Tuesday, 29 November 2016

LARIAN JAMBATAN BATANG SADONG 11 DISEMBER 2016


TINGGAL 1 bulan lagi maka tahun 2016 akan melabuhkan tirai tahunannya dan menjelmalah tahun baru tahun 2017 pula.  Bagi menutup tirai tahun 2016 ini apakata jika kita sebagai warga Sarawak bersama-sama menyudahi tahun baru dengan acara santai-santai dengan beriadah bersama keluarga.
Larian Jambatan Batang Sadong akan diadakan 10 hari lagi iaitu pada tanggal 11 Disember 2016 ini.  Ianya adalah satu acara yang diadakan khusus untuk meraikan terbinanya Jambatan Batang Sadong yang sudahpun beroperasi sejak Oktober 2016.  Jambatan ini juga mempunyai sejarahnya tersendiri apabila diiktiraf sebagai jambatan terpanjang pernah dibina dan sudah tentu akan memberi 1001 rahmat kepada rakyat Sarawak amnya dan rakyat Samarahan serta Sadong Jaya khususnya. 
Bagi mereka yang berminat bolehlah mendaftar dengan segera kerana tarikh tutupnya adalah pada 2 November 2016.  Pendaftaran boleh dilakukan di Brooks Green Height Mall, Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya dengan seberapa segera.  Di dalam acara larian ini terdapat 2 kategori iaitu kategori 5 km dan 10 km yang mana kedua-duanya bermula di SK Sungei Bulu, Kota Samarahan. 
Dengan penglibatan banyak agensi kerajaan serta swasta bertindak sebagai penganjur bersama, difahamkan acara larian bersejarah yang julung-julung kali diadakan ini akan memberikan pengalaman yang menarik kepada pesertanya.  Marilah kita bersama-sama memeriahkannya bagi menandakan betapa kita menghargai limpahan infrastruktur yang merupakan antara janji yang ditepati oleh kerajaan selain menyihatkan badan. 

KORBAN KE-2 TRAGEDI BOT KARAM PULAU BRUIT DITEMUI



PADA Sabtu lepas, kita dikejutkan dengan berita tentang tragedi tongkang yang sarat membawa muatan batu kelikir karam kira-kira 3 batu nautika dari Kampung Betanak, Pulau Bruit.  Difahamkan pada ketika itu cuaca agak buruk dan di dalam tragedi itu hanya 2 mangsa selamat manakala 4 orang lagi masih hilang. 
Sejak itu Operasi SAR telah dilakukan dengan diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), BOMBA dan Penyelamat serta beberapa lagi agensi yang terlibat bagi mengesan 4 lagi mangsa yang masih hilang.  Korban pertama ditemui oleh penduduk kampung apabila mayatnya terdampar di tebing Kampung Salah Kechil, Pulau Bruit pada hari Ahad, 28 November 2016. 
Dan semalam menyaksikan korban ke-2 pula ditemui apabila mayatnya dikesan terapung kira-kira 7 batu nautika dari Kampung Betanak menjelang tengahari iaitu kira-kira 1.35 petang.  Difahamkan setelah pengecaman dilakukan, mangsa kedua adalah operator kren tongkang “Jin Fiat No. 1” yang dikenali sebagai Kamal, berusia di dalam lewat 30an.  Dengan itu tinggal 2 lagi mangsa yang masih hilang dan operasi SAR akan tetap diteruskan. 
Untuk rekod, ini merupakan tragedi ke-2 yang berkait dengan bot karam di Pulau Bruit di dalam tempoh 4 tahun.  Tragedi bot karam di muara Batang Lassa menyaksikan satu bot panjang persendirian yang membawa 27 penumpang dari Kampung Tekajong setelah menghadiri satu majlis perkahwinan di Kampung Saie, Pulau Bruit karam di muara Batang Lassa sekitar Januari 2014.  Tragedi ini juga meragut korban yang menyaksikan awal tahun 2014 di Sarawak itu diwarnai dengan cerita yang menyedihkan. 
Salam takziah untuk seluruh keluarga mangsa-mangsa tragedi ini dan semoga urusan pencarian untuk 2 lagi mangsa yang hilang dipermudahkan. Al-Fatihah. Amin. 

Monday, 28 November 2016

BUKU “AMONG FIRST DAYAK WOMEN” DILANCARKAN


JIKA kita menyelusuri sejarah lampau tidak dinafikan penglibatan kaum wanita Dayak juga mempunyai signifikasi di dalam berdirinya Sarawak sekarang.  Namun dahulu atas batas-batas adat dan sifat orang Timur seringkali penglibatan mereka hanya mampu dibicarakan secara oral tanpa didokumentasikan secara lebih jitu.

Melihat kepada keperluan serta betapa pentingnya ianya dibukukan agar sejarah penglibatan wanita dayak terdahulu tidak dilupakan maka sekumpulan Wanita PRS telah mengambil inisiatif sendiri dengan menerbitkan sebuah buku yang berjudul “Among First Dayak Women”.  Sekaligus penerbitan buku ini menjadikan ianya bukti dokumen bagi membenarkan penglibatan wanita dayak terdahulu di dalam memperkatakan sumbangan mereka terhadap masyarakat Sarawak.

Satu inisiatif yang wajar dipuji dan diharap ada lagi buku-buku yang sedemikian diterbitkan pada masa hadapan.  Hakikatnya generasi muda Sarawak tanpa mengira kaum dan agama sebenarnya dahagakan informasi sebegini bagi memberikan mereka aspirasi untuk lebih cekal dan mengembalikan jatidiri mereka untuk lebih mencintai Sarawak.

Sunday, 27 November 2016

1/3 BAHAGIAN SARAWAK BLACKOUT!


DUNIA netizen di seluruh media sosial Sarawak menyaksikan segala hal mengenai tiadanya bekalan elektrik dari Kuching hingga ke Sibu semalam.  Bermacam-macam cerita mengenainya dan yang pasti ketiadaan bekalan elektrik sudah tentu menimbulkan 1001 kepayahan kepada rakyat. 
Dari Kuching hingga ke Sibu di dalam kegelapan secara totalnya menjelang jam 6.38 pm yang mana dikatakan transmisi Oya-Selangau terputus bekalan elektriknya.  Namun tindakan pantas Sarawak Energy berjaya mengembalikan bekalan elektrik sekitar jam 9.31 pm secara keseluruhannya. 
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sarawak Energy, mereka masih lagi mencari punca berlakunya hal sedemikian dan penyiasatan akan segera dilakukan dengan bantuan daripada perunding antarabangsa yang mampu memberikan perkhidmatan yang telus dan cepat. 

Wednesday, 23 November 2016

SARAWAK KATAKAN TIDAK UNTUK PINDAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH


DENGAN hampir 40% rakyat Sarawak  beragama Kristian maka sudah tentu sekiranya usulan Abdul Hadi Awang mengenai pindaan Syariah Courts Act (Criminal Jurisdiction) Act 1965 (Act 355) yang dikatakan akan diusulkan pada Parlimen Malaysia akan datang boleh menimbulkan 1001 tanggapan mengenainya.  Dan untuk Sarawak ianya adalah bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang dimeterai sewaktu pembentukan Malaysia 53 tahun dahulu.
Untuk tujuan itu, Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan sendiri telah mengarahkan kepada semua ahli parlimen Sarawak untuk TIDAK MENYOKONG usulan itu sekiranya ianya diperdebatkan di Parlimen Malaysia kelak.  Suara Sarawak di Parlimen boleh menidakkan usulan tersebut memandangkan daripada 222 jumlah kerusi Parlimen, 25 kerusi adalah diwakili oleh BN Sarawak manakala 6 lagi adalah daripada parti pembangkang. 
Dan difahamkan bagi pihak Kerajaan Sabah juga dikhabarkan turut tidak akan menyokong pindaan undang-undang syariah yang dibawa oleh Hadi Awang dari PAS kelak di Parlimen Malaysia.

Sesungguhnya Datuk Adenan telah menepati janji beliau yang dari awal-awal lagi menyatakan bahawa TIADA HUDUD DI SARAWAK. 
 

IRENE CHEN MENGUKIR NAMA SARAWAK, MALAYSIA

 Irene Chen (tengah) bersama barisan hakim MPA

 Antara hasil seni Irene Chen yang dipertandingkan


IRENE Chen, itulah nama seorang anak Sarawak yang telah mengukir namanya di pentas fotografi dunia.  Bukan sesuatu yang mudah namun berkat kesabaran serta usaha yang tidak mengenal lelah akhirnya beliau mendapat pengiktirafan dunia yang sesungguhnya harus kita bangga. 
Anak Sarawak yang berasal dari Kuching, Sarawak ini baru-baru ini telah berjaya melayakkan dirinya menjadi “associate” di United-Kingdom Master Photographers Association (MPA). Dengan pengiktirafan itulah juga menjadikan Irene Chen merupakan anak Sarawak dan wanita Malaysia yang pertama mampu pergi sejauh itu di dalam pentas fotografi dunia yang kompetitif.  Selain itu difahamkan juga bahawa beliau juga merupakan jurufoto kedua dari Asia yang mana tema fotonya berkisar kepada dunia kanak-kanak, bayi dan kehamilan berjaya mendapat tempat di MPA.   
Tahniah diucapkan kepada Irene Chen atas kejayaan di yang sesungguhnya tidak ramai mengetahuinya.  Semoga kejayaan beliau turut menjadi pendorong semangat kepada jurufoto-jurufoto di luar sana untuk terus berkarya bagi mengharumkan nama Negara di pentas antarabangsa.  

Tuesday, 22 November 2016

SUMBER GAS ASLI SARAWAK URUSKAN SENDIRI


RANG Undang-undang Pengagihan Gas 2016 telah diluluskan semalam di persidangan DUN Sarawak yang mana menyaksikan setelah hampir sedekad akhirnya Sarawak sudah mengorak langkah sendiri untuk menguruskannya.  Ini juga bermakna Ordinan Perkhidmatan Bekalan Gas (Syarikat Pengendali) 1995 akan dimansuhkan tetapi tetap tidak akan menganggu operasi Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd (SDG) yang selama ini membekalkan gas paip kepada lebih 22,000 pengguna dosmestik di seluruh Sarawak. 
Termaktubnya rang undang-undang ini juga bermakna Sarawak akan mengurustadbir sebarang pengagihan gas di Sarawak yang mana ianya meliputi import gas asli cecair ke Sarawak, regasifikasi, rawatan, pemisahan dan pemprosesan gas, pengangkutan, bekalan dan runcit, pembinaan, pengurusan, penyelenggaraan saluran paip gas, terminal dan loji serta fasiliti.  Dan sebarang jenis gas juga turut dicakupinya seperti gas asli, gas asli cecair (LNG), gas petroleum asli (LPG), gas untuk industri serta juga yang digunakan di hospital-hospital. 
Kejayaan rang undang-undang ini sudah tentu memberi 1001 rahmat kepada Sarawak kerana ianya mampu menjana ekonominya sendiri serta juga memberi peluang kepada rantaian-rantaian perkhidmatan akan lebih terbuka kepada anak Sarawak.  Dan sudah tentu juga boleh mengawal harganya agar tidak menyusahkan pengguna domestic iaitu rakyat Sarawak sendiri. Dan Petronas yang selama ini memegang pentadbirannya juga turut termaktub di dalam rang undang-undang ini apabila berbicara sumber gas asli yang digodek di Sarawak. 
Satu lagi usaha Kerajaan Sarawak dibawah kepimpinan Datuk Adenan yang seharusnya kita puji kerana ianya juga untuk memperkasakan hak Sarawak selama ini.