Thursday, 3 November 2016

MUSIM OBOR-OBOR DI KUALA BALINGIAN




BILA berbicara mengenai obor-obor sudah semestinya yang dahulu menjengah di minda bagi rakyat Sarawak adalah betapa enaknya merasai satu menu tradisi masyarakat Melanau yang terkenal iaitu umai obor-obor.  Tiada siapa boleh menyangkalnya mengenai betapa haiwan pra-sejarah ini begitu mendapat tempat di pasar-pasar di seluruh Sarawak.
Baru-baru ini musim obor-obor telah melanda Kuala Balingian, Mukah yang mana nelayan-nelayan tempatan telah berpesta tangkapan obor-obor sehingga mencecah beratus-ratus kilogram sehari.  Dikhabarkan juga ramai nelayan telah berjaya mencapai pendapatan sebanyak RM5,000 sehari hanya dengan menjual hasil tangkapan obor-obor mereka. 

Namun disebalik punca pendapatan yang hanya datang sekali sekala ini, bukan senang sebenarnya untuk menangkap obor-obor lebih-lebih lagi kita mengetahui ianya adalah haiwan pra-sejarah yang boleh menyengat.  Terkena sengatannya sahaja boleh membawa kepada 1001 kesakitan selama lebih seminggu barulah bisanya beransur. 

Hanya mereka yang mempunyai kepakaran serta pengalaman serta peralatan yang mengkhusus sahaja boleh menangkapnya sebaik mungkin.  Semoga terus dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah untuk nelayan-nelayan Sarawak di Kuala Balingian. 

Tuesday, 1 November 2016

SARAWAK BENARKAN PELANCONG CHINA DENGAN PAS KHAS


ATAS nama menggalakkan industri pelancongan di Sarawak, Kerajaan Sarawak mengambil keputusan untuk membenarkan pelancong-pelancong dari China memasuki Sarawak dengan menggunakan pas khas berkuatkuasa mulai 1 November 2016.  Ini bermakna pas khas ini akan sedia digunakan di Lapangan Terbang Miri serta ICQS, Sungai Tujuh yang bersempadan dengan Brunei selain di Kuching.  

Namun disebalik segala hal bagi kemudahan pelancong-pelancong dari Tembok Besar China adalah sebaiknya Kerajaan Sarawak mengambilkira kekhuatiran kita tentang dasar pelancongan yang longgar ini.  Seharusnya bukan soal keuntungan yang harus diperhitungkan tetapi sebelum ini sudah banyak cerita mengenai mereka di Malaysia.

Kes-kes seperti 100,000 rakyat berbangsa Cina yang diberitakan masih lagi belum mendapat kerakyatan kerana kurangnya dokumentasi kukuh mengenai mereka masih lagi menjadi “duri dalam daging” sehingga dipolitikkan oleh sesetengah parti politik.  Dan jangan pernah kita lupakan apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Negara Tembok Besar China sendiri.  Beliau mendakwa bahawa ada lebih kurang 50,000 rakyat China “hilang” setelah melancong ke Malaysia. 

Sewajarnya sebelum dasar ini dipersetujui Kerajaan Sarawak harus mengambilkira apakah ada jaminan mahupun mampukah kita dengan penguatkuasaan yang ketat bagi memastikan setiap pelancong-pelancong ini benar-benar pulang setelah pas lawatan tamat tempoh.  Bukan sedikit gejala sosial yang kita sering dengan misalnya ramainya “China-Doll” yang menjadi penghias rumah-rumah urut dan juga karaoke di seluruh Negara termasuklah Sarawak itu sendiri. 

Jangan hanya kerana keuntungan atas pulangan pelancongan maka negeri Sarawak pula akan terpaksa berhadapan dengan isu “pendatang asing tanpa izin” dari China pula.  Kesnya banyak Cuma kita sahaja menutup sebelah mata sehinggalah ianya betul-betul kena batang hidung sendiri.  Pada ketika itu kita menyesal pun tiada gunanya. 

Monday, 31 October 2016

3 IPG SARAWAK AKAN DITUTUP!


KETIKA kita rakyat Sarawak merasa gembira kerana tidak lama lagi borneonisasi jawatan guru dengan nisbah 90/10 bagi anak Sarawak akan tercapai, kita dikejutkan dengan berita yang kurang enak didengar. Bersandarkan untuk memberikan ruang bagi pelajar-pelajar teknikal maka dinyatakan bahawa Kementerian Pendidikan akan menutup 3 daripada 4 buah institut perguruan di Sarawak bagi mentransformasikannya menjadi sebuah politeknik.

Apa yang diwar-warkan ini merupakan satu tindakan yang melampau kerana 3 IPG ini iaitu IPG Miri, IPG Rejang dan IPG Samarahan merupakan antara sandaran bagi melahirkan bakal pendidik di kalangan anak Sarawak. Sekiranya ianya benar akan ditransformasikan adakah kita akan hanya bersandarkan kepada 1 IPG yang ada bagi merealitikan impian kita untuk nisbah 90/10 anak Sarawak bekerja di Sarawak kelak.

Sewajarnya pihak Kerajaan Negeri Sarawak tidak bertoleransi di dalam hal ini kerana ianya boleh mengganggu apa yang dirancangkan selama ini. Autonomi Pendidikan adalah salah satu daripada permintaan autonomi yang dirancang oleh Sarawak untuk dikembalikan semula kepada yang berhak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Kita sudah lelah dengan polisi pendidikan ala Putrajaya yang menyebabkan sistem pendidikan kita terumbang-ambing selama ini. 

GASKELL MASIH HILANG DI MULU



Andrew Gaskell, pelancong warga Australia 


Operasi SAR masuk hari ke-3 


SEORANG pelancong warga Australia iaitu Andrew Gaskell masih lagi hilang di Mulu.  Beliau dikhabarkan telahpun berada di Taman Negara Mulu pada tanggal 20 Oktober yang lalu dan sehingga sekarang masih lagi tiada khabar berita mengenai beliau.

Bertindak daripada laporan kehilangannya, satu operasi SAR telahpun dijalankan oleh Bomba Marudi dan semalam sudah memasuki fasa hari ke-3.  Dengan jumlah kekuatan hampir 63 orang anggota, radius pencarian juga sudah diperbesarkan malah unit SAR telah dibahagikan kepada 3 unit semuanya.  Namun sehingga jam 5.00 petang semalam, tiada lagi tanda-tanda positif ataupun jejak pelancong Australia ini dikesan.

Semoga segala perjalanan pencarian Gaskell dipermudahkan.  Kita mengetahui bahawa Mulu merupakan antara hutan tropika yang tertua di Negara kita. Sudah tentu banyak cerita mengenainya yang harus kita jadikan iktibar sebelum memulakan satu-satu ekspedisi di sana. 



Sunday, 30 October 2016

CABAR KESAHIHAN PINDAAN TERRITORIAL SEA ACT 2012

         The crucial Article 1(3) and 2 of the Federal Constitution (as at 1.11.2010)

MENGIMBAU ceritanya Territorial Sea Acta 2012 bermula pada 18 April,2012 apabila ianya diusulkan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan disokong oleh Dato’ Yong Khoon Seng di Parlimen Malaysia pada masa itu.  Dan usulan ini tidak memakan masa langsung apabila pada hari yang sama ianya diluluskan dengan tiada perdebatan yang berlaku baik daripada Ahli Parlimen Sabah mahupun Sarawak. 
Dan sejak itulah Sarawak mahupun Sabah sudah kehilangan “kemerdekaan” untuk wilayah laut mereka apabila hanya mampu menerima segala ruang ekonomi pada hanya 3 batu nautika sedangkan hakikatnya ianya boleh mencapai sehingga 300 batu nautika.  Bayangkan berapa banyak sudah Sabah dan Sarawak kehilangan sumbernya sejak ianya berkuatkuasa.  Petronas terus-terusan menggorek hasil bumi tanpa belas ihsan untuk memberikan lebih royalty untuk setiap penghasilan mereka. 
Di dalam corat-coret inilah, Sabah dan Sarawak dikatakan akan bersatu untuk mencabar kesahihan akta ini dipinda kerana sudah tertulis di dalam Perjanjian Malaysia bukan sewenang-wenangnya ianya boleh dibuat sedemikian.  Dengan tiada budi bicara dan kelulusan daripada DUN dari kedua-dua rakan sejajar pembentuk Gagasan Malaysia ini maka ianya dikatakan sudah terbatal. 
Sekarang, segala mata dan telinga rakyat Sarawak dan Sabah akan fokus pada isu ini dan semoga ianya berjalan dengan baik.  Terpulang kepada “niat” Putrajaya sekarang untuk membetulkannya serta menghormati Sabah Sarawak sebagai rakan sejajar.  Dahulu kita kekurangan orang bijak pandai tetapi sekarang bukan sedikit yang sudah tahu apa itu perundangan yang sebenar. 
Setiap Ahli Parlimen dari Sarawak mahupun Sabah juga diminta untuk lebih aktif di dalam soal autonomi kita selama ini dan bukan hanya “pemanas” bangku Parlimen Malaysia. 

Tuesday, 25 October 2016

USUL STATUS SEBENAR SARAWAK DIKEMBALIKAN


TIADA lagi kompromi dan ianya sudah tentu bukan untuk meraih popularity sebaliknya ianya adalah hak Sarawak seperti apa yang ditandatangani 53 tahun dahulu.  Kesungguhan Datuk Adenan sebagai pemimpin no. 1 Sarawak sudah mencapai ke kemuncaknya di dalam memperjelaskan permintaan autonomi dikembalikan kepada Sarawak. 

Bertindak daripada itu apabila menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan membuka tirainya dari 21 hingga 30 November 2016 nanti, satu usulan akan diketengahkan untuk mendapat restu barisan Yang Berhormat Sarawak.  Usulan yang mungkin akan menempa satu lagi sejarah iaitu status sebenar Sarawak sebagai 1/3 daripada pembentuk Gagasan Malaysia akan diperdebatkan. 

Sekiranya tiada aral yang melintang, sudah tentu usulan ini akan dibawa ke Parlimen Malaysia pula bagi mengembalikan apa yang sudah tercalar pada tahun 1976.  Tidak terlambat untuk membuat pembetulan kerana segalanya sudah tertulis di dalam perjanjian.  Sekarang yang ditunggu apakah nawaitu pihak Persekutuan “ikhlas” di dalam memastikan Perjanjian Malaysia 1963 dijunjung seperti seadanya. 

Yang pasti, Sarawak bukan 13 negeri di dalam Malaysia tetapi Sarawak adalah 3 entiti pembentuk Malaysia selepas Singapura “menarik diri” pada tahun 1965.  Malaya, Sarawak dan Sabah adalah rakan sejajar. 

Monday, 24 October 2016

KOTORNYA UPTOWN KUCHING!




IDEA untuk menjadikan kawasan sekitar Kuching Civic Centre sebagai tapak untuk perniagaan bagi warga Kuching sememangnya sesuatu yang dipuji.  Dan ianya telah banyak membantu rakyat yang gemar untuk berniaga mencari rezeki lebih buat sumber pendapatan keluarga juga telah mencapai matlamatnya. 

Namun sayang di dalam corat coret perniagaan pasar malam seperti di Uptown Kuching ini terselit cerita yang tidak kita gemari.  Usai operasi perniagaan selesai lain pula yang muncul.  Keadaan kotor dengan sampah sarap disana sini sungguh menyakitkan mata pengunjung-pengunjung di kawasan sekitarnya. 

Dan seperti biasa sudah tentu ramai yang berkata ke manakah perginya majlis berkuasa tempatan yang akan mula menjalan tugas pembersihan.  Seringkali pihak berkuasa tempatan yang akan menanggung beban permasalahan ini semua sedangkan hakikatnya peniaga mahupun pengunjung Uptown juga harus sama-sama menjaga kebersihannya.

Kuching pernah dinobatkan sebagai bandaraya yang bersih di Malaysia dan mengapa Uptown Kuching tidak senada? Kebersihan itu adalah tanggungjawab bersama.