Monday, 8 February 2016

BANJIR DI LUAR JANGKAAN


RAMAI penduduk dari kawasan Taman Malihah, Matang tidak menduga mengalami musibah banjir, tahun ini.
Sejak awal pagi hujan lebat berterusan, selama tiga jam mengakibatkan limpahan air dari dua sungai berhampiran iaitu Sungai Singai dan Sungai Tengah memburukkan lagi keadaan, memaksa ramai penduduk dari kawasan terbabit berpindah ke pusat pemindahan sementara banjir.
Paras air Sungai Sarawak di kawasan Malihah, Matang juga mencatatkan paras 8.02 meter melepasi tahap bahaya iaitu 7.4 meter.
Setakat jam 1.00 pagi tadi, jumlah penduduk yang dipindahkan ke Dewan Serbaguna Taman Malihah, seramai 1,138 orang dari 242 keluarga dan Dewan Sinaran Lumut, 28 orang (7 keluarga). Ini menjadikan jumlah terkini mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara banjir adalah 1,166 orang
Dua lagi pusat pemindahan banjir tambahan sudah dibuka iaitu di SRK Sri Datuk Haji Mohamad dan Kampung Rantau Panjang.
Laporan terkini, mengingatkan para penduduk yang mendiami kawasan berhampiran Sungai Batu Kitang supaya berjaga~jaga dan bersiap sedia untuk berpindah berikutan gelombang banjir boleh berlaku bila~bila masa.
Paras air di kawasan Batu Kitang, Rantau Panjang dan pekan Batu Kawa dijangka naik mendadak sekiranya hujan turun berterusan selain kini sedang berlakunya fenomena air pasang besar.
Sejak semalam, beberapa kawasan di sekitar Matang, Batu Kawa, Kampung Buso di Bau dan lain~ lain kawasan di sekitar Kuching sudah dinaiki air. 

No comments:

Post a Comment