Tuesday 12 April 2016

MANTAN MUFTI PERLIS UNTUK DUN N44 JEMORENG

NAMANYA cukup sinonim dengan jawatan mufti yang pernah disandangnya. Ditambah lagi dia merupakan anak Sarawak yang pertama yang pernah dilantik di luar negeri Sarawak sendiri sebagai seorang mufti. Datuk Dr. Juanda Jaya itulah nama baru yang dicalonkan untuk menjadi “Winnable Candidate” bagi mempertahankan DUN N44 Jemoreng.  
Dari seorang mantan mufti ke arena politik sememangnya sesuatu yang membanggakan bagi seorang anak Sarawak ini yang merupakan anak Melanau kelahiran Sibu, Sarawak. Datuk Dr Juanda merupakan lulusan jurusan syariah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir. Juga pernah menjadi Sarjana Tamu di Universiti Oxford, London ini bukanlah calang-calang orangnya malah keluarga beliau pernah menjadi Tokoh Keluarga Mithali Sarawak pada tahun 2007.  
Memulakan karier beliau selepas menamatkan pelajaran beliau di luar Negara sebagai seorang Pegawai Agama secara kontrak dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS. Kemudian kegigihan dan kecemerlangan perkhidmatan beliau akhirnya membolehkan beliau menjadi Mufti bagi Negeri Perlis sehingga tahun 2012.
Pernah digembar-gemburkan untuk menjadi antara calon DUN Kangar ketika PRN Perlis suatu waktu dahulu dibawah tiket PKR namun itu hanya spekulasi oleh pihak tertentu yang cuba untuk mengaitkan beliau dengan kancah politik Perlis yang juga turut dinafikan beliau. Dan di ketika PRU Sarawak beberapa tahun lepas juga nama beliau turut disebut-sebut.  
Hakikatnya hanya untuk kali ini iaitu PRN Sarawak ke-11, Datuk Dr Juanda Jaya sudah disahkan akan terjun ke dunia politik atas tiket PBB-BN. Beliaulah antara muka-muka baru yang diketengahkan oleh Datuk Adenan sebagai Pengerusi BN Sarawak pada kali ini.
DUN N44 Jemoreng yang mempunyai lebih kurang 9,528 pengundi berdaftar sudah tentu memerlukan ADUN yang lebih berkemampuan untuk melestarikan kehendak mereka bagi memastikan Jemoreng sentiasa mendapat sentuhan pembangunan kerana apa yang ada sekarang agak keterbelakang daripada kawasan yang lain.

No comments:

Post a Comment