Sunday, 11 September 2016


SAAT berderainya jatuh titisan airmata suci Ibrahim, apabila melihat keteguhan iman anaknya Ismail. DIKALA itulah bermulanya sejarah agung erti pengorbanan.

Selamat Menyambut Hariraya Aidiladha.

Thursday, 8 September 2016

SEKOLAH DI SARAWAK KETINGGALAN SETENGAH ABAD!


“Andainya sekolah kita ketinggalan dalam 10 ke 20 tahun itu bolehlah saya fahami TETAPI jika ketinggalan hampir setengah abad, saya sudah tidak boleh bertolak ansur lagi.” – Datuk Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak.
KENYATAAN ringkas yang diucapkan oleh Datuk Adenan itu sudah cukup  untuk mengambarkan  kekecewaan beliau mengenai sekolah-sekolah yang ada di Sarawak jika dibandingkan dengan prasarana di Semenanjung Malaysia.  Satu kenyataan yang sebenarnya sudah berabad lama disimpan di dalam benak kita sebagai anak Sarawak apabila mengenangkan persekitaran sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak. 
Dikala sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia kebanyakannya mempunyai prasarana yang terbaik disediakan oleh Kerajaan Malaysia, sekolah-sekolah di Sarawak pula masih ditakuk lama.  Tiada elektrik, tiada bekalan air, sekolah usang dan didirikan di kawasan yang tidak sesuai masih satu lumrah penghidupan yang terus membelenggu tempat untuk anak bangsa kita menuntut ilmu. 
Belum lagi dengan sekolah-sekolah yang ditimpa malapetaka seperti kebakaran, dihanyutkan oleh arus deras kerana terkena hakisan sungai dan sebagainya.  Banyak janji-janji yang ditaburkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seperti penyediaan sekolah baru serta bantuan segera tetapi ianya umpama menanam tebu di tepi bibir.  Masih banyak lagi yang tidak dilakukan dengan lebih sempurna. 
Kerana hal ini semualah Datuk Adenan sebagai Ketua Menteri Sarawak tetap bertegas dengan isu Polisi Pendidikan yang digubal di Putrajaya.  Setiap pelarasan mengenai pendidikan harus mengambilkira apa yang berlaku di Sarawak.  Dan kerana itulah setiap pengubalannya harus mempunyai penglibatan Sarawak agar ianya bersesuaian dengan senario yang berlaku di Sarawak itu sendiri. 
Buat masa sekarang, keseriusan Sarawak itu ada didengar oleh Putrajaya apabila permintaan Sarawak untuk memberi peluang hanya pendidik kelahiran Sarawak yang bertugas mendidik anak bangsanya di tanah kelahiran Sarawak sudah mula diatur oleh pihak Kementerian Pendidikan.  Ini kerana KPM sendiri akur bahawa dengan kepelbagaian budaya dan tradisi Sarawak menjadikan adalah lebih mudah untuk orang Sarawak sendiri memahaminya. 
Hakikatnya apa yang diperjuangkan oleh Ketua Menteri Sarawak sememangnya sesuatu yang kita mahukan lebih-lebih lagi apabila melibatkan masa hadapan anak bangsa Sarawak yang akan menjadi pewaris kepada Sarawak ini nanti. 

Hak yang dituntut bukan sahaja yang melibatkan borneonisasi semata-mata sebaliknya juga aspek-aspek yang lain termasuklah sistem pendidikan Malaysia serta peruntukan pendidikan di Sarawak agar ianya setanding dengan yang lain di dalam Gagasan Malaysia. 

Wednesday, 7 September 2016

BAHASA IBUNDA ETNIK SARAWAK WAJAR DIBUKUKAN


SALAH satu negeri yang paling ramai kaum etniknya adalah Sarawak Bumi Kenyalang.  Oleh kerana kepelbagaian etnik inilah yang menjadikan kekayaan tradisi, budaya dan bahasa ibunda etnik cukup unik serta menjadi kebanggaan kita semua sebagai anak Sarawak. 
Apabila berbicara mengenai bahasa ibunda etnik pula bukanlah sedikit malah banyak sehingga ada sesetengah bahasa ibunda etnik dikatakan pupus kerana tidak lagi dipertuturkan oleh generasi yang baru pada masa sekarang.  Dan kepupusan bahasa ibunda etnik ini adalah satu kerugian kepada Sarawak Bumi Kenyalang itu sendiri. 
Semalam menyaksikan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah diberi penghormatan untuk merasmikan pelancaran kamus bahasa Iban iaitu “Comprehensive Iban-English Dictionary” hasil usaha daripada Dayak Cultural Foundation.  Ianya merupakan satu usaha yang wajar dipuji kerana bahasa Iban juga merupakan antara bahasa ibunda yang paling banyak dipertuturkan di Sarawak. 
Dengan adanya kamus Iban ini maka ianya akan memudahkan mana-mana individu untuk belajar dan memahami bahasa Iban Sarawak.  Seharusnya mana-mana NGO daripada etnik-etnik yang lain juga harus mengikut jejak langkah ini bagi memastikan bahasa Ibunda etnik terus dijunjung kerana disinilah bermulanya identiti dan sejarah bangsa kita.   
Bahasa Itu Menunjukkan Bangsa. 

BORNEO INTERNATIONAL KITE FESTIVAL 2016





GUDI di dalam bahasa Melayu Sarawak ataupun layang-layang di dalam bahasa Malaysia standard merupakan antara permainan tradisional yang menghiasi setiap permainan tradisi di seluruh dunia.
  Saban tahun ada sahaja pesta mengenainya yang diadakan di segenap pelusuk dunia. 

Di Sarawak iaitu untuk lebih spesifik di Bintulu saban tahun menjadi tuanrumah Borneo International Kite Festival dan sentiasa mendapat sambutan penyertaan daripada pelbagai Negara di dunia.  Mula diperkenalkan pada tahun 2005 dan ianya sudahpun tercatit di dalam acara kalendar pelancongan Sarawak mahupun Malaysia itu sendiri. 

Untuk tahun 2016 ini, festival ini akan bermula dari 28 September hingga 2 Oktober 2016 dan sudah tentu ianya akan menyajikan pertunjukan layang-layang yang lebih gempak berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Jadi jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan suasana festival ini. Sekaranglah masanya untuk mula mengatur perancangan percutian bersama keluarga ke Bintulu.  Ianya sudah tentu akan menjanjikan pengalaman yang luar biasa.   

Tuesday, 6 September 2016

ISU GELANDANGAN DI BANDAR BESAR SARAWAK


GELANDANGAN di Bandar-bandar besar Sarawak seperti sudah menjadi perkara biasa bagi warga kota.
  Mungkin kerana desakan hidup yang mencengkam apabila tinggal di desa menyebabkan ada yang mengambil jalan untuk berhijrah ke Bandar-bandar demi sesuap nasi. 

Namun begitu ada ketikanya nasib tidak menyebelahi mereka kerana kos hidup di Bandar-bandar besar agak tinggi sehingga menyebabkan ada yang menjadikan lorong-lorong kedai menjadi tempat tinggal mereka.  Dan ada juga sesetengah gelandangan ini sememangnya mempunyai pelbagai penyakit seperti pesakit mental mahupun yang sudah menjadi mangsa dadah tegar sehingga gagal untuk pulang ke pangkal jalan. 

Di Sarawak misalnya kebanjiran gelandangan di kota besar turut menjadi kebimbangan masyarakat setempat.  Dan oleh kerana itulah semalam menyaksikan Menteri
Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah telah turun padang bersama-sama dengan pelbagai agensi membuat pemeriksaan tempat-tempat yang menjadi kawasan gelandangan di Bandar Sibu.

Ianya adalah satu tindakan yang terpuji dan harus dilakukan dari semasa ke semasa di seluruh Bandar di Sarawak.  Isu gelandangan ini harus dibanteras dan puncanya harus diketahui dengan segera agar jalan penyelesaian boleh dirangka dengan lebih berkesan.
 
  

Monday, 5 September 2016

PERTAHANKAN TAPAK PERKUBURAN PURBA ETNIK DALIEK




DALAM beberapa hari yang lepas viral mengenai penemuan tapak perkuburan purba di sebuah tanah perkuburan Islam lama yang terletak di tengah-tengah kawasan industri Tanjung Kidurung, Bintulu. Ianya merupakan satu penemuan yang amat bersejarah memandangkan yang ditemui terlalu berharga di dalam sejarah Islaminasasi etnik Daliek yang merupakan etnik minoriti di Sarawak.

Menurut sejarahnya etnik Daliek adalah mereka yang berasal dari rumpun Kaum Orang Ulu Sarawak yang dahulunya tinggal di rumah panjang dan terkenal dengan perang kayau atau perang perluasan wilayah mereka. Dahulunya beragama pagan dan apabila adanya pengaruh Kesultanan Brunei di wilayah Sarawak akhirnya mereka memeluk Islam dan seterusnya meninggalkan rumah panjang dan mengasimilasikan diri mereka mengikut lunas-lunas Islam sebagai satu cara hidup iaitu pada awal kedatangan Islam sekitar kurun ke-16 Masihi lagi.

Etnik Daliek seperti juga etnik minoriti seperti Narom, Bakung dan Miriek adalah mereka yang terkenal sebagai tentera yang setia kepada Kesultanan Brunei Darussalam dan turut mendapat jolokan “Tentera Lipan Baram” oleh Sultan Abdul Kahar iaitu salah seorang Sultan yang pernah memerintah Brunei Darussalam suatu ketika dahulu. Sejarah keagungan tentera lipan baram ini pernah diceritakan ketika ada rombongan bangsa Eropah yang berkunjung ke istana Brunei suatu ketika dahulu iaitu sebelum Perang Kastila 1587 berlaku di Brunei.

"….beta mempunyai 30,000 orang seperti ini yang sedia menurut perintah, dan beta yakin Orang Inggeris, Belanda, Perancis dan Sepanyol tidak akan mampu menentang mereka? Beta tahu orang-orang putih mahu mengambil Borneo, tetapi beta tidak pernah gentar....." - Sultan Abdul Kahar –

Mengimbau sejarah lama ini sudah cukup untuk kita mempertahankan tapak yang penuh bersejarah ini daripada terus menjadi mangsa kepada sikap rakus kapitalis yang hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata. Adalah menjadi tanggungjawab kita mempertahankan setiap mercu tanda sebuah peradaban yang menunjukkan ketamadunan anak bangsa kita.

Seharusnya juga tapak perkuburan lama ini terus digali sejarahnya kerana pusara-pusara yang ditinggalkan sungguh unik motifnya serta bertandakan tulisan jawi yang menunjukkan kekayaan seni ukiran orang kita dulu-dulu serta pengaruh Islam di dalam carahidup mereka.

Puliharalah ia sebagai sumber rujukan generasi muda Sarawak yang lain dan perindahkan tapaknya agar menjadi salah satu mercu tanda tarikan pelancongan dan penggemar sejarah di seluruh dunia.

Friday, 2 September 2016

MINYAK SEKIU "MADE IN JEMORENG”


BILA berkata tentang makanan tradisi ini, Sarawak sememangnya kaya dengan kulinari-kulinari tradisi mereka yang diperturunkan sejak ratusan tahun dahulu dari satu generasi yang lain sehinggalah sekarang. Di kalangan etnik Melanau di daerah Jemoreng misalnya turut terkenal dengan satu makanan yang diuli di dalam nasi yang panas-panas yang dikenali sebagai Minyak Sekiu.

Minyak sekiu sebenarnya adalah ekstrak minyak yang didapati dari sejenis buah hutan yang dinamakan buah sekiu. Di daerah Jemoreng, Matu merupakan antara tempat yang banyak mempunyai pohon sekiu tumbuh dan kerana itulah masyarakat Melanau di Jemoreng sudah mengetahui memakan minyak sekiu ini sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi.

Menariknya mengenai minyak sekiu ini adalah sehingga sekarang proses untuk ektraksinya masih lagi berdasarkan kepada kaedah tradisional yang diwariskan sejak dahulu lagi di kalangan masyarakat Melanau Jemoreng. Mungkin kerana keasliannya amat dititikberatkan menyebabkan harga minyak sekiu ini sangat mahal iaitu boleh mencecah RM100 untuk 50 ml.

Dan menurut pengesahan yang dikeluarkan oleh pakar pemakanan baru-baru ini ada menyatakan bahawa minyak sekiu itu mempunyai nilai perubatan yang cukup tinggi iaitu baik untuk sistem jantung seorang manusia.

Jika berdasarkan kepada laporan perubatan ini adalah wajar sekiranya Kerajaan Negeri Sarawak melihat bagaimana untuk memajukan lagi minyak sekiu sebagai salah satu perolehan ekonomi Sarawak kerana sudah tentu permintaannya di pasaran amat menggalakkan.