Wednesday, 13 February 2019

YOU WILL NEVER WALK ALONE!



Giliran Delegasi Kerajaan Negeri Sarawak Berlepas Ke Cambodia

ATAS rasa tanggungjawab dan cintakan rakyat, Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg dan barisan kabinet Negeri Sarawak telah mengambil inisiatif sendiri dengan menghantar satu delegasi Kerajaan Sarawak pada hari ini untuk ke Cambodia bagi menguruskan apa yang perlu untuk membantu 47 tahanan rakyat Malaysia yang mana 44 tahanannya adalah anak Sarawak sendiri.  Delegasi ini diketuai oleh Datuk Sri Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Masyarakat Sarawak bersama-sama dengan MP Santubong iaitu Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar berserta Tuan Deddy Faisal Ahmad Salleh yakni Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia.  

Mereka sudahpun berlepas ke Siem Reap via Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan kira-kira jam 6.45 pagi tadi dan dijangka akan tiba di wilayah Penjara Banteay Meachey menjelang petang nanti.  Turut dinyatakan Delegasi Sarawak akan berada di Cambodia sehingga hujung minggu ini untuk membuat lawatan ke atas tahanan dan seterusnya mengadakan perbincangan dengan pihak Kerajaan Cambodia mengenai permasalahan 47 tahanan rakyat Malaysia yang dipenjarakan tanpa dibicarakan sejak dari 11hb Disember, 2018 yang lepas.  

Dek kerana hal ini melibatkan isu dua negara dan undang-undang antarabangsa maka ianya adalah sesuatu yang begitu sensitif untuk dirungkaikan seperti kata pepatah menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung pula jangan berselerakkan. Dan difahamkan sejak dari awal cerita lagi Kerajaan Sarawak tidak pernah melepas pandang malah sentiasa memberikan kerjasama dan berhubung rapat dengan Kementerian Luar Negeri Malaysia melalui Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak bagi setiap langkah yang hendak diatur di dalam menangani permasalahan ini.

Sama-samalah kita terus berdoa agar segalanya dipermudahkan dan sesungguhnya Kerajaan Sarawak tidak pernah meminggirkan mana-mana rakyatnya lebih-lebih lagi mereka yang di dalam kesusahan di luar negara dek kerana tersalah langkah ditipu oleh sindiket pemerdagangan manusia.  

You will never walk alone!

#Pray447Malaysian 

No comments:

Post a Comment