- Lawatan Delegasi Sarawak Ke 2 Buah Rumah Banglo di Cambodia 14/2/2019
JIKA tidak ada jalinan diplomasi antara kerajaan mana mungkin satu delegasi asing dibenarkan untuk membuat pencarian sendiri di negara orang. Dan langkah bijak Kerajaan Sarawak untuk menghantar delegasinya sendiri dengan langsung tidak membelakangkan Wisma Putra adalah sesuatu yang harus kita semua banggakan. Dan hasil daripada prosedur yang betul ini, delegasi dibenarkan untuk sama-sama menyelidiki pokok persoalan yang berlaku ke atas 47 tahanan rakyat Malaysia yang sedang dipenjara tanpa bicara di Penjara Banteay Meanchey, Poi Pet, Cambodia sekarang. Inilah berkah jalinan usahasama serta hubungan baik antara dua negara yang sudah terbina lama iaitu Malaysia/Cambodia.
Semalam, 14 Februari 2019 Delegasi Sarawak telah dibawa oleh pihak berkuasa wilayah Banteay Mancheay ke dua lokasi di sekitar Poi Pet yang menjadi tempat terakhir 47 tahanan rakyat Malaysia diami sebelum mereka ditangkap dalam satu serbuan polis pada tanggal 11 Disember 2018 yang lalu. Berdasarkan kepada lokasi serta keadaan rumah banglo ini dikatakan ianya dilengkapi dengan sistem keselamatan yang tinggi malah temboknya dibina tinggi serta keadaan rumah yang bukannya mesra pelawat sama sekali.
Menurut pihak berkuasa wilayah Banteay Mancheay, di dua buah banglo inilah tempat satu sindiket pemerdagangan manusia meletakkan mangsa-mangsa mereka setelah dijanjikan dengan pekerjaan yang lain seperti di industri perhotelan, telekomunikasi dan banyak lagi di dalam iklan pekerjaan di internet dengan habuan gaji antara USD1,500 hingga USD2,000. Mangsa yang kebanyakannya masih muda dan tidak mengetahui apa yang berlaku akhirnya antara suka atau tidak langsung terjerumus dengan taktik kotor mereka iaitu memaksa untuk menjadi pekerja bagi kegiatan perjudian dalam talian yang mempunyai rangkaian antarabangsa.
Berdasarkan penceritaan daripada beberapa orang tahanan anak Sarawak di Penjara Banteay Mancheay, mereka mendatangi bumi Cambodia secara berkumpulan dan berperingkat dan tatkala sampai langsung dibawa ke rumah banglo besar. Sejak itu tiada diantara mereka mampu untuk keluar ke mana-mana hanya dikurung di rumah banglo tersebut disediakan makan dan minum namun tidak boleh berkomunikasi dengan sesiapa di luar sana waima keluarga sekalipun sehinggalah mereka akhirnya ditangkap dan dibawa ke penjara untuk siasatan lanjut sehinggalah dunia mengetahuinya pada tanggal 7 Februari 2019 yang lalu.
Kedatangan Delegasi Sarawak ke dua buah rumah banglo ini sudah tentu mampu memberikan gambaran sedikit sebanyak apa yang telah dilalui oleh 44 orang anak Sarawak sebelum ini. Dan menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak yang menjadi Ketua Delegasi Sarawak iaitu Datuk Seri Fatimah Abdullah bahawasanya Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menyediakan segala bentuk bantuan kepada 44 anak Sarawak samada dengan menanggung penuh kos guaman dan sebagainya sekira kesemua mereka dibicarakan di mahkamah Cambodia kelak.
Walau bagaimanapun, Delegasi Sarawak akan mencuba sebaik mungkin berdasarkan perundingan diplomasi antara dua kerajaan jika kita mampu membawa pulang kesemua mereka lebih awal ke ibu pertiwi. Insya Allah.
#PRAYFOR47MALAYSIAN
Sumber gambar: NSTP
No comments:
Post a Comment