam DUN Sarawak kelak. 

Selain daripada itu janganlah hanya memberi peluang untuk bertanding sahaja sebaliknya sekiranya menang kelak, berilah juga peluang untuk mereka memegang jawatan Menteri kerana buat masa sekarang hanya ada YB Puan Hajjah Fatimah Abdullah (Menteri di
Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak) dan YB Puan Rosey Yunus (Menteri Muda di Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak) yang mengungguli Kabinet Negeri Sarawak manakala YB Puan Hajjah Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pula sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri. 

Adalah diharap dibawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Datuk Adenan akan boleh memberikan lebih “keadilan” buat wanita-wanita Sarawak berbakti dan berkhidmat untuk lebih berkesan kepada masyarakat. 

Tangan Yang Menghayun Buaian Itu Juga Boleh Mengoncangkan Dunia!


No comments:

Post a Comment