Wednesday, 6 April 2016

CUKAI PINTU RUMAH RM50 SETAHUN DIHAPUSKAN

SEPERTI selalunya, sekali lagi Datuk Adenan menunaikan janjinya demi untuk mengimbangi bebanan rakyat yang terkesan oleh kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang. Satu demi satu banyak bebanan yang selama ini ditanggung rakyat telah dikurang mahupun dihapuskan sama sekali.
Kali ini cukai pintu pula mendapat gilirannya apabila SETIAP CUKAI PINTU RUMAH DIBAWAH RM50 SETAHUN AKAN DIHAPUSKAN menjelang 1 April 2016.  Ini bermakna tiada apa-apa yang perlu dibayar lagi oleh rakyat sekiranya cukai pintu rumah mereka dibawah RM50 setahun.  Untuk yang lebih daripada RM50 setahun pula hanya mendapat pengurangan. 
Terima kasih Datuk Adenan dan Kerajaan Negeri Sarawak kerana memahami kehendak rakyat. 
#SupportMyCM
#GiveAdenan5MoreYears 

TELOK MELANO “JATUH CINTA PANDANG PERTAMA”


LOKASINYA agak terpencil malah terletak di hujung persempadan Indonesia/Malaysia.  Namun begitu, daerah terpencil yang mendapat nama dari pohon yang banyak tumbuh melata di kawasannya iaitu  Pohon Melano atau nama botaninya Agenga Pinnata sebenarnya mempunyai keindahan serta ceritanya tersendiri.

Cerita silam Telok Melano banyak diwarnai dengan cerita perlanunan seperti yang dinyatakan oleh seorang pengarang bernama Noburo Ishikawa yang berjudul Between Frontiers: Nation and Identity In Southeast Asian Borderland.  Perlanunan ini berlaku ketika Sarawak dibawah pemerintahan Brooke sehingga pentadbiran Sarawak pada masa itu bersiap siaga dengan armadanya bagi mengawal kegiatan perlanunan yang bermaharajalela. 

Kemudian ketika era Konfrantasi Malaysia/Indonesia sekitar tahun 1960, Telok Melano juga merupakan kawasan hitam dengan penyeludupan sering berlaku sehingga memungkinkan pihak keselamatan Malaysia ditempatkan disini bagi membanteras segala onar yang berlaku. 

Itu cerita hitam di waktu zaman silamnya, namun sekarang Telok Melano adalah bumi yang aman damai dan keindahan pantainya yang putih bersih dengan air laut yang kebiruan boleh sahaja membuat pengunjung jatuh cinta pandang pertama padanya.  Tidak cukup dengan itu, kekayaan budaya masyarakat Telok Melano serta tradisi mereka juga turut mampu mengamit ramai pelancong mengunjunginya. 

Bagi pengunjung yang gemar akan riadah scuba diving serta memancing, Telok Melano mempunyai segala jawapan. Dan bagi mengalas perut usahlah dirisaukan kerana setiap enap desa menyediakan segala pakej hidangan yang segar dari lautan.  Enap desanya (homestay) pula, sudah sedia ada yang boleh memberikan seribu satu keselesaan kepada penginapnya.

Berabad lamanya Telok Melano hanya boleh dihubungi dengan menaiki pengangkutan bot yang diambil dari jeti Sematan.  Perjalanan dengan bot selama 45 minit itu juga boleh memberikan seribu satu kepuasan.  

Namun begitu sejajar dengan arus pembangunan, tidak lama lagi Telok Melano boleh terus dihubungi dengan jalan darat apabila jajaran Pan-Borneo Highway yang bermula dari Telok Melano siap kelak akan memudahkan setiap pengunjung mahupun rakyat Telok Melano untuk ke Sematan mahupun Lundu. 

Tuesday, 5 April 2016

NEGERI SARAWAK SEBUAH “NEGARA”?


JIKA di Semenanjung Malaysia, sistem pentadbiran negeri-negeri hanya dikenali dengan Exco Negeri dan diketuai oleh Ahli Exco.  Dan untuk di Sarawak mahupun Sabah mempunyai perbezaannya tersendiri kerana kedua-dua negeri ini merupakan salah satu daripada 4 entiti yang membentuk Gagasan Malaysia pada tanggal 16 September 1963. 

Di dalam konteks ini, untuk di Sarawak mahupun Sabah mempunyai agensi kementerian yang mana ianya setaraf dengan kementerian persekutuan.  Cuma yang membezakannya adalah wilayah di dalam bidangkuasanya yang hanya meliputi negeri Sarawak sahaja.

Inilah antara keistimewaan Sarawak Bumi Kenyalang jika dilihat dari sudut sistem pentadbirannya yang sudah tentu berlainan dengan negeri-negeri yang lain di Malaysia.  Setiap satu daripada kementerian-kementeriannya merupakan tunjang kekuatan kepada Kerajaan Negeri Sarawak di dalam melunaskan segala aspirasi rakyat Sarawak. 

Secara umumnya, pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak didokongi oleh 13 agensi kementerian.  Dan di setiap agensi kementerian itu dikawalselia oleh menteri-menterinya sendiri yang dilantik bagi memastikan segala pentadbiran berjalan lancar dibawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak. 

Agensi Kementerian di dalam Kerajaan Negeri Sarawak adalah seperti berikut:

1.   Pejabat Ketua Menteri Sarawak
2.   Kementerian Permodenan Pertanian Sarawak
3.   Kementerian Perancangan Sumber Dan Alam Sekitar Sarawak
4.   Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak
5.   Kementerian Pembangunan Tanah Sarawak
6.   Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak
7.   Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak 
8.   Kementerian Perumahan Sarawak
9.   Kementerian Pelancongan Sarawak
10. Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak
11. Kementerian Utiliti Awam Sarawak
12. Kementerian Pembangunan Industri Sarawak
13. Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak

Dan sudah tentu untuk 13 agensi kementerian ini mempunyai beberapa sub agensi yang mempunyai bidang kuasanya tertentu.  Untuk mengenal setiap sub agensi itu bolehlah terus ke link The Official Website of Sarawak Government. 

Jadi, apa yang disajikan di dalam artikel ini hanya kefahaman secara sepintas lalu di dalam kita cuba mengenali apakah negeri Sarawak itu yang sebenarnya melalui sudut pentadbiran kerajaannya.  Sebenarnya “keistimewaan” Sarawak itu banyak seperti yang dimeterai di dalam Malaysaia Agreement 1963 serta Malaysia, Report of the Inter-Governmental Committee 1962. 


Autonomi yang ada serta apa yang sedang diusahakan oleh Ketua Menteri, Datuk Adenan sekarang juga adalah salah satu daripadanya.  Memang ada yang cuba menangguk di air keruh apabila ramai yang tidak begitu memahami konsep pentadbiran Sarawak sendiri sehingga isu Sarawak sebuah Negara juga dijadikan modal berpolitik.   

Yang dimahukan Sarawak itu membangun dan maju serta mampu berdaya saing seperti Negara-negara lain di dunia biarpun hanya sebuah “negeri” di dalam Gagasan Malaysia.    



PROJEK BEKALAN ELEKTRIK LUAR BANDAR (BELB)

ANTARA kemudahan asas yang dituntut oleh penduduk luar Bandar di Sarawak adalah bekalan elektrik 24 jam. Seringkali faktor geografi Sarawak yang cukup luas serta penempatan yang berselerak dijadikan seribu satu alasan untuk rakyat menikmatinya. Dan kerana itulah apabila menjelang pilihanraya, inilah yang akan menjadi antara persoalan pokok yang diutarakan oleh rakyat.  
Projek BELB merupakan salah satu daripada projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memberi kemudahan kepada rakyat yang tidak dapat menerima bekalan elektrik melalui sistem grid yang sedia ada. Setakat ini terdapat beberapa kaedah projek BELB yang dijalankan di Sarawak seperti projek BELB Solar Hybrid, projek BELB Mikro HIdro, Projek BELB Alternatif dan Projek BELB Genset yang kebanyakannya sudahpun dibina di Sri Aman, Balingian, Belaga, Baram dan Lawas dengan jayanya. 
Sebenarnya projek BELB mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat dan dibiayai serta dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dan setiap satu kawasan yang dikenalpasti akan disenaraipendek oleh Kementerian Kemudahan Awam yang kemudiannya akan mengusahakan sesuatu kawasan itu untuk mendapat bekalan elektrik.
Dengan kaedah “Design and Build” maka projek BELB ini juga menuntut kerjasama daripada pemilik rumah kerana pendawaian dalaman adalah ditanggung sendiri oleh pemilik rumah dengan mendapat perkhidmatan daripada kontraktor yang berdaftar dengan Sarawak Energy Berhad (SEB). Ini kerana SEB hanya melakukan bidang kerja seperti penyediaan HT/LT Lines, Transformers, Voltage Regulators, Underground Cable Lines dan SEB meter.
Al-maklum dengan kos yang tinggi, Kerajaan Sarawak juga melalui kerjasama dengan SEB telah menyediakan satu kaedah yang dinamakan Assisted Wiring Scheme. Permohonan untuk mendapat skim ini boleh dilakukan dengan mengisi borang SEB dan beban kos bolehlah dikurangkan. 
Projek BELB ini adalah satu usaha berterusan sepanjang tahun kerana ianya juga merupakan salah satu NKRA Kerajaan Pusat. Dan Kerajaan Sarawak melalui kepimpinan Datuk Adenan juga turut meletakkan ini sebagai antara satu visi dan misi di dalam menyatakan maksudnya “We Go To Rural” yang bermakna beliau juga mahukan rakyat Sarawak di luar Bandar akan mendapat kemudahan asas seperti mereka yang tinggal di Bandar-bandar besar.  
Dikatakan kejayaan projek BELB ini sudah mencapai hampir 90% seperti yang diwar-warkan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Sarawak ketika merasmikan projek BELB untuk Kampung Sebako, Pulau Bruit dan Kampung Sedik, Belawai beberapa hari yang lepas. 
http://www.theborneopost.com/2016/03/30/rm20-1-juta-untuk-laksana-belb-di-sebako-pulau-bruit-sedik-belawai/
Apa yang disajikan dengan angka 90% itu cukup besar maknanya jika diterjemahkan boleh mengundang satu informasi yang berlainan. Kerana sehingga sekarang, masih lagi ada suara-suara rakyat di luar Bandar yang mahukan ianya direalisasikan segera. 
Mana-mana "calon YB" tidak kira atas tiket parti mana sekalipun harus melihat ini sebagai satu kewajipan dan bukannya satu janji manis menjelang pilihanraya ataupun menjadikannya satu sentimen bagi meraih undi kerana perlulah diingat pola pengundi sekarang tidak sama dengan pengundi pada PRN yang lepas. Segala maklumat hanya dihujung jari sahaja. Ingat Itu!

Monday, 4 April 2016

CALON PRS UNTUK N66 MURUM


SETELAH melalui pelbagai spekulasi mengenai satu kerusi baru iaitu DUN N66 Murum yang mana ianya menjadi rebutan antara SPDP dan PRS serta PBB sejak di tahun 2015 lagi.  Akhirnya segala teka teki terjawab apabila Datuk Adenan selaku Ketua Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional Sarawak mengumumkan DUN N66 Murum akan diwakili oleh Parti Rakyat Sarawak. 

DUN N66 Murum merupakan antara 11 kerusi baru DUN Sarawak mengikut persempadanan semula kawasan pilihanraya negeri Sarawak untuk tahun 2016 ini.  Dan seperti yang dijanjikan PRS telah menampilkan anak Kenyah sebagai calonnya untuk mewakili DUN N66 Murum iaitu Kennedy Chukpai Ugon, seorang ahli perniagaan serta banyak bergiat aktif di dalam sebuah organisasi masyarakat Kenyah Sarawak iaitu
The Sarawak Kenyah National Association (PKKS).

Dengan jumlah pengundi berdaftar 7,648 orang sudah tentu N66 Murum akan menyaksikan satu pilihanraya yang sengit.  Ini memandangkan banyak isu di Murum yang harus diambilkira oleh “bakal yb” Murum nanti.  Jadi ianya bukan sesuatu yang mudah sebaliknya menuntut satu usaha yang jitu bagi merungkai suasana di sana. 

Sunday, 3 April 2016

3 PENJURU LAGI DI DUN N72 LAMBIR?


TIADA spekulasi mengenai “Winnable Candidate” untuk DUN 72 Lambir kerana penyandangnya telah berkhidmat dengan penuh cemerlang.  Dan kerana itulah beliau dicalonkan semula bagi mempertahankan DUN N72 Lambir. 
Yang dimaksudkan adalah YB Ripin Lamat yang akan terus dikekalkan untuk menjadi “pahlawan” PBB-BN di DUN Lambir seperti yang diwar-warkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan di Lambir baru-baru ini.  Kecemerlangan beliau di DUN Lambir serta aura “Adenan Ways” akan memastikan PBB-BN terus berkuasa di Lambir untuk PRN Sarawak ke-11 nanti. 
Menurut corat-coret PRN Sarawak ke-11 yang akan diadakan bila-bila masa, dikatakan bahawa untuk DUN Lambir ini berkemungkinan besar pertandingan 3 penjuru akan diadakan.  Calon PKR iaitu Mohdar Ismail yang juga merupakan Ketua PKR Sibuti dikatakan sudah bersedia untuk menjadi calon Pakatan Harapan di Lambir.  
Manakala di kem PAS pula belum lagi bertanding sudah mempunyai keyakinan bahawa mereka mampu menawan Lambir melalui calon mereka iaitu Mohammad Ariafiazul Paijo, juga seorang anak tempatan Lambir.   
Dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 17,125 orang sudah tentu DUN 72 Lambir akan menyaksikan pertandingan yang menarik.  Untuk rekod, pada PRN Ke-10 2011 menyaksikan penyandang DUN Lambir iaitu YB Ripin Lamat mendapat undian sebanyak 4,625 undi sementara Zohaidah Suboh (PKR) 3,104 undi manakala Johari Bujang (SNAP) 683 undi.  

PROGRAM DARUL HANA




PROGRAM Darul Hana itulah satu program pembangunan dan pemodenan untuk 12 buah kampung di sepanjang Sungai Sarawak.  Ianya adalah satu projek yang akan mentransformasikan Darul Hana sebagai antara kampung Melayu termoden di Sarawak.

Program pembangunan ini bukanlah mampu dijayakan di dalam sekelip mata sebaliknya jangkamasanya sahaja sehingga ke 10 tahun lamanya.  Program Darul Hana yang menelan kos sebanyak RM120 juta dibahagikan kepada 10 blok pembangunan iaitu dengan berdirinya nanti pangsapuri, pusat komersial, institusi kesihatan dan pendidikan serta penyebaran dan pengembangan agama serta budaya.

Perkampungan Melayu yang terlibat di dalam Program Darul Hana ini adalah Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Sourabaya Ulu, Kampung Sourabaya Hilir, Kampung Semarang, Kampung Pulo Ulu, Kampung Pulo Hilir, Kampung Bintawa Ulu, Kampung Bintawa hilir, Kampung Bintawa Tengah, Kampung Panglima Seman Ulu dan Kampung Panglima Seman Hilir.
Buat masa sekarang, Fasa 1 telahpun hampir siap iaitu dengan terbinanya sebuah masjid yang dinamakan Masjid Darul Hana dengan lokasinya di Kampung Seberang Hilir, Kuching. Dengan kos sebanyak RM20 juta, pembinaan masjid dimulakan dahulu untuk Program Darul Hana sebagai tunjang kekuatan Islam serta simbolik kepada kelangsungan masyarakat Melayu di perkampungan yang terbabit.