Tuesday, 7 March 2017

SOLIDARITI UNTUK MALAYSIA


SEJAK peristiwa pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara di KLIA2 tempohari, tumpuan dunia terarah dengan hubungan kedua-dua Negara.  Kemuncak kepada krisis diplomasi ini menyaksikan Malaysia mengusir keluar Duta Korea Utara 2 hari yang lepas. Tidak berpeluk tubuh akhirnya Pyongyang juga turut membuat hal yang sama malah mereka lebih ekstrim dengan menahan 11 petugas Wisma Putera di Pyongyang untuk tidak meninggalkan Negara mereka.

Maka bermulalah episode menuding jari warga netizen Malaysia sehingga ianya begitu menjengkelkan seolah-olah sudah hilang jatidiri sebagai rakyat Malaysia lagaknya.  Namun disebalik segala asakan anak Malaysia ini sesuatu yang wajar dipuji apabila ahli politik tanpa mengira kaum dan agama sehati sejiwa di Parlimen Malaysia menyokong segala usaha Perdana Menteri Malaysia di dalam memperjuangkan kedaulatan Negara Malaysia daripada diperkotak-katikkan Pyongyang.  Itulah seharusnya yang dilakukan oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia. 

Diketika menghadapi krisis ini lebih-lebih lagi bermulanya semalam protokol kecemasan telah diaktifkan di Wisma Putera Pyongyang oleh rakyat Malaysia disana adalah penting untuk kita semua bersatu tanpa mengira parti politik.  Tunjukkan kesatuan kita sebagai anak Malaysia demi 11 nyawa yang berada di sana.  Kukuhlah berdiri di belakang Kerajaan Malaysia sekarang di dalam hal yang spesifik seperti ini. Malaysia sebuah Negara berdaulat dan begitu juga rakyatnya. Buangkan perbezaan politik kita dan BERSATULAH!

#Solidarity4Malaysia

#Save11Malaysian 

MH370 DALAM KENANGAN 8HB MAC 2014


MISTERI kehilangannya masih lagi belum terungkap namun usaha pencariannya belum lagi menemui noktahnya. Hari ini 8hb Mac genaplah 3 tahun kehilangannya sebuah pesawat milik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang dikenali dengan penerbangan MH370. Satu pesawat yang di dalam penerbangan dari Beijing Capital International Airport di China langsung tidak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kehilangan penuh misteri seumpama MH370 ditelan di angkasa yang luas.
Dengan membawa seramai 227 penumpang berserta anak kapal, kehilangan MH370 begitu mengejutkan dunia pada masa itu. Dunia berduka kerana tiada siapa yang dapat mencari puncanya. Hanya sejak akhir-akhir ini sudah ada beberapa penemuan puing-puing pesawat dijumpai di sekitar lautan yang dikatakan ianya terhempas.
Biarpun penantian itu satu penyeksaan namun rata-rata masyarakat di dunia masih lagi berharap agar ada penemuan yang lebih jitu untuknya. 3 tahun berlalu namun MH370 tetap terpatri di ingatan kita semua.

Monday, 6 March 2017

STATUS TERKINI PROJEK JAMBATAN BAKO




BERKURUN lamanya penduduk di Kampung Bako bergantung sepenuhnya dengan kenderaan bot untuk menyeberangi perkampungan mereka jika hendak ke seberang.  Pelbagai kepayahan yang menjadi ceritera penghidupan mereka selama ini. 

Dan sekarang, impian sudah hampir menjadi kenyataan apabila satu projek yang dilancarkan oleh Allahyarham Tok Nan dengan penuh bergaya 2 tahun yang lepas bakal siap sepenuhnya tidak lama lagi.  Dengan kos sebanyak RM53 juta pembinaan jambatan sepanjang 280 meter ini bakal menghubungkan warga Kampung Bako dengan mudah untuk ke seberang.
 
Siapnya kelak sudah tentu akan memangkin sektor ekonomi penduduk setempat malah memudahkan sahabat handai untuk berkunjung tanpa menunggu air pasang mahupun surut.  Itulah antara kemudahannya yang menjadikan projek jambatan ini antara janji yang ditunaikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. 

Walau sudah beralih kepimpinan, setiap apa yang dijanjikan oleh Allahyarham Tok Nan akan direalisasikan.  Itulah antara janji Ketua Menteri baru Sarawak iaitu Dato Amar Abang Jo kepada rakyat Sarawak.


Sunday, 5 March 2017

KUOTA 1% UNTUK OKU MENJADI PENJAWAT AWAM


APABILA berbicara mengenai golongan orang kurang upaya, ramai yang skeptikal mengenai keupayaan mereka untuk menerima cabaran dan seterusnya menempuh penghidupan yang beronak dan berliku.  Namun hakikatnya golongan istimewa ini juga sama seperti kita yang normal yang mempunyai rasa dan semangat kental untuk membaiki taraf hidup mereka.

Dengan adanya dasar 1% peluang pekerjaan kepada golongan OKU di dalam sektor kerajaan seperti yang diwar-warkan sebelum ini juga merupakan satu dasar yang baik untuk mereka. Dan peluang pekerjaan ini pula akan mengikut kesesuaian bidang tugas dan kemudahan. Selain itu, “Job Coach” juga diadakan bagi membantu golongan OKU untuk bersaing di pasaran terbuka sektor pekerjaan memungkin golongan ini tidak pernah disisihkan. 

Golongan OKU merupakan insan-insan teristimewa anugerah daripada Tuhan dan tiada perkataan “double standard” untuk mereka.  Golongan Orang Kurang Upaya tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan. 

Thursday, 2 March 2017

ISTIMEWANYA ANAK MALAYSIA INI DIKACAMATA RAJA SALMAN

KUNJUNGAN Raja Salman ke Malaysia beberapa hari yang lepas sememangnya sesuatu yang bersejarah bagi kita semua.  Disebalik cerita ceriti lawatan bersejarah ini, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa ada seorang anak Malaysia yang terlalu istimewa di kacamata Raja Salman.  Entah berapa ramai antara kita yang diberikan peluang keemasan serta penghormatan yang besar untuk mengucup kening seorang penjaga 2 kota suci umat Islam ini.
Anak Malaysia yang dimaksudkan ini bernama Sheikh Hussain Yee bin Abdullah, seorang pendakwah yang terkenal namanya seantero dunia Islam.  Lahir pada tahun 1950 di kalangan keluarga Cina yang mana akhirnya beliau memeluk Islam pada tahun 1968 iaitu ketika berusia remaja lagi, 18 tahun.  Bukan calang-calang orangnya walaupun seorang mualaf tetapi mempunyai latar pendidikan Islam yang mengkagumkan.
Jauh perjalanan luas pandangan maka begitulah Sheikh Hussain apabila sekitar tahun 1978 menamatkan pengajian jurusan Hadith di Islamic University of Madinah, Arab Saudi.  Antara gurunya adalah seorang intelektual dunia Islam yang terkenal iaitu Sheikh Mohammad Nasiruddin Al-Albani.  Tamat pengajian di Arab Saudi, beliau pulang ke tanahair dan terus melibatkan diri di dalam PERKIM.  Kecemerlangannya di PERKIM membawa dirinya dilantik sebagai Pengarah di sebuah pusat Islam di Hong Kong.  Dengan pengalaman beberapa tahun di luar Negara akhirnya beliau mengasaskan sebuah organisasi yang dinamakan Al-Khadeem pada tahun 1984. 
Nama Ustaz Sheikh Hussain Yee mungkin tidak begitu popular di Malaysia namun tidak di pentas dunia antarabangsa.  Inilah antara penceramah anak Malaysia yang lantang bersuara memberikan pendapatnya di pentas dunia.  Beliau jugalah antara penceramah yang menghiasi jemputan di kem-kem musim panas di Eropah. Pada tahun 2015 misalnya iaitu di ketika satu persidangan yang dihadiri oleh pemimpin agama Yahudi dan Kristian iaitu Australian Islamic Peace Conference (AIPC), beliau sebagai salah seorang speaker utama lantang bersuara mengatakan bahawa “Muslim Bukan Pengganas” seperti yang barat gembar-gemburkan dengan mengaitkan umat Islam dengan Peristiwa 11 September. 
Inilah ceritanya seorang anak Malaysia yang langsung kita sebagai rakyat Malaysia sendiri tidak mengetahuinya. Rakyat dari sebuah negara kecil tetapi mempunyai signifikasinya tersendiri di dalam suara-suara dunia Islam sejagat.  Mungkin kerana itulah juga, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud, seorang Raja Negara Arab Saudi dan penjaga 2 kota suci umat Islam turut mengkagumi beliau. Begitu istimewanya seorang mualaf bernama Ustaz Sheikh Hussain Yee.

Wednesday, 1 March 2017

AKTOR LEGENDA FILEM MELAYU MENINGGAL DUNIA


SEMALAM 1 Mac 2017, dunia seni tanahair kehilangan lagi sebutir permata yang tiada nilainya apabila actor legenda filem Melayu iaitu Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin kembali ke rahmatullah.  Beliau dikatakan sesak nafas dan dikejarkan ke sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 5.15 petang. 

Dengan nama sebenarnya Mohamed Zain bin Shamsuddin merupakan antara aktor filem Melayu yang tersohor namanya sekitar tahun 1950an sehinggalah sekarang.  Bakatnya bukan sahaja terserlah sebagai pelakon malah juga sebagai pengarah filem seperti Filem Bukit Kepong adalah antara filem yang berbentuk patriotism yang pernah diarah oleh beliau. 

Boleh dikatakan beliau juga antara anak seni yang mempunyai latar belakang pendidikan yang membanggakan. Sekitar tahun 1972, beliau adalah antara anak Malaysia yang pertama kalinya berjaya membawa pulang Diploma in Motion Picture Technology dengan kepujian Kelas Pertama daripada London Film School. Kemudian pada tahun 1999 beliau menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.  Tidak cukup dengan itu pada tanggal 24 Mac 2010, beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia yang membawa kepada gelaran Doktor Falsafah.

Atas usaha beliau yang tidak pernah lelah memartabatkan dunia perfileman Melayu dan juga kecemerlangan di dalam pendidikan menyebabkan beliau dilantik sebagai Senator Dewan Negara untuk 2 penggal berturut-turut.  Sekitar tahun 2011, beliau disahkan menghidap penyakit Alzheimer yang menyebabkan beliau banyak menghabiskan masanya bersama keluarga di Kuala Lumpur. 

Sesungguhnya pemergian Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin diratapi oleh seluruh rakyat Malaysia yang dibesarkan bersama-sama filem-filemnya.  Salam takziah untuk seluruh keluarganya. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan pada syuhadah.

Al-fatihah. Amin.


MOU ARAMCO/PETRONAS BUKTI MALAYSIA MASIH DIYAKINI


LAWATAN Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan delegasi dari Kerajaan Arab Saudi sudahpun berakhir semalam.  Hampir 4 hari rombongan ini mengadakan lawatan rasminya ke Negara Malaysia yang menyaksikan banyak perkembangan positif di dalam beberapa isu termasuklah di dalam memperkatakan mengenai kepimpinan Dato Seri Najib itu sendiri. 
Semalam juga menyaksikan MOU telah dimeterai antara Aramco dan Petronas untuk urusan pelaburan sebanyak RM30 billion (USD7 Billion) bagi Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor. Satu jumlah pelaburan yang mempunyai signifikasinya tersendiri kerana ini merupakan pelaburan terbesar yang pernah dilakukan oleh satu Negara di dalam projek tersebut.  Selain daripada itu berita gembira turut diraikan apabila kuota haji untuk jemaah Malaysia turut dinaikkan kepada 30,000 orang berbanding hanya 20,000 orang pada tahun-tahun sebelumnya. 
Disebalik segala fitnah yang cuba dimainkan oleh beberapa parti pembangkang bagi menggoyahkan persepsi rakyat ke atas kepimpinan Dato Seri Najib  nampaknya ia telah gagal sama sekali.  Ini kerana terbukti Malaysia masih lagi diyakini sebagai antara hub pelaburan di rantau Asia Tenggara.   
Limpahan daripada pelaburan yang besar ini sudah tentu akan memangkin RAPID Pengerang sebagai satu industri yang akan mengwujudkan banyak peluang ekonomi untuk perniagaan tempatan serta peluang pekerjaan kepada rakyatnya.