SEMALAM, 17 Februari 2019 kita menyaksikan episod hitam yang terjadi ke atas 47 rakyat Malaysia berjaya dimuktamarkan dan sekaligus mereka sekarang sudahpun kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Detik pertemuan yang hiba tetapi penuh kegembiraan diwar-warkan di dalam dunia netizen dan akhbar-akhbar tempatan semalam. Satu kepulangan yang sememangnya dinantikan-nantikan kita semua sebagai rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.
Dalam pada itu corat-coret mengenai sindiket penipuan pemerdagangan manusia ini masih lagi mengimbau benak setiap rakyat Sarawak kerana rata-rata jika kita membaca ruangan komen mengenai hal ini mahukan tok dalang sindiket ini dijejaki dan dibawa ke muka pengadilan agar tiada lagi hal yang serupa berulang kembali. Pada dasarnya jika kita melihat kepada segala bual bicara mangsa-mangsa penipuan semalam melalui wawancara dengan pihak wartawan menyatakan mereka berurusan dengan menggunakan applikasi wechat sebelum dibawa masuk ke satu group media sosial. Dan turut dinyatakan bahawa sebelum mereka berlepas ke Cambodia yang mana menjanjikan pekerjaan dengan imbuhan bulanan USD1,500 sebulan, mereka telah memasukkan RM1,000 sebagai bayaran pendahuluan kepada satu agensi.
Begitulah modus operandi sindiket tersebut yang mana sehingga sekarang (setakat yang diketahui) belum ada tanda-tanda adanya kertas siasatan dibuka bagi mencari punca akan hal ini. Selain daripada itu jika kita merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Seri Fatimah Abdullah, ketua Delegasi Sarawak yang membawa kesemua mereka pulang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam turut ada menyatakan bahawa berdasarkan kunjungan mereka ke dua buah banglo mewah serta berbicara dengan dengan mangsa-mangsa, beliau tidak menolak adanya penglibatan rakyat tempatan di dalam hal ini. Ianya turut disahkan oleh Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar yang menyatakan bahawa mereka mempunyai beberapa petunjuk dan kesemuanya akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Dan episod cerita tok dalang sindiket ini semakin menarik tatkala sejurus ketibaan rombongan 53 rakyat Sarawak dan media di Kuching semalam menyaksikan seorang mantan ADUN telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Ulu Lanang, Sibu akan satu mesej berantai di dalam applikasi whassap. Menurut beliau mesej berantai itu cuba mengaitkan penglibatan beliau tentang sindiket pemerdagangan manusia dan judi online rangkaian antarabangsa. Hakikatnya jika sesiapa yang pernah menerima mesej berantai tersebut langsung tidak pernah menyebut nama individu yang terlibat.
Pokok persoalannnya sekarang, ceritera mengenai tok dalang rakyat tempatan ini tidak akan boleh dipandang sipi-sipi dan pihak yang bertanggungjawab seharusnya sudah mula menyusun strategi dengan mula membuka kertas siasatan. Sesungguhnya sebagai rakyat Sarawak tiada seorangpun yang mahu episod hitam ini berulang lagi. Cari tok dalangnya sampai ke lubang cacing!
No comments:
Post a Comment