Tuesday, 9 February 2016

OPERASI SAR MANGSA LEMAS DI PANTAI BELAWAI, TANJUNG MANIS

USAHA mencari dan menyelamat dua mangsa lemas di Pantai Belawai, Sarikei tidak hanya diserahkan kepada anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Sibu.
Sebaliknya orangramai dari Kampung Belawai, Jerijeh, Rajang dan Tanjung Manis bekerjasama dengan pasukan mencari dan menyelamat sejak kejadian berlaku, lewat petang semalam sehingga operasi ditangguhkan sementara tengahmalam tadi berikutan keadaan gelap dan arus ombak yang kuat.
Hari ini seawal selepas Subuh tadi, operasi mencari dua mangsa, Armi Armira bin Pendita, 27 tahun dan Mohd Hanis bin Tajuddin, 16 tahun, kedua~duanya berasal dari Kampung Jerijeh, Tanjung Manis, Sarikei diperhebatkan lagi dengan penglibatan 13 buah kapal tunda dan 7 buah bot kecil, selain bot penyelamat dari Polis Marin Sarikei dan bot pasukan Bomba dan Penyelamat Sibu.
Pemilik bot persendirian dari kawasan berdekatan yang turut bersimpati dengan nasib kaum keluarga mangsa, secara sukarela membantu operasi mencari dan menyelamat.
Keadaan laut yang sedikit tenang berbanding semalam, meskipun cuaca agak mendung di Pantai Belawai memudahkan anggota mencari dan menyelamat memperluaskan kawasan operasi pencarian.
Sehingga artikel ini dimuatnaik, belum ada perkembangan terkini dari lokasi kejadian.
Pejabat Daerah Tanjung Manis sudah membuka satu bilik operasi khas bertempat di Bilik Mesyuaratnya untuk memudahkan segala urusan maklumat terkini disalurkan kepada pihak media dan waris mangsa kejadian.

No comments:

Post a Comment