Wednesday 6 April 2016

TELOK MELANO “JATUH CINTA PANDANG PERTAMA”


LOKASINYA agak terpencil malah terletak di hujung persempadan Indonesia/Malaysia.  Namun begitu, daerah terpencil yang mendapat nama dari pohon yang banyak tumbuh melata di kawasannya iaitu  Pohon Melano atau nama botaninya Agenga Pinnata sebenarnya mempunyai keindahan serta ceritanya tersendiri.

Cerita silam Telok Melano banyak diwarnai dengan cerita perlanunan seperti yang dinyatakan oleh seorang pengarang bernama Noburo Ishikawa yang berjudul Between Frontiers: Nation and Identity In Southeast Asian Borderland.  Perlanunan ini berlaku ketika Sarawak dibawah pemerintahan Brooke sehingga pentadbiran Sarawak pada masa itu bersiap siaga dengan armadanya bagi mengawal kegiatan perlanunan yang bermaharajalela. 

Kemudian ketika era Konfrantasi Malaysia/Indonesia sekitar tahun 1960, Telok Melano juga merupakan kawasan hitam dengan penyeludupan sering berlaku sehingga memungkinkan pihak keselamatan Malaysia ditempatkan disini bagi membanteras segala onar yang berlaku. 

Itu cerita hitam di waktu zaman silamnya, namun sekarang Telok Melano adalah bumi yang aman damai dan keindahan pantainya yang putih bersih dengan air laut yang kebiruan boleh sahaja membuat pengunjung jatuh cinta pandang pertama padanya.  Tidak cukup dengan itu, kekayaan budaya masyarakat Telok Melano serta tradisi mereka juga turut mampu mengamit ramai pelancong mengunjunginya. 

Bagi pengunjung yang gemar akan riadah scuba diving serta memancing, Telok Melano mempunyai segala jawapan. Dan bagi mengalas perut usahlah dirisaukan kerana setiap enap desa menyediakan segala pakej hidangan yang segar dari lautan.  Enap desanya (homestay) pula, sudah sedia ada yang boleh memberikan seribu satu keselesaan kepada penginapnya.

Berabad lamanya Telok Melano hanya boleh dihubungi dengan menaiki pengangkutan bot yang diambil dari jeti Sematan.  Perjalanan dengan bot selama 45 minit itu juga boleh memberikan seribu satu kepuasan.  

Namun begitu sejajar dengan arus pembangunan, tidak lama lagi Telok Melano boleh terus dihubungi dengan jalan darat apabila jajaran Pan-Borneo Highway yang bermula dari Telok Melano siap kelak akan memudahkan setiap pengunjung mahupun rakyat Telok Melano untuk ke Sematan mahupun Lundu. 

No comments:

Post a Comment