KITA almaklum antara syarat untuk Gabungan Parti Sarawak menyokong Perikatan Nasional adalah mengakui hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia dan juga undang-undang Sarawak ke atas gas dan minyak. Inilah “mas kahwin” yang telah dipersetujui oleh Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin beserta Perikatan Nasional.
Dan usai mesyuarat kabinet pertama Jemaah Menteri semalam menyaksikan PM TSMY sendiri mengwar-warkan bahawa usaha untuk mengembalikan hak dan kepentingan Sarawak seperti yang termaktub di dalam MA63 akan disegerakan. Keseriusan ini terbukti dengan terbentuknya satu portfolio di bawah Jabatan Perdana Menteri itu sendiri iaitu Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang diwakili oleh Menteri dari Sabah iaitu Datuk Seri Maximus Ongkili sementara Timbalan Menterinya pula dari Sarawak yakni Datok Hanifah Hajar Taib.
Pautan berita penuh:
Ini adalah sesuatu yang kita sebagai rakyat Sarawak ingin dengar dan sudah tentu kita akan memerhati perkembangan janji ini dengan lebih dekat. Selama ke hari ini kita didodoikan dengan rundingan demi rundingan sahaja daripada kerajaan-kerajaan yang lepas. Malah pindaan yang diusulkan di Parlimen pun bagai melepas batuk di tangga sahaja dengan tidak mengikut apa yang Sarawak mahukan.
Adalah diharapkan kali ini biarlah kata itu dikota. Rakyat Sarawak khususnya mahukan ia dilaksanakan secepat mungkin kerana segalanya sudah tertera di dalam perjanjian yang menjadi asas kepada penubuhan sebuah negara bergelar Malaysia. Yang terhakis, pulihkanlah. Yang terambil, pulangkanlah. Hakikatnya, Sarawak tidak pernah meminta lebih hanya mahukan hak Sarawak dikembalikan.
No comments:
Post a Comment