Monday, 11 February 2019

CARI DALANG AGENSI PEKERJAAN SAMPAI KE LUBANG CACING



CARI DALANG AGENSI PEKERJAAN SAMPAI KE LUBANG CACING!
- Misi Menyelamat 47 Tahanan Rakyat Malaysia Di Cambodia

SETELAH tular akan cerita 47 rakyat Malaysia yang ditahan di sebuah penjara terpencil di Cambodia sejak 11 Disember 2018, pelbagai pihak telah tampil ke hadapan untuk membantu memudahkan misi menyelamatkan mereka.  Kegusaran kita mengenai untung nasib 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan orang yang mana 44 daripadanya adalah anak Sarawak yang masih lagi muda belia telah menampakkan maklumbalas yang positif.  

Mungkin tekanan demi tekanan di peringkat antarabangsa telah membuahkan hasil kerana jika kita merujuk kepada berita yang diwar-warkan oleh Cambodia Daily bertarikh 10 February 2019 ada menyatakan bahawa segala persiapan telah diatur untuk membebaskan kesemua 47 tahanan rakyat Malaysia dan seterusnya menghantar mereka pulang ke tanahair secepat mungkin.  

Pautannya adalah seperti berikut:

https://www.cambodiadaily.com/crime/47-malaysians-detained-in-cambodia-could-be-heading-home-soon-145494/

Dan semalam, 10/2/2019 melalui satu kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh MP Julau mengwar-warkan bahawa Tuan Larry Sng bersama-sama dengan wakil keluarga tahanan dari Sarawak dan juga pihak media akan berlepas ke Cambodia pada hari Rabu ini, 13 Februari 2019. Tujuan mereka ke sana adalah untuk melawat dan melihat sendiri situasi sebenar 47 tahanan rakyat Malaysia. Lawatan ini telah diatur sepenuhnya oleh Kedutaan Malaysia di Cambodia.  Dalam kenyataan media itu, beliau turut menyatakan bahawa pihak Air Asia telah bersetuju untuk menanggung kesemua kos penerbangan pulang 47 tahanan ini kembali ke tanahair kelak.

Jika kita melihat kepada perkembangan terkini cerita 47 tahanan rakyat Malaysia sudah menampakkan hasil cuma apa yang menjadi ralat sekarang apakah pula tindakan yang diambil ke atas agensi pekerjaan yang bersekongkol dengan sindiket ini.  Walaupun difahamkan agensi pekerjaan tersebut sudah menutup operasinya sejak hal ini ditularkan namun jangan sama sekali kita terlepas pandang. Kesemua dalang-dalang ini yang sudah pastinya rakyat Sarawak sendiri harus dicari sehingga ke lubang cacing dan dibawa ke muka pengadilan.  

Adalah tidak mustahil jika mereka terlepas begitu sahaja akan ada lagi kes-kes penipuan yang sama pada masa hadapan.  Aktiviti pemerdagangan manusia ini tidak pernah berhenti dan sentiasa ada mangsa yang terbuai oleh janji-janji bulan bintang bergaji besar di negara orang.  Dek kerana kenaifan dan sifat tamak serta keadaan hidup yang mendesak di negara sendiri akhirnya bertukar menjadi satu mimpi ngeri seperti apa yang dilalui oleh 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Cambodia sekarang.

Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Lebih baik di negara sendiri.


#Pray447Malaysian
#NoToHumanTrafickking

No comments:

Post a Comment