Monday 11 April 2016

DATO’ IDRIS BIN HAJI BUANG, CALON PBB-BN DUN N16 MUARA TUANG


BARU sebentar tadi Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan Satem telah mengumumkan “Winnable Candidate” untuk DUN N16 Muara Tuang adalah Dato’ Idris Bin Haji Buang. Dengan itu tamatlah sudah segala spekulasi yang bertiup kencang siapakah yang layak untuk mewakili DUN N16 Muara Tuang pad PRN ke-11 ini nanti.
Dato’ Idris, 61 tahun merupakan seorang peguam dan berkelulusan undang-undang dari Universiti of Buckingham, England. Beliau mempunyai pengalaman yang luas di dalam dunia perundangan dan pernah menjadi Peguambela & Peguamcara untuk Mahkamah Tinggi Sarawak.
Mempunyai firma guamannya sendiri iaitu Idris Buang & Associates, Advocates and Solicitors yang ditubuhkan pada tahun 1986 sehingga sekarang. Jauh sebelum itu, hampir 7 tahun lamanya (1973-1979), beliau menjawat jawatan sebagai Inspektor Polis mengikut jejak langkah kaum keluarganya lain kerana beliau dilahirkan di kalangan keluarga polis.
Mula menceburkan diri di dalam dunia politik Sarawak sejak dari tahun 1983 lagi jadi Dato’ Idris merupakan antara barisan “orang lama” PBB Sarawak. Beliau juga adalah Ahli Majlis Tertinggi Parti dan juga merupakan Ketua Cawangan N11 Batu Lintang sekarang. Selain itu, Beliau merupakan salah seorang daripada 3 individu yang menjadi Jurucakap (Spokesman) untuk PBB Sarawak.
Oleh kerana mempunyai latarbelakang perundangan maka sehingga sekarang, Dato’ Idris merupakan Ahli Panel Penasihat Undang-undang PBB di dalam membantu menyemak perlembagaan PBB bagi melalui mana-mana Pilihanraya Negeri Sarawak mahupun Pilihanraya Umum (Parlimen) sejak dari tahun 1983 lagi.
Kecemerlangan beliau diteruskan apabila pada tahun 2000-2006, beliau dilantik menjadi Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak pada masa itu iaitu Tun Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud. Selepas itu beliau turut dilantik menjadi Senator Dewan Negara dari tahun 2005 sehingga 2011.
Dan apabila berbicara tentang dunia politik Muara Tuang bukanlah sesuatu yang asing bagi beliau kerana sejak dari tahun 1987 sehingga 2002 lagi, beliau sudah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen P171 Kota Samarahan. Kemudian beliau diberikan kepercayaan untuk menjadi Timbalan Pengerusi pula dari tahun 2002 sehinggalah sekarang.
Antara barisan pemimpin PBB yang aktif di dalam dunia media sosial serta terkenal dengan kelantangannya sehingga dikagumi oleh rakan mahupun lawan. Kehadiran beliau di dalam lanskap politik Sarawak sudah tentu ditunggu-tunggu oleh warga netizen yang ingin melihat sejauhmana kecemerlangan beliau sebagai “Yang Berkhidmat kepada rakyat” sekiranya beliau terpilih kelak.
Rakyat di DUN N16 Muara Tuang sudah tentu turut menuntut sentuhan langsung daripada pemimpinnya bagi mengangkat DUN Muara Tuang menjadi yang lebih teratur dan berdaya maju seperti kawasan Sarawak yang lain.

No comments:

Post a Comment