Tuesday, 10 May 2016

KINI NAJIB PERLU MELAYAN TUNTUTAN SARAWAK




MESKIPUN BN menang besar dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11 Sabtu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemenangan besar yang dicapai Barisan Nasional (BN)  Sarawak bermakna kuasa kerajaan pusat akan menjadi lemah.
“Najib kini lebih perlu melayan tuntutan-tuntutan Sarawak. Malah, Najib sudah pun melakukannya. Apa saja yang diminta oleh Sarawak, ia akan dapat. Suara Sarawak untuk rakyat Sarawak bertambah nyaring,” kata mantan perdana menteri dalam catatan terbaharu blognya.
“Beliau (Najib) sekarang akan lebih bergantung kepada sokongan Sarawak berbanding sebelum ini,” katanya.
Katanya, pencapaian BN Sarawak sebenarnya melemahkan penguasaan kerajaan pusat yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.
“Perdana Menteri tiada alasan untuk bergembira,” katanya.
BN menang 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan lima daripada kerusi majoriti Cina daripada genggaman DAP yang dimenanginya pada 2011, tumbang.
Kemenangan itu adalah di sebalik populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang mencanak susulan 53 keputusan dan prinsip yang dilaksanakannya termasuk yang bersifat pro-Cina. Antaranya pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), peruntukan RM12 juta untuk sekolah persendirian Cina dan tidak menganggap Cina sebagai pendatang.
Mahathir berkata selepas pilihan raya umum ke-13, sokongan daripada Sarawak dan jirannya Sabah penting untuk kerajaan pusat.
“Hanya memerlukan 12 atau 13 anggota parlimen berpaling tadah bagi kerajaan pusat untuk tumbang,” tambahnya.
Mahathir juga berkata, ketika Adenan merayakan kejayaan besar mereka, Najib kini harus bimbang pada penggantungannya pada negeri-negeri simpanan tetap.

Pilihan raya umum ke-14 dijangka lebih sengit dengan pengundi akan membuat keputusan yang banyak dipengaruhi oleh kepemimpinan negara dan isu berkaitan 1MDB, derma RM2.6 bilion dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

TEAM ADENAN DAN CERITA LAMPU AJAIB ALADIN

TAHNIAH kepada Tok Nan dan keseluruhan Team Adenan yang menang bergaya pada Pilihanraya Negeri Sarawak yang lalu.  Ianya merupakan kemenangan yang besar apatah lagi strategi Tok Nan mendapat restu dari rakyat Sarawak sendiri dengan 72 kerusi dimenangi dari 82 kerusi yang dipertandingkan. 

Di dalam corat coret kita berpesta dengan kemenangan ini timbul pula suara-suara sumbang di dalam media sosial mengenai kehilangan Adun-adun dari kawasan mereka usai sahaja kejayaan dicapai.  Tidaklah diketahui samada suara-suara ini dari mereka yang kecewa kerana calon pilihan sudah kalah atau juga kerana janji-janji yang ditaburkan ketika kempen dijalankan. 

Hakikatnya, perlulah diketahui bahawa Team Adenan juga manusia biasa yang memerlukan rehat secukupnya setelah mengharungi kempen selama lebih kurang 14 hari.  Ianya merupakan satu proses yang panjang dan menuntut tenaga yang kuat bagi menunaikan permintaan akar umbi yang ingin bersua dengan mereka. 

Jadi untuk itu fahamilah mungkin ada sesetengah ADUN itu senyap seketika untuk memberi ruang kepada dirinya mengumpul tenaga serta mengatur strategi bagaimana untuk melunaskan setiap janji yang diberikan.  Kesemua ini memerlukan perancangan yang rapi lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan dana.  

Adun kita juga manusia biasa dan mereka bukannya seperti Aladdin yang boleh menggosokkan lampu ajaibnya maka permintaan terus terlunaskan didepan mata. 

Saturday, 7 May 2016

MUARA TUANG BEST!

KESEDERHANAAN beliau jelas kelihatan ketika seisi bersama rakyat Muara Tuang. Itulah Bang Dris yang tidak mendabik dada biarpun kemenangan besar beliau adalah sesuatu yang tidak diluar jangkaan. Manakan tidak di Muara Tuang yang mempunyai 52 ranting dan beliau menang di kesemua ranting-ranting ini.
Keputusan PRN di Muara Tuang semalam menyaksikan satu fenomena kerana amatlah jarang seorang calon baru mendapat jumlah undi yang besar sebegitu iaitu sebanyak 10,086 memilih Bang Dris yang mewakili BN-Pbb manakala untuk 1,508 untuk PAS dan 765 untuk PAN. Ini bermakna undi majoriti Barisan Nasional Sarawak bagi DUN Muara Tuang adalah sebanyak 8,578 undi. Angkanya sahaja sudah menunjukkan rekod yang cukup baik bagi Pasukan Adenan.
Yang pasti, rakyat Muara Tuang telah memilih dan mereka memilih salah seorang Pasukan Adenan iaitu Bang Dris untuk menjadi “manok sabong” mereka. Malah seluruh Sarawak juga telah memilih dan menyahut seruan Tok Nan untuk memberikan mandat besar kepada beliau dengan kemenangan 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Terima kasih Muara Tuang atas pemilihan yang cukup bijak ini dan terima kasih kepada seluruh orang Sarawak yang menyokong usaha Tok Nan untuk memperjuangkan apa yang menjadi hak kepada kita orang Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Memilih Pasukan Adenan merupakan simbol kepada aspirasi rakyat Sarawak yang mahukan Sarawak itu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Yang pasti, Muara Tuang dibawah Bang Dris akan terus menyerlah dengan pembangunan seperti yang beliau dan Kerajaan Negeri Sarawak rancangkan.
“ Terima kasih rakyat Muara Tuang atas kepercayaan anda kepada saya. Maafkan saya jika ada senyum yang tidak terbalas. Huluran tangan yang tidak tercapai. Ucapan salam yang tidak terjawab. Saya hanya manusia biasa tetapi sekarang memikul tanggungjawab yang sangat LUAR BIASA.” - Bang Dris -
Tahniah Muara Tuang!
Tahniah Pasukan Adenan!
Tahniah Bang Dris!

Thursday, 5 May 2016

HELIKOPTER MEMBAWA VVIP DISAHKAN TERHEMPAS




BARU sebentar sidang media Perdana Menteri Malaysia, Datuk Najib yang mengumumkan bahawa helikopter yang dikatakan hilang dari radar semalam disahkan terhempas. Ini berikutan beberapa serpihan helikopter telah ditemui sekitar jam 9.30 pagi tadi di kawasan Sebuyau.
Semalam, sebuah helikopter yang berlepas daripada Betong ke Kuching pada jam 4.15 petang telah hilang dari radar penerbangan pada sekitar jam 5.00 petang. Bertindak daripada itu, usaha-usaha SAR darat telah dilakukan. Dan hanya pada pagi ini SAR udara pula dijalankan dengan besar-besaran.
Senarai nama penumpang helikopter tersebut adalah seperti berikut:
1. Datuk Noriah Kasnon, Timbalan Menteri MPIC
2. Tuan Asmuni bin Abdullah (suami TM)
3. Datuk Dr. Sundaran Annamalai, KSU MPIC
4. Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, Pengerusi MPOB/AP Kuala Kangsar
5. Ahmad Sobri bin Harun (pengawal peribadi)

Status penumpang masih lagi belum diketahui sehingga ke saat ini. Sama-samalah kita berdoa agar segala usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan. Amin.
Nota: Berikut merupakan gambar-gambar SAR langsung dari lokasi dan dikatakan ada mayat telah dijumpai cuma ianya belum disahkan lagi.

Wednesday, 4 May 2016

PARTI ASAL SARAWAK DIDAHULUKAN


LAUNGAN Sarawak Untuk Orang Sarawak berkumandang di sana-sini apabila bercakap mengenai kempen-kempen para bakal “YB” dari parti asal Sarawak. Sememangnya ianya mempunyai signifikasi yang tersendiri di dalam memperkatakan semangat juang anak Sarawak.
Dikala banyak parti luar (bukan asal Sarawak) mengeluarkan manifesto yang hakikatnya hanya bergelumang dengan isu-isu yang bukan isu Sarawak ianya berbeza sama sekali dengan perjuangan parti asal Sarawak. Barisan Nasional Sarawak dibawah pimpinan Datuk Adenan mengetengahkan isu yang dekat di hati Sarawak malah manifestonya kebanyakannya telahpun dilaksanakan dan banyak lagi yang di dalam perbincangan.
Parti bukan asal Sarawak pula banyak melebihkan isu Persekutuan yang hakikatnya bila difikirkan kembali walau apa jua keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak nanti tidak mampu mengubah apa-apa pun kerana PRN berbicara soal halatuju Negeri Sarawak.
Dengan tempoh berkempen akan menutup tirai lebih kurang 36 jam lagi, amatlah diharapkan agar pengundi Sarawak memahami perbezaan antara isu yang dibawa oleh parti asal Sarawak vs parti bukan asal Sarawak. Datuk Adenan telah mengetengahkan “Adenan Team” yang cukup hebat untuk menjadi sandaran kita nanti di dalam memastikan Sarawak mendapat apa yang rakyat mahukan.
Sebagai orang Sarawak sudah tentu kita tidak mahu membiarkan keputusan negeri kita dipegang oleh ketua yang bukan asal Sarawak.
Kekallah Sarawak Bertuah, Teras Perjuangan Rakyat, Berjaya Berdaulat!

SARAWAK HARMONI

KEPELBAGAIAN masyarakat Sarawak yang terdiri daripada masyarakat majmuk menjadikan ianya unik. Untuk menjaga keharmonian semua malah sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan ianya sentiasa dijaga.  
Beberapa prinsip dan langkah Kerajaan untuk "Sarawak Harmoni" adalah seperti berikut:
1. Sarawak tidak akan bertoleransi terhadap sifat keharmonian. 
2. Penganut bukan Islam bebas mengamalkan agama masing-masing. 
3. Kalimah Allah boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, bila-bila masa tapi harus dengan adab dan saling hormat-menghormati. 
4. Tiada sekatan bagi penggunaan kitab bible versi Bahasa Melayu di Sarawak. 
5. Hudud tidak akan dipraktikkan di Sarawak. 
6. Mana-mana golongan fanatik dan pelampau tidak diterima di Sarawak.

Tuesday, 3 May 2016

CERITA TENTANG "WALKABOUT"


“WALKABOUT” adalah antara salah satu cara berkempen yang sebenarnya agak “old school” kerana sejak daripada rakyat Malaysia mula mengenali apa itu pilihanraya ianya telahpun dilakukan. Berjalan santai-santai ke kawasan yang menjadi tumpuan orangramai seperti pasar basah atau kedai kopi serta dari rumah ke rumah sebenarnya mempunyai implikasi yang tidak kurang besarnya bagi seseorang calon YB.

Bagi seseorang calon baru sudah tentu “walkabout” ini adalah salah satu kaedah untuk memperkenalkan diri dengan orangramai. Senyuman dan ucapan salam sambil-sambil bertanya khabar serta mendengar sendiri keluh kesah rakyat secara langsung dapat memberikan gambaran sedikit sebanyak apa yang dilalui oleh rakyat pada ketika itu. Mendengar, mencatit dan seterusnya jika sudah diberikan peluang untuk menjadi “YB” adalah wajar segala permasalahan ini diberikan perhatian sepenuhnya.

Hakikatnya, “walkabout” tidaklah memerlukan protokol seperti berkempen dengan menggunakan pembesar suara dengan berucap panjang menjela-jela sebenarnya lebih memberikan implikasi positif kerana setiap calon “YB” boleh mendekati rakyat dan mendengar kesulitan mereka dari hati ke hati. Dan janganlah pula ber"walkabout" hanya ketika sedang bertanding sebaliknya teruslah mendekati rakyat apabila sudah menang nanti.

Cerita tentang “walkabout” nampak ringkas tetapi impaknya besar.