Thursday, 4 February 2016

MILIK SIAPA BEKENU?


TINDAKAN penyandang kerusi Bekenu 'melompat parti' mencetuskan polemik politik berterusan sehingga ke peringkat akar umbi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke~11, status sebenar YB Rosey Yunus yang memenangi kerusi Bekenu atas tiket SPDP masih menjadi tanda tanya di kalangan majoriti pengundi tradisi Melayu~Kedayan dan Iban, yang pernah membantu kejayaan Rosey selama dua penggal.
Keputusan Rosey meninggalkan SPDP dan memilih berada di kem Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) 'merumitkan lagi kedudukannya' menjelang pilihan raya kali ini, meskipun terdapat pertambahan 11 lagi kerusi baharu.
Status sebenar kerusi Bekenu kini kembali hangat diperkatakan bukan sahaja di peringkat atasan tetapi menular di kedai~kedai kopi.
Menjelang PRN Ke~11, kesamaran status DUN Bekenu samada terus diterajui semula Rosey yang menganggotai parti TERAS (ketika ini), memberi laluan kepada Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Ranting Bekenu menyusun strategi mengintai peluang agar kerusi Bekenu yang 'dipinjamkan kepada parti SPDP' dikembalikan kepada PBB, bertepatan hasrat mantan Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud (perkara ini pernah disuarakan beliau dalam satu majlis bersama rakyat Bekenu).
Peringkat akar umbi senada pendapat dengan barisan kepimpinan PBB Ranting Bekenu yang menuntut agar 'kerusi yang pernah dipinjam dipulangkan kepada pemilik asalnya' sebagai jalan penyelesaian terbaik mengatasi kemelut tiga parti yang berebutkan kerusi Bekenu.
Sekiranya kerusi Bekenu 'dipulangkan ke pemilik asal' bukanlah sesuatu yang 'mustahil mencalonkan semula' mantan YB Datuk Yusop Sani Wahap untuk kembali bertanding.
Memilih calon yang dikenalpasti dapat memberikan kemenangan besar adalah keutamaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak pada pilihan raya kali ini. Mungkinkah sekali lagi Datuk Adenan mengumumkan 'satu kejutan sirih pulang ke gagang' bagi DUN Bekenu?
Ramai ahli PBB yang pernah seangkatan dengan mantan YB Datuk Yusop Sani Wahap dan Datuk Aidan Wing yakin jika kerusi Bekenu diduduki semula oleh PBB, majoriti kemenangan besar diraih PBB~BN Sarawak dan bukti jelas kepimpinan Datuk Adenan amat disenangi rakyat luar bandar.
Rekod prestasi mantan YB yang kini merupakan Ketua Penerangan PBB Sarawak ini tidak perlu dipertikaikan. Kalangan media yang rapat dengan beliau menyifatkan Datuk Yusop Sani Wahap, seorang wakil rakyat yang masih ramai penyokong di peringkat akar umbi sehingga ke hari ini, usaha dan suaranya demi kepentingan rakyat kawasan.
DUN Bekenu diwujudkan berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya Lambir. Senarai pengundi DUN Bekenu, majoritinya pengundi tradisi Lambir selain pengundi muda yang baharu berdaftar. 

No comments:

Post a Comment