Thursday, 11 February 2016

MUKABUKU DAN KITA

DAHULU sebelum ada “dunia maya” ramai antara kita duduk di tepi radio mendengar khabar berita untuk hebahan semua. Kemudian menjelma pula televisyen walaupun berbentuk hitam putih yang cuma ada 1 siaran dan sekali lagi inilah dunia hebahan untuk kita. Sejajar dengan peredaran zaman maka segalanya begitu cepat dan pantas muncullah pula internet dengan adanya “dunia maya” berbentuk blogs dan banyak lagi. Dan yang paling terserlah adalah mukabuku @ facebook, twitter, instagram, whassap dan banyak lagi.
“Connecting People” itulah motto mukabuku dan hakikatnya ianya benar-benar menghubungkan manusia seantero dunia. Kerana mukabuku rakan taulan, keluarga kita boleh menjejak kasih. Kerana mukabuku ada yang bertemu jodoh sehingga ke jinjang pelamin. Kerana muka buku juga berita yang dahulunya berminggu-minggu baru kita ketahui, sekarang di dalam tempoh beberapa saat sahaja. Ini hanya sebahagian implikasi positif mukabuku yang kita tidak boleh nafikan sama sekali.
Namun di dalam kebaikan mesti ada keburukan kerana ada sesetengah individu menjadikan mukabuku sebagai satu “drama” penghidupan yang hendak didendangkan. Kerana mukabuku juga ada suami isteri yang bercerai berai. Kerana mukabuku juga menjadikan diri kita tidak selamat kerana petualang yang sering menangguk di air keruh ada di mana-mana. Kerana mukabuku juga fitnah atau perkara yang tidak benar berleluasa sehingga kita sendiri yang keliru yang mana satu kepalsuan dan kenyataan. 
Sekarang, mukabuku juga mewarnai politik seantero dunia dan tidak terkecuali di Negara kita Malaysia. Tanpa kita sedari kempen di dunia politik ini bermula sepanjang tahun dan bukannya menunggu masa pilihanraya sahaja. Mukabuku juga menjadi landas penilaian prestasi maya kepada setiap wakil rakyat kita. Mukabuku juga menjadi jentera maya parti-parti dan ahli politik untuk memberitahu rakyat apa yang diusulkan akan menjadi kenyataan dan mukabuku juga menjadi tiang propaganda samada yang berbentuk konspirasi mahupun fitnah politik.  
Rumusannya hampir segenap aspek penghidupan juga berkisar tentang mukabuku dan kita. Dari isu sosial sehinggalah ke ekonomi segalanya “click to facebook”. “Sharing is caring” juga harus berhati-hati dan kita harus memastikan apa yang dikongsikan itu benar-benar sahih ataupun akhirannya kita yang disalahkan. Jadi terpulang kepada kita untuk menterjemah kegunaannya. Mukabuku dan kita "berpisah tiada".

No comments:

Post a Comment