Wednesday 13 April 2016

YB SHARIFAH HASIDAH TERUS MEMPERTAHANKAN DUN N07 SEMARIANG


TRANSFORMASI DUN N07 Semariang dari hanya sebuah perkampungan Melayu ke sebuah kawasan yang pesat membangun sememangnya tidak boleh ditidakkan.  Malah dengan perumahan-perumahan baru juga menyaksikan kepadatan penduduk sudah mulai dirasa malah jumlah pengundi berdaftar di DUN ini semakin meningkat. 

Untuk PRN Ke-11 2016 ini sahaja menyaksikan DUN N07 Semariang mempunyai hampir 17,694 jumlah pengundi berdaftar yang sudah tentu ianya bukan kawasan DUN yang boleh dilihat sebelah mata sahaja.  Ditambahlagi, kawasan DUN ini juga terletak di Bandar iaitu di ibukota Kuching sendiri yang menuntut pemilihan untuk Yang Berkhidmat untuk rakyat jelata adalah di kalangan mereka yang benar-benar aktif dan berpandangan jauh. 

Dan kerana itulah sekali lagi dibawah kepimpinan Datuk Adenan telah meletakkan kepercayaan kepada YB Puan Sharifah Hasidah binti Sayeed Aman Ghazali iaitu penyandangnya untuk terus mempertahankan kerusi Adun N07.  Trek rekod beliau sepanjang berkhidmat untuk N07 membuktikan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin yang dekat di hati rakyat serta sentiasa menjadi sandaran bagi merealisasikan impian rakyat DUN Semariang sendiri. 

Jantina bukannya satu halangan besar untuk beliau malah sudah dibuktikan sejak di tahun 2006 lagi iaitu ketika beliau kali pertama terjun ke dunia politik Sarawak.  Puteri kepada satu lagi nama besar ahli politik wanita Sarawak iaitu Datuk Paduka Sharifah Mordiah bt Tuanku Fauzi ini seperti kata bidalan lama, ke manakah tumpahnya kuah jika tidak ke nasi kerana kepimpinan beliau juga sudah setanding dengan apa yang bonda beliau lakukan dahulu.    

Dari segi kerjaya, YB Puan Sharifah Hasidah merupakan seorang Peguam bertauliah iaitu berkelulusan sarjana undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.  Berpengalaman luas di dalam dunia perundangan sehingga mampu mempunyai firma guamannya sendiri iaitu Sharifah Hasidah & Co. Advocates yang beribu pejabat di Kuching, Sarawak.  Di pentas politik pula selain daripada ADUN Semariang, beliau juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi PBB serta turut dilantik pada tahun 2015 sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak sekarang. 

Seorang isteri, ibu, anak dan Peguam sudah tentu menuntut satu pengorbanan yang besar bagi seorang wanita bernama Puan Sharifah Hasidah.  Namun itu semua bukannya menjadi tembok penghalang untuk beliau melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang “Yang Berkhidmat” bagi DUN N07 Semariang dari dulu lagi malah kecemerlangan beliau terbukti sekali.    

Untuk rekod, ketika PRN ke-10 2011 menyaksikan rakyat di DUN Semariang telah memberikan mandate kepada beliau untuk menjadi ADUN mereka.  Pada ketika itu beliau bertanding atas tiket PBB-BN dengan lawannya adalah Zulrusdi bin Mohamad Hol dari PKR.  Beliau berjaya menewaskan lawannya dengan majoriti 5431 undi. 

No comments:

Post a Comment