Saturday, 20 February 2016

EPISOD BADAI MENGHEMPAS DUN LINGGA…. APAKAH KESUDAHANNYA?


DI TENGAH-TENGAH kerancakan Bahagian Sri Aman yang sekarang sedang mentransformasikan bahagiannya agar searas dengan Bandar-bandar besar yang lain di Sarawak, Lingga pula mempunyai ceritanya yang tersendiri.
 
Lingga salah satu kerusi dewan undangan negeri Sarawak yang berabad lamanya diwakili oleh PBB-Sarawak dan sejak dari PRN Ke-10 2011 ianya diwakili oleh YB Puan Hajjah Simoi Peri.  Untuk rekod pada PRN 2011 ini beliau memenangi kerusi N28 Lingga dengan undian sebanyak 3652 undi mengatasi 2 lawannya iaitu Abang Ahmad Arabi Abang Bolhassan (PR) dan Abang Othman bin Abang Haji Gom (SNAP). 
Namun di dalam ketenangan Lingga yang juga terkenal dengan masyarakat Melayu dan Ibannya yang kaya dengan hasil laut ini rupa-rupanya ada juga episode badai menghempas Lingga.  Di dalam corat coret sejak di akhir tahun 2015 lagi yang mana Datuk Adenan sebagai Pengerusi BN Sarawak telah memberikan mandat awal kepada YB Puan Hajjah Simoi Peri untuk terus mewakili Linggi, baru-baru ini bertiup kencang akan permintaan rakyat Lingga mempersoalkan kewajarannya.
Banyak isu-isu pembangunan yang diutarakan oleh rakyat Lingga yang tidak berpuashati dengan YB mereka.  Mereka mempersoalkan mengapa Lingga masih lagi keterbelakang dari isu pembangunan.  Contohnya mengenai Pasar Lingga yang masih daif dan tiada bezanya dengan pasar lingga di tahun 1970an. 
Bukan itu sahaja isu seperti bekalan air bersih untuk kawasan pedalaman Lingga juga turut diutarakan secara sinis oleh rakyat Lingga sehingga ada yang mengatakan memang ada air paip dibekalkan tetapi kepala paipnya ada tetapi airnya tiada.  Dan kalau ada sekalipun air paip yang didapati kekuningan seumpama membekalkan air tanah kepada rakyat Lingga.  Jika hendak membuat “wish list” dari rakyat Lingga ini sudah tentu banyak dan disini hanya mampu menulis apa adanya. 
Natijahnya ekoran daripada ketidakpuasan hati segelintir rakyat Lingga sehingga ada yang berani membuka fb page atas nama “Undur Semoi” baru-baru ini.  Dan ianya menjadi berpanjangan apabila ahli PBB Lingga membuat satu laporan polis bagi mencari dalang kepada pentadbir page “Undur Semoi” yang cuba menghasut rakyat di Lingga. 
Hakikatnya, YB Lingga ini bukanlah seorang ADUN yang hanya berpeluk tubuh semata-mata.  Di dalam kekalutan DUN Lingga ini banyak juga yang telah beliau usahakan.  Mungkin usaha beliau belum cukup kuat lagi untuk menambat hati rakyat Lingga. 
Apakah badai yang menghempas DUN Lingga ini akan berakhir dengan baik kerana kuasa pengundi itu terletak pada rakyat Lingga itu sendiri.  Atau adakah dengan adanya ketidakpuasan hati ini akan menyebabkan YB Lingga ini tidak tersenarai sebagai “Winnable Candidate” apabila menjelang penamaan calon PRN Ke-11 kelak.  Kita tunggulah kesudahannya nanti. 

No comments:

Post a Comment