Friday, 15 February 2019

RUMAH BANGLO TEMPAT KURUNGAN 47 RAKYAT MALAYSIA


Lawatan Delegasi Sarawak Ke 2 Buah Rumah Banglo di Cambodia 14/2/2019
JIKA tidak ada jalinan diplomasi antara kerajaan mana mungkin satu delegasi asing dibenarkan untuk membuat pencarian sendiri di negara orang. Dan langkah bijak Kerajaan Sarawak untuk menghantar delegasinya sendiri dengan langsung tidak membelakangkan Wisma Putra adalah sesuatu yang harus kita semua banggakan. Dan hasil daripada prosedur yang betul ini, delegasi dibenarkan untuk sama-sama menyelidiki pokok persoalan yang berlaku ke atas 47 tahanan rakyat Malaysia yang sedang dipenjara tanpa bicara di Penjara Banteay Meanchey, Poi Pet, Cambodia sekarang.  Inilah berkah jalinan usahasama serta hubungan baik antara dua negara yang sudah terbina lama iaitu Malaysia/Cambodia.
Semalam, 14 Februari 2019 Delegasi Sarawak telah dibawa oleh pihak berkuasa wilayah Banteay Mancheay ke dua lokasi di sekitar Poi Pet yang menjadi tempat terakhir 47 tahanan rakyat Malaysia diami sebelum mereka ditangkap dalam satu serbuan polis pada tanggal 11 Disember 2018 yang lalu.  Berdasarkan kepada lokasi serta keadaan rumah banglo ini dikatakan ianya dilengkapi dengan sistem keselamatan yang tinggi malah temboknya dibina tinggi serta keadaan rumah yang bukannya mesra pelawat sama sekali.  
Menurut pihak berkuasa wilayah Banteay Mancheay, di dua buah banglo inilah tempat satu sindiket pemerdagangan manusia meletakkan mangsa-mangsa mereka setelah dijanjikan dengan pekerjaan yang lain seperti di industri perhotelan, telekomunikasi dan banyak lagi di dalam iklan pekerjaan di internet dengan habuan gaji antara USD1,500 hingga USD2,000.  Mangsa yang kebanyakannya masih muda dan tidak mengetahui apa yang berlaku akhirnya antara suka atau tidak langsung terjerumus dengan taktik kotor mereka iaitu memaksa untuk menjadi pekerja bagi kegiatan perjudian dalam talian yang mempunyai rangkaian antarabangsa.  
Berdasarkan penceritaan daripada beberapa orang tahanan anak Sarawak di Penjara Banteay Mancheay, mereka mendatangi bumi Cambodia secara berkumpulan dan berperingkat dan tatkala sampai langsung dibawa ke rumah banglo besar.  Sejak itu tiada diantara mereka mampu untuk keluar ke mana-mana hanya dikurung di rumah banglo tersebut disediakan makan dan minum namun tidak boleh berkomunikasi dengan sesiapa di luar sana waima keluarga sekalipun sehinggalah mereka akhirnya ditangkap dan dibawa ke penjara untuk siasatan lanjut sehinggalah dunia mengetahuinya pada tanggal 7 Februari 2019 yang lalu.  
Kedatangan Delegasi Sarawak ke dua buah rumah banglo ini sudah tentu mampu memberikan gambaran sedikit sebanyak apa yang telah dilalui oleh 44 orang anak Sarawak sebelum ini.  Dan menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak yang menjadi Ketua Delegasi Sarawak iaitu Datuk Seri Fatimah Abdullah bahawasanya Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menyediakan segala bentuk bantuan kepada 44 anak Sarawak samada dengan menanggung penuh kos guaman dan sebagainya sekira kesemua mereka dibicarakan di mahkamah Cambodia kelak.  
Walau bagaimanapun, Delegasi Sarawak akan mencuba sebaik mungkin berdasarkan perundingan diplomasi antara dua kerajaan jika kita mampu membawa pulang kesemua mereka lebih awal ke ibu pertiwi.  Insya Allah.
#PRAYFOR47MALAYSIAN  
Sumber gambar: NSTP 

Thursday, 14 February 2019

DELEGASI SARAWAK, DELEGASI RASMI MALAYSIA KE CAMBODIA



14/2/2019 - Lawatan Dan Mesyuarat Di Penjara Banteay Meanchey, Cambodia 

DATANG bukan sebarang datang tetapi datang dengan sejuta harapan untuk membawa pulang 47 rakyat Malaysia yang sedang menghadapi musibah di negara orang.  Satu misi yang bukannya mudah tetapi tidak salah untuk mencuba asalkan kita mampu mengungkai segala ikatan yang kusut dengan sebaik mungkin iaitu menggunakan diplomasi tahap tertinggi antara dua kerajaan. Disebalik cerita warganet di Sarawak yang mengatakan kedatangan delegasi Kerajaan Sarawak ini “sudah terlambat” mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawasanya Delegasi Kerajaan Sarawak adalah delegasi rasmi yang mana telah mendapat mandat penuh dari Kementerian Luar Negeri Malaysia.  Ianya amat berlainan sekali dengan kedatangan rombongan pertama yang berkunjung ke Cambodia atas kapasiti peribadi.  

Hal ini wajar untuk diketahui semua rakyat Malaysia amnya dan rakyat Sarawak khususnya kerana mempunyai perbezaan yang amat ketara sekali.  Dengan adanya mandat dari Kementerian Luar Negeri maka Delegasi Kerajaan Sarawak sudah tentu akan diberikan “access” untuk melihat sendiri serta mengorek permasalahan dari akar umbi dimana ianya bermula sehinggalah 47 rakyat Malaysia akhirnya tersadai lesu menjadi penghuni tembok besi bergerigi di Penjara Banteay Meanchey, Poi Pet, Cambodia sejak 11 Disember 2018.  Sekiranya ianya dilakukan dengan lunas-lunas yang betul maka tidaklah mustahil segala yang terjadi ini boleh diselesaikan di dalam jangkamasa pendek dan bukan sesekali hanya sembang kencang di dalam sidang media tanpa ada yang mampu dinoktahkan.   

Semalam, 14 Februari 2019 menyaksikan delegasi Kerajaan Negeri Sarawak diberikan kesempatan untuk bersua muka dengan 47 tahanan rakyat Malaysia yang mana 44 orang daripadanya adalah anak Sarawak.  Sewaktu sidang pertemuan itu dikatakan anak-anak Sarawak mampu menguntum senyuman kerana mereka sendiri tidak pernah terfikir bahawasanya untung nasib mereka mendapat perhatian kepimpinan utama Sarawak iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari sehingga sanggup mengambil inisiatif sendiri menghantar delegasi Kerajaan Sarawak mengunjungi mereka.  Segala permasalahan yang diutarakan oleh para tahanan itu diambilkira dan akan cuba diselesaikan berdasarkan kemampuan yang ada.  

Satu mesyuarat turut diadakan semalam antara Delegasi Kerajaan Sarawak diketuai oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunanan Kanak-Kanak YB Dato Sri Hajah Fatimah dan Ahli Parlimen Santubong YB Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang merupakan wakil Kerajaan Sarawak mengadakan perbincangan dengan Jeneral Ung Sipahn yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Banteay Meanchey. Turut hadir di dalam mesyuarat itu adalah Ketua Bahagian Undang-Undang, Kementerian Luar Negeri Muzalmah Mustapha, Setiausaha Bahagian Kaunselor Mohd Adil Abdullah, Timbalan Ketua Perwakilan Charge De Affaries ad Interim Ruzaimi bin Mohamad dan Pengarah Kementerian Luar Negeri Pejabat Wilayah Sarawak Deddy Faisal Ahmad.

Antara topik perbincangan adalah mengenai kebajikan 47 tahanan rakyat Malaysia (44 orang dari Sarawak, 3 yang lain dari Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor).  Dan hasil daripada perbincangan itu adalah sejumlah wang telah disumbang oleh pihak Kedutaan Malaysia untuk diagihkan kepada pihak penjara secara berkala. Kemudian ianya akan diberikan kepada 47 tahanan rakyat Malaysia bagi membolehkan mereka membeli air minuman dan sebarang keperluan yang lain dari kantin penjara. Banyak lagi hal yang berbangkit dibincangkan jadi biarlah ianya menjadi topik antara dua kerajaan buat sementara ini.  
Akan ada lagi laporan terkini akan dikongsikan bersama kelak dan sama-samalah kita berdoa agar segalanya dipermudahkan.  Seperti status yang dimuatnaik oleh Pengarah Kementerian Luar Negeri Pejabat Wilayah Sarawak, Tuan Deddy Faisal Ahmad di dalam laman mukabukunya yang telah tular dikalangan warganet Sarawak sejak semalam.

Kerja ini umpama menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus , tepung jangan berserakkan.
Setenang air di tasik Tongle Sap, setenang itulah juak tadi kami semua bertutur dan berbicara.

#PrayFor47Malaysian 

Wednesday, 13 February 2019

YOU WILL NEVER WALK ALONE!



Giliran Delegasi Kerajaan Negeri Sarawak Berlepas Ke Cambodia

ATAS rasa tanggungjawab dan cintakan rakyat, Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg dan barisan kabinet Negeri Sarawak telah mengambil inisiatif sendiri dengan menghantar satu delegasi Kerajaan Sarawak pada hari ini untuk ke Cambodia bagi menguruskan apa yang perlu untuk membantu 47 tahanan rakyat Malaysia yang mana 44 tahanannya adalah anak Sarawak sendiri.  Delegasi ini diketuai oleh Datuk Sri Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Masyarakat Sarawak bersama-sama dengan MP Santubong iaitu Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar berserta Tuan Deddy Faisal Ahmad Salleh yakni Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia.  

Mereka sudahpun berlepas ke Siem Reap via Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan kira-kira jam 6.45 pagi tadi dan dijangka akan tiba di wilayah Penjara Banteay Meachey menjelang petang nanti.  Turut dinyatakan Delegasi Sarawak akan berada di Cambodia sehingga hujung minggu ini untuk membuat lawatan ke atas tahanan dan seterusnya mengadakan perbincangan dengan pihak Kerajaan Cambodia mengenai permasalahan 47 tahanan rakyat Malaysia yang dipenjarakan tanpa dibicarakan sejak dari 11hb Disember, 2018 yang lepas.  

Dek kerana hal ini melibatkan isu dua negara dan undang-undang antarabangsa maka ianya adalah sesuatu yang begitu sensitif untuk dirungkaikan seperti kata pepatah menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung pula jangan berselerakkan. Dan difahamkan sejak dari awal cerita lagi Kerajaan Sarawak tidak pernah melepas pandang malah sentiasa memberikan kerjasama dan berhubung rapat dengan Kementerian Luar Negeri Malaysia melalui Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak bagi setiap langkah yang hendak diatur di dalam menangani permasalahan ini.

Sama-samalah kita terus berdoa agar segalanya dipermudahkan dan sesungguhnya Kerajaan Sarawak tidak pernah meminggirkan mana-mana rakyatnya lebih-lebih lagi mereka yang di dalam kesusahan di luar negara dek kerana tersalah langkah ditipu oleh sindiket pemerdagangan manusia.  

You will never walk alone!

#Pray447Malaysian 

SUASANA PILU DI PENJARA BANTEAY MEANCHAY MENJELANG HARI BERKASIH SAYANG 14 FEBRUARI



PILU dan kesedihan jelas terpandang tatkala 47 tahanan rakyat Malaysia dipertemukan buat kali pertama dengan rombongan dari Sarawak yang diketuai oleh MP Julau, Tuan Larry Sng dan juga kakitangan Wisma Putra di Penjara Bantaey Meanchay di Cambodia hari ini.  Turut ada bersama rombongan adalah ibu kepada Yusuf Islam bin Halik, Puan Zunita Sedini, beberapa waris keluarga yang lain dan pihak media.  Mereka berlepas ke Cambodia awal pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.  

Walaupun bukan keseluruhan waris keluarga tahanan yang mampu datang namun sedikit sebanyak 44 tahanan anak Sarawak sudah tentu mampu tersenyum bahagia sedikit kerana hakikatnya orang Sarawak tidak pernah melupakan mereka lebih-lebih lagi di ketika di dalam musibah sebegini.  Difahamkan lawatan rombongan dari Sarawak ini dikawal dengan ketat oleh pegawai penjara disana dengan tiada peralatan telefon mudahalih, kamera dan sebagainya boleh dibawa masuk.  

Di dalam lawatan ini, pihak tahanan turut diberikan maklumat bahawasanya pihak Kerajaan Malaysia sedang membuat apa yang terbaik untuk membebaskan mereka dan seterusnya pulang ke tanahair dengan selamat.  

Berita penuh ada di pautan ini:


Teaser adalah gambar Tuan Larry Sgn, Puan Zunita Sedini ketika menunggu penerbangan ke Cambodia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal pagi tadi, 13 Februari 2019


#prayfor47Malaysian 

Monday, 11 February 2019

CARI DALANG AGENSI PEKERJAAN SAMPAI KE LUBANG CACING



CARI DALANG AGENSI PEKERJAAN SAMPAI KE LUBANG CACING!
- Misi Menyelamat 47 Tahanan Rakyat Malaysia Di Cambodia

SETELAH tular akan cerita 47 rakyat Malaysia yang ditahan di sebuah penjara terpencil di Cambodia sejak 11 Disember 2018, pelbagai pihak telah tampil ke hadapan untuk membantu memudahkan misi menyelamatkan mereka.  Kegusaran kita mengenai untung nasib 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan orang yang mana 44 daripadanya adalah anak Sarawak yang masih lagi muda belia telah menampakkan maklumbalas yang positif.  

Mungkin tekanan demi tekanan di peringkat antarabangsa telah membuahkan hasil kerana jika kita merujuk kepada berita yang diwar-warkan oleh Cambodia Daily bertarikh 10 February 2019 ada menyatakan bahawa segala persiapan telah diatur untuk membebaskan kesemua 47 tahanan rakyat Malaysia dan seterusnya menghantar mereka pulang ke tanahair secepat mungkin.  

Pautannya adalah seperti berikut:

https://www.cambodiadaily.com/crime/47-malaysians-detained-in-cambodia-could-be-heading-home-soon-145494/

Dan semalam, 10/2/2019 melalui satu kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh MP Julau mengwar-warkan bahawa Tuan Larry Sng bersama-sama dengan wakil keluarga tahanan dari Sarawak dan juga pihak media akan berlepas ke Cambodia pada hari Rabu ini, 13 Februari 2019. Tujuan mereka ke sana adalah untuk melawat dan melihat sendiri situasi sebenar 47 tahanan rakyat Malaysia. Lawatan ini telah diatur sepenuhnya oleh Kedutaan Malaysia di Cambodia.  Dalam kenyataan media itu, beliau turut menyatakan bahawa pihak Air Asia telah bersetuju untuk menanggung kesemua kos penerbangan pulang 47 tahanan ini kembali ke tanahair kelak.

Jika kita melihat kepada perkembangan terkini cerita 47 tahanan rakyat Malaysia sudah menampakkan hasil cuma apa yang menjadi ralat sekarang apakah pula tindakan yang diambil ke atas agensi pekerjaan yang bersekongkol dengan sindiket ini.  Walaupun difahamkan agensi pekerjaan tersebut sudah menutup operasinya sejak hal ini ditularkan namun jangan sama sekali kita terlepas pandang. Kesemua dalang-dalang ini yang sudah pastinya rakyat Sarawak sendiri harus dicari sehingga ke lubang cacing dan dibawa ke muka pengadilan.  

Adalah tidak mustahil jika mereka terlepas begitu sahaja akan ada lagi kes-kes penipuan yang sama pada masa hadapan.  Aktiviti pemerdagangan manusia ini tidak pernah berhenti dan sentiasa ada mangsa yang terbuai oleh janji-janji bulan bintang bergaji besar di negara orang.  Dek kerana kenaifan dan sifat tamak serta keadaan hidup yang mendesak di negara sendiri akhirnya bertukar menjadi satu mimpi ngeri seperti apa yang dilalui oleh 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Cambodia sekarang.

Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Lebih baik di negara sendiri.


#Pray447Malaysian
#NoToHumanTrafickking

Thursday, 7 February 2019

SENARAI NAMA 47 RAKYAT MALAYSIA DI PENJARA BANTEAY MEANCHEY, CAMBODIA



BUKAN masa untuk menuding jari pada siapa-siapa, tetapi apa yang harus dilakukan sekarang adalah untuk pihak Kerajaan membawa mereka pulang ke pangkuan keluarga masing.  Selain daripada itu, difahamkan agensi pekerjaan yang bertanggungjawab membawa mereka semua ini dikhabarkan telah menutup operasi pejabat mereka di Jalan Sekama, Kuching sejurus selepas kenyataan media dikeluarkan oleh Tuan Larry Sng semalam.  Kesemua staf telah kabur entah ke mana dan sukar untuk dijejaki.  

Pihak Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra seperti yang diwar-warkan sebelumnya sudahpun menghantar surat rasmi kepada pihak Kerajaan Cambodia semalam. Dan informasi terbaru turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak mempertimbangkan untuk menghantar wakil untuk melawat anak-anak Sarawak di sana kelak.

Berikut merupakan senarai penuh 47 orang rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Banteay Meanchey, Cambodia sejak 11hb Disember 2018 yang lepas.

1.  Abdul Mustaqqim bin Abdul Karim, 24 tahun (L)
2.  Ahesius Anak Peter, 26 tahun (L)
3.  Ahmad Zakwan bin Mohamed Yunus, 26 tahun (L)
4.  Aron Naldy bin Muhammad Ting Abdullah, 22 tahun (L)
5.  Augustine Uka Anak Luya, 27 tahun (L)
6.  Belly Adithia Raisim, 22 tahun (L)
7.  Brenda Welltinnie Anak Winston, 21 tahun (P)
8.  Chang Ying Shiong, 25 tahun (L)
9.  Chin Kok Shiong, 34 tahun (L)
10. Chong Jun Khong, 27 tahun (L)
11. Chong Su Kyun, 37 tahun (L)
12. Dixon Chong Yew Yui, 30 tahun (L)
13. Ejwyn Badindang Anak Joseph, 23 tahun (L)
14. Eviana Nazreen Anak Sadin, 20 tahun (P)
15. Ezuan Ling Bin Alias, 26 tahun (L)
16. Gibson Anak Golip, 22 tahun (L)
17. Grevina Anak Golip, 23 tahun (P)
18. Ho Boon Thy, 30 tahun (L)
19. Hong Yee Cai, 22 tahun (L)
20. Jeffrydeen Jude, 19 tahun (L)
21. Jong Chance Full, 29 tahun (L)
22. Krisyanto bin A. Ajiu, 28 tahun (L)
23. Lai King Loong, 31 tahun (L)
24. Lai Wen Siang, 36 tahun (L)
25. Lam Seng Kiong, 36 tahun (L)
26. Margerat Muna Anak Anyut, 26 tahun (P)
27. Mark Rogers bin William Nun, 24 tahun (L)
28. Michelle Rinta Anak Winston Ngulang, 23 tahun (P)
29. Mohamad Zaki bin Harjami, 21 tahun (L)
30. Muhamad Nur Iqhwan bin Tejudin, 24 tahun (L)
31. Muhammad Daud bin Sharuddin, 24 tahun (L)
32. Ng Chung Fei, 30 tahun (L)
33. Ng Shing Long, 27 tahun (L)
34. Nur Husna binti Muhammad Ali, 21 tahun (P)
35. Nur Mardiana binti Mohamad Hamzah, 25 tahun (P)
36. Nur Muhammad Arif bin Bokhari, 23 tahun (L)
37. Nur Ridwana Syahzani binti Hamddie, 21 tahun (P)
38. Phillipe Ho Chee Chen, 25 tahun (L)
39. Ramlie Chuna Anak Majit, 35 tahun (L)
40. Ramuna Anak Louita, 21 tahun (L)
41. Shahril bin Md. Ali, 25 tahun (L)
42. Teo Eng Moh, 44 tahun (L)
43. Vernandas Anak James, 22 tahun (L)
44. Wong Chung Hung, 25 tahun (L)
45. Yap Yu Xiang, 25 tahun (L)
46. Yeam Yoke Foong, 26 tahun (P)
47. Yusuf Islam bin Abdul Halik, 21 tahun (L)  

Dari jumlah ini seorang dari negeri Selangor, seorang dari Kuala Lumpur, dua orang dari Sabah dan 43 orang dari Sarawak. Dan lapan daripada mereka adalah perempuan dan 39 adalah lelaki. Dan kesemua terdiri daripada pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Semoga ada sirna untuk membawa mereka pulang ke tanahair dengan seberapa segera.  


#Pray447Malaysian
#SayNoToHumanTrafikking

SELAMATKAN KAMEK MAK, KAMEK TAKUT! - YUSUF ISLAM-


SELAMATKAN KAMEK MAK, KAMEK TAKUT! - YUSUF ISLAM-
- 47 Orang Rakyat Malaysia Ditahan Di Penjara Cambodia

HATI ibu mana yang tidak meruntun jiwa jika mendapat panggilan daripada anak yang dikandung sembilan bulan di dalam perutnya memohon untuk diselamatkan setelah dibuai dengan janji bergaji besar di luar negara. Begitulah ceritanya seorang anak Sarawak yang bernama Yusuf Islam bin Abdul Halik, 21 tahun melalui perbualan telefon kali terakhir dengan ibunya Zunita binti Sedini pada tanggal 11 Disember 2018 yang lalu. Namun apakan daya keinginan menggunung 47 rakyat Malaysia  yang cuba mencari rezeki untuk penghidupan yang lebih baik akhirnya jatuh ke tangan manusia berhati syaitan yang membawa kepada mereka menjadi penghuni sebuah penjara terpencil yang terletak nun di utara Cambodia yang menjadi antara wilayah sempadan Cambodia dan Thailand iaitu Penjara Banteay Meanchey, Cambodia.   

Sudah hampir dua bulan berlalu hanya pada hari ini iaitu 7hb Februari 2019 melalui satu sidang akhbar yang dibuat oleh Ahli Parlimen Julau, Tuan Larry Sng Wei Shien di Hotel Merdeka Palace, Kuching pada jam 3.00 petang baharulah kita sebagai rakyat Malaysia mengetahui akan tragedi yang terjadi kepada mereka semua.  Hakikatnya jauh sebelum itu, satu usaha telahpun dilakukan oleh individu rakyat Malaysia iaitu pada tanggal 22 Januari 2019 jam 9.30 pagi dengan mengadakan lawatan ke penjara tersebut bersama seorang penterjemah serta seorang daripada ahli keluarga tahanan.

Melalui laporan lawatan dinyatakan bahawa tarikh penahanan mereka semua adalah pada tanggal 11 Disember 2018 iaitu seramai 55 orang dengan 47 warganegara Malaysia dan lapan orang warganegara China PRC (8 tahanan warga China telah dilepaskan). Dan kesemua 47 rakyat Malaysia ditangkap atas tuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti judi online haram di Cambodia. Daripada jumlah 47 orang warganegara Malaysia, 1 dari Selangor, 1 dari Kuala Lumpur, 2 dari Sabah dan selebihnya adalah dari Sarawak.   

Walaupun diceritakan bahawa kesemua tahanan rakyat Malaysia di dalam keadaan sihat walafiat namun agak menyayat hati apabila para tahanan turut menyatakan bahawa mereka telah diberikan makanan yang tidak halal dan tiada pilihan untuk survival mereka ikutkan juga.  Dek kerana minum air perigi maka ada yang sakit-sakit tetapi langsung tidak mendapat bantuan perubatan daripada pihak penjara di sana.  

Kesengsaraan yang menimpa 47 rakyat Malaysia ramai yang tidak mengetahui tetapi di dalam laporan lawatan yang diterima pihak kami turut menyatakan bahawa sepanjang proses lawatan tersebut kesemua pegawai penjara menunjukkan muka yang serius malah tidak dibenarkan langsung untuk mengambil gambar melainkan gambar-gambar yang ditunjukkan adalah gambar curi dan hanya setelah diberikan suapan USD50 kepada Ketua Pegawai Penjara baharulah setiap gambar curi yang diambil tidak dipadamkan.  Begitulah gayanya bila kita berhadapan dengan karenah pihak berkuasa di negara orang yang kita mengetahui terkenal dengan sikap “mesra” mereka.  

Selain itu apa yang menjadi persoalan sekarang berdasarkan keterangan lawatan menunjukkan hal ini semakin menjadi serius kerana berdasarkan kepada perundingan peribadi dengan Ketua Hakim disana hanya untuk mempercepatkan kes ini maka bayaran sebanyak USD2,000.00 seorang dikenakan yang harus dibayar kepada seorang peguam mereka terlebih dahulu. Jumlahnya adalah USD2,000 seorang x 4 individu x 47 orang = USD376,000.00. Begitu besar angka ini dan mampukah keluarga 47 tahanan ini mengadakannya sememangnya sesuatu yang agak membimbangkan kita semua.  

Sesungguhnya apa yang menimpa 47 rakyat Malaysia di Penjara Banteay Meanchey yang langsung tidak dunia ketahui mengajar kita semua untuk sentiasa berwaspada dengan pujukan untuk mendapat gaji yang besar di luar negara.  Ini kerana melalui temubual dengan mereka menyatakan bahawa mereka hanya datang untuk bekerja dengan janji gaji bulanan sebanyak USD1,500 sebulan disebuah kasino. Mereka belum lagi mula bekerja dan baru hanya sampai beberapa hari dan telah ditangkap.

Untuk itu, adalah diharap agar Kerajaan Negeri Sarawak dibawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Openg akan bergandingbahu dengan Kerajaan Pusat dibawah Pakatan Harapan untuk bersama-sama membawa kesemua anak Sarawak kita pulang ke pangkuan keluarga mereka.  Kita tidak boleh membiarkan keluarga mereka berhadapan dengan situasi ini sendirian.  

Semoga ada sinar untuk usaha kepulangan mereka semua.  Usaha, doa dan tawakal.  Bertabahlah kepada keluarga yang terlibat.  Kami semua merasa kesedihan anda semua.  Cubit paha kanan, paha kiri kami terasa.  


#PrayforYusufIslam
#PrayFor47Malaysian
#NoToHumanTraffikking