Tuesday, 12 April 2016

MANTAN MUFTI PERLIS UNTUK DUN N44 JEMORENG

NAMANYA cukup sinonim dengan jawatan mufti yang pernah disandangnya. Ditambah lagi dia merupakan anak Sarawak yang pertama yang pernah dilantik di luar negeri Sarawak sendiri sebagai seorang mufti. Datuk Dr. Juanda Jaya itulah nama baru yang dicalonkan untuk menjadi “Winnable Candidate” bagi mempertahankan DUN N44 Jemoreng.  
Dari seorang mantan mufti ke arena politik sememangnya sesuatu yang membanggakan bagi seorang anak Sarawak ini yang merupakan anak Melanau kelahiran Sibu, Sarawak. Datuk Dr Juanda merupakan lulusan jurusan syariah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir. Juga pernah menjadi Sarjana Tamu di Universiti Oxford, London ini bukanlah calang-calang orangnya malah keluarga beliau pernah menjadi Tokoh Keluarga Mithali Sarawak pada tahun 2007.  
Memulakan karier beliau selepas menamatkan pelajaran beliau di luar Negara sebagai seorang Pegawai Agama secara kontrak dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS. Kemudian kegigihan dan kecemerlangan perkhidmatan beliau akhirnya membolehkan beliau menjadi Mufti bagi Negeri Perlis sehingga tahun 2012.
Pernah digembar-gemburkan untuk menjadi antara calon DUN Kangar ketika PRN Perlis suatu waktu dahulu dibawah tiket PKR namun itu hanya spekulasi oleh pihak tertentu yang cuba untuk mengaitkan beliau dengan kancah politik Perlis yang juga turut dinafikan beliau. Dan di ketika PRU Sarawak beberapa tahun lepas juga nama beliau turut disebut-sebut.  
Hakikatnya hanya untuk kali ini iaitu PRN Sarawak ke-11, Datuk Dr Juanda Jaya sudah disahkan akan terjun ke dunia politik atas tiket PBB-BN. Beliaulah antara muka-muka baru yang diketengahkan oleh Datuk Adenan sebagai Pengerusi BN Sarawak pada kali ini.
DUN N44 Jemoreng yang mempunyai lebih kurang 9,528 pengundi berdaftar sudah tentu memerlukan ADUN yang lebih berkemampuan untuk melestarikan kehendak mereka bagi memastikan Jemoreng sentiasa mendapat sentuhan pembangunan kerana apa yang ada sekarang agak keterbelakang daripada kawasan yang lain.

CALON “DIRECT BN” DI 3 KERUSI DUN BARU


ANTARA strategi Datuk Adenan untuk menyelesaikan kemelut parti-parti tempatan adalah dengan mengetengahkan calon “Direct BN” untuk PRN Ke-11 ini. Selepas satu demi persatu calon-calon “Team Adenan” diumumkan, semalam 3 lagi calon yang diwar-warkan untuk menggunakan lambang dacing. 3 kerusi DUN yang terlibat adalah N18 Serembu, N23 Bukit Semuja dan N78 Mulu.
N18 Serembu merupakan salah satu daripada kerusi DUN baru mengikut persempadan semula kawasan mengundi untuk PRN Ke-11 ini. Datuk Adenan sekali lagi menyahut suara akar umbi dengan meletakkan seorang anak Bidayuh untuk menjadi calon “Winnable Candidate” iaitu Miro anak Simoh.
N23 Bukit Semuja juga merupakan antara DUN baru yang dipertandingkan untuk PRN ke-11 ini. Walaupun sebelum ini terdapat spekulasi SUPP juga menuntut untuk kerusi ini atas tiket SUPP-BN. Namun begitu tindakan Datuk Adenan meletakkan calon “Direct BN” sememangnya sesuatu yang terpuji. Calon untuk N23 Bukit Semuja adalah John anak Ilus iaitu seorang pegawai tadbir di Pejabat Daerah Serian yang sudah tentu cukup kenal dengan kawasan Bukit Semuja yang akan diwakilinya kelak.
N78 Mulu merupakan antara DUN yang tidak kurang panasnya. Banyak parti politik komponen BN Sarawak yang begitu berminat untuk N78 Mulu ini. SPDP lagi sejak awal-awal persempadanan semula telah menunjukkan minat mereka, Akhirnya sudah terang lagi bersuluh, Datuk Adenan mengambil jalan selamat dengan meletakkan calon dari kalangan Kaum Orang Ulu iaitu Datu Gerawat Gala bagi mewakili calon “direct BN” untuk N78 Mulu.
Kerusi DUN baru merupakan antara kerusi yang begitu menarik untuk kita saksikan apabila bermulanya pilihanraya kelak. Jadi kita tunggulah siapakah yang paling 'dihati' pengundi di sini kelak.

Monday, 11 April 2016

DATO’ IDRIS BIN HAJI BUANG, CALON PBB-BN DUN N16 MUARA TUANG


BARU sebentar tadi Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan Satem telah mengumumkan “Winnable Candidate” untuk DUN N16 Muara Tuang adalah Dato’ Idris Bin Haji Buang. Dengan itu tamatlah sudah segala spekulasi yang bertiup kencang siapakah yang layak untuk mewakili DUN N16 Muara Tuang pad PRN ke-11 ini nanti.
Dato’ Idris, 61 tahun merupakan seorang peguam dan berkelulusan undang-undang dari Universiti of Buckingham, England. Beliau mempunyai pengalaman yang luas di dalam dunia perundangan dan pernah menjadi Peguambela & Peguamcara untuk Mahkamah Tinggi Sarawak.
Mempunyai firma guamannya sendiri iaitu Idris Buang & Associates, Advocates and Solicitors yang ditubuhkan pada tahun 1986 sehingga sekarang. Jauh sebelum itu, hampir 7 tahun lamanya (1973-1979), beliau menjawat jawatan sebagai Inspektor Polis mengikut jejak langkah kaum keluarganya lain kerana beliau dilahirkan di kalangan keluarga polis.
Mula menceburkan diri di dalam dunia politik Sarawak sejak dari tahun 1983 lagi jadi Dato’ Idris merupakan antara barisan “orang lama” PBB Sarawak. Beliau juga adalah Ahli Majlis Tertinggi Parti dan juga merupakan Ketua Cawangan N11 Batu Lintang sekarang. Selain itu, Beliau merupakan salah seorang daripada 3 individu yang menjadi Jurucakap (Spokesman) untuk PBB Sarawak.
Oleh kerana mempunyai latarbelakang perundangan maka sehingga sekarang, Dato’ Idris merupakan Ahli Panel Penasihat Undang-undang PBB di dalam membantu menyemak perlembagaan PBB bagi melalui mana-mana Pilihanraya Negeri Sarawak mahupun Pilihanraya Umum (Parlimen) sejak dari tahun 1983 lagi.
Kecemerlangan beliau diteruskan apabila pada tahun 2000-2006, beliau dilantik menjadi Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak pada masa itu iaitu Tun Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud. Selepas itu beliau turut dilantik menjadi Senator Dewan Negara dari tahun 2005 sehingga 2011.
Dan apabila berbicara tentang dunia politik Muara Tuang bukanlah sesuatu yang asing bagi beliau kerana sejak dari tahun 1987 sehingga 2002 lagi, beliau sudah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen P171 Kota Samarahan. Kemudian beliau diberikan kepercayaan untuk menjadi Timbalan Pengerusi pula dari tahun 2002 sehinggalah sekarang.
Antara barisan pemimpin PBB yang aktif di dalam dunia media sosial serta terkenal dengan kelantangannya sehingga dikagumi oleh rakan mahupun lawan. Kehadiran beliau di dalam lanskap politik Sarawak sudah tentu ditunggu-tunggu oleh warga netizen yang ingin melihat sejauhmana kecemerlangan beliau sebagai “Yang Berkhidmat kepada rakyat” sekiranya beliau terpilih kelak.
Rakyat di DUN N16 Muara Tuang sudah tentu turut menuntut sentuhan langsung daripada pemimpinnya bagi mengangkat DUN Muara Tuang menjadi yang lebih teratur dan berdaya maju seperti kawasan Sarawak yang lain.

Sunday, 10 April 2016

PEMBUBARAN DUN DAN PILIHANRAYA SARAWAK

11.4.2016 iaitu hari ini, maka terbubarlah Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi membolehkan rakyat Sarawak memilih pemimpin-pemimpin baru untuk mewakili mereka di DUN Sarawak kelak. Dan segalanya sekarang terpulang kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia untuk memberikan bilakah tarikh hari penamaan calon dan Hari Mengundi bagi Pilihanraya Negeri Sarawak.
Semenjak penubuhan Malaysia pada tahun 1963, ini merupakan pilihanraya negeri Sarawak edisi ke-11 di dalam sejarahnya. PRN yang pertama dilakukan pada tahun 1969 hingga 1970 iaitu antara PRN yang paling lama pernah diadakan. Atas perkara-perkara yang melibatkan kekurangan infrastruktur dan komunikasi serta keadaan darurat adalah penyumbang kepada kelewatannya pada waktu itu.  
Kemudian PRN seterusnya diadakan pada tahun 1974, 1979, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001, 2006 dan 2011. PRN ke 3 iaitu pada tahun 1974 menyaksikan Sarawak satu-satunya yang mengadakan hanya PRN bersendirian memandangkan Pilihanraya Umum diadakan pada tahun 1978. Dan oleh kerana itulah Sarawak berbeza sehingga sekarang berbanding dengan negeri-negeri di dalam Malaysia yang lain yang kesemuanya mengadakan PRN dan PRU serentak.
Dan untuk PRN edisi ke-11 ini juga menyaksikan Dewan Undangan Negeri Sarawak telah bertambah kepada 82 kerusi. Dan ianya juga merupakan jumlah kerusi terbanyak yang pernah dipertandingkan di dalam PRN di dalam Malaysia.

#SupportMyCM 
#GiveAdenan5MoreYears

Friday, 8 April 2016

APA SUDAH JADI DENGAN COURTHOUSE?



BANGUNAN Courthouse merupakan salah satu mercu tanda bersejarah di Sarawak. Ianya merupakan salah satu peninggalan bersejarah Dinasti Keluarga Brooke yang memerintah hampir 100 tahun di Sarawak ini terkenal di mata dunia.
Cuma apa yang menjadi pokok persoalan sekarang, mengapa pula ianya seperti menjadi hakmilik persendirian kepada sebuah restoren yang menyewa dan beroperasi di dalam bangunannya. Cukup mudah untuk meletakkan pagar serta mencacatkan pemandangan bangunan bersejarah ini.
Tidak cukup dengan itu, kawasan tempat meletak keretanya juga menjadi hakmilik persendirian penyewa pula serta dikenakan bayaran sehingga mencecah RM10. Selain itu ada juga laporan mengatakan pihak restoren ini turut mengenakan bayaran Rm250 untuk mana-mana individu yang ingin mengambil sessi fotografi di sini.
Setakat ini belum ada lagi kenyataan daripada Kerajaan Negeri Sarawak bahawa bangunan dan persekitaran Courthouse ini bertukar hakmilik kepada persendirian.
Dewan Bandaraya Kuching Utara, Muzium Sarawak malah Kementerian Pelancongan Sarawak seharusnya tampil memperjelaskan apakah yang berlaku dan jangan mengambil ringan atas perkara ini ianya melibatkan satu bangunan bersejarah yang dipergunakan untuk keuntungan satu pihak.

Wednesday, 6 April 2016

KEMPEN PILIHANRAYA DULU-DULU DAN SEKARANG


SARAWAK memilih!
 Itulah slogan yang banyak media massa arus perdana gunakan untuk mengatakan bahawa Pilihanraya Negeri Sarawak yang ke-11 yang akan dilakukan pada bila-bila masa sekarang.  Sejajar dengan peredaran zaman juga cara berkempen turut sama berubah. 

Dahulu kempen hanya secara manual sahaja. Dari menziarah dari rumah ke rumah kemudian membuat rapat umum kecil untuk bakal “calon YB” melaungkan apakah perubahan yang hendak dilakukan.  Poster pun ambil lebih kurang sahaja memandangkan “budget” pun ciput.

Tetapi sekarang baru melobi sahaja sudah menggunakan media sosial malah applikasi whassap serta twitter menjadi talian hidup.  Perang poster sudah tentu akan mula mewarnai sesuatu kawasan setelah hari penamaan calon selesai.  Ada biru, ada kuning, ada merah, ada hijau dan banyak lagi warna.

Belum lagi kempen yang bermula di media sosial. Belum hari penamaan calon memang sudah ada yang berkempen secara tidak langsung.  Belum lagi kewujudan blogger-blogger malah cybertrooper yang berselindung di sebalik wajah sebenar pun ramai.  Spekulasi lebih banyak daripada kebenarannya sehingga kita sendiri kadang-kadang terkeliru dibuatnya. 

Oleh itu biar apa jua perubahannya, adalah diharap setiap yang berkempen nanti akan sentiasa menjaga tatasusilanya. Politik itu politik jangan pula kita sampai bermasam muka kerana apa-apapun kita masih juga Urang Sarawak.  Cara urang Sarawak berpolitik tidak sama dengan mereka di negeri lain. 
 

10 CALON “WINNABLE CANDIDATE DARI SUPP DIUMUMKAN

STRATEGI yang bijak daripada Datuk Adenan sebagai Pengerusi Barisan Nasional Sarawak dituntut apabila ianya melibatkan calon-calon daripada SUPP dan juga UPP yang mana kedua-duanya merupakan parti yang akan mewakili kaum Cina Sarawak.  SUPP sejak daripada dahulu merupakan tulang belakang kepada komponen BN manakala UPP pula merupakan parti serpihan yang “mesra BN’.
Semalam, di satu sidang akhbar khas Datuk Adenan telah mengemukakan 10 calon “Winnable Candidate” yang menurut beliau merupakan “Team Adenan” yang akan memastikan Barisan Nasional mendapat mandat yang lebih besar pada PRN ke-11 ini kelak. 
Ianya adalah seperti berikut:
1.    N09 Padungan – Peter Pau
2.    N10 Pending – Milton Foo Tiang Wee
3.    N11 Batu Lintang – Sih Hua Tong
4.    N12 Kota Sentasa – Wilfred Yap Yau Shin
5.    N13 Batu Kitang – Lo Khere Chiang
6.    N14 Batu Kawa – Datuk Dr Shim Khui Hian
7.    N32 Simanggang – Datuk Francis Harden
8.    N51 Bukit Assek – Chieng Buong Toon
9.    N73 Piasau – Datuk Sebastian Ting Chiew Yew
10.  N75 Senadin – Datuk Lee Kim Shin
Ini bermakna masih berbaki 9 lagi kawasan DUN yang biasanya diwakili oleh SUPP tidak dicanangkan buat pengetahuan umum iaitu N01 Opar, N33 Engkilili, N45 Repok, N46 Meradong, N52 Dudong, N53 Bawang Assan, N54 Pelawan, N68 Tanjung Batu dan N74 Pujut.