Thursday, 7 February 2019

SELAMATKAN KAMEK MAK, KAMEK TAKUT! - YUSUF ISLAM-


SELAMATKAN KAMEK MAK, KAMEK TAKUT! - YUSUF ISLAM-
- 47 Orang Rakyat Malaysia Ditahan Di Penjara Cambodia

HATI ibu mana yang tidak meruntun jiwa jika mendapat panggilan daripada anak yang dikandung sembilan bulan di dalam perutnya memohon untuk diselamatkan setelah dibuai dengan janji bergaji besar di luar negara. Begitulah ceritanya seorang anak Sarawak yang bernama Yusuf Islam bin Abdul Halik, 21 tahun melalui perbualan telefon kali terakhir dengan ibunya Zunita binti Sedini pada tanggal 11 Disember 2018 yang lalu. Namun apakan daya keinginan menggunung 47 rakyat Malaysia  yang cuba mencari rezeki untuk penghidupan yang lebih baik akhirnya jatuh ke tangan manusia berhati syaitan yang membawa kepada mereka menjadi penghuni sebuah penjara terpencil yang terletak nun di utara Cambodia yang menjadi antara wilayah sempadan Cambodia dan Thailand iaitu Penjara Banteay Meanchey, Cambodia.   

Sudah hampir dua bulan berlalu hanya pada hari ini iaitu 7hb Februari 2019 melalui satu sidang akhbar yang dibuat oleh Ahli Parlimen Julau, Tuan Larry Sng Wei Shien di Hotel Merdeka Palace, Kuching pada jam 3.00 petang baharulah kita sebagai rakyat Malaysia mengetahui akan tragedi yang terjadi kepada mereka semua.  Hakikatnya jauh sebelum itu, satu usaha telahpun dilakukan oleh individu rakyat Malaysia iaitu pada tanggal 22 Januari 2019 jam 9.30 pagi dengan mengadakan lawatan ke penjara tersebut bersama seorang penterjemah serta seorang daripada ahli keluarga tahanan.

Melalui laporan lawatan dinyatakan bahawa tarikh penahanan mereka semua adalah pada tanggal 11 Disember 2018 iaitu seramai 55 orang dengan 47 warganegara Malaysia dan lapan orang warganegara China PRC (8 tahanan warga China telah dilepaskan). Dan kesemua 47 rakyat Malaysia ditangkap atas tuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti judi online haram di Cambodia. Daripada jumlah 47 orang warganegara Malaysia, 1 dari Selangor, 1 dari Kuala Lumpur, 2 dari Sabah dan selebihnya adalah dari Sarawak.   

Walaupun diceritakan bahawa kesemua tahanan rakyat Malaysia di dalam keadaan sihat walafiat namun agak menyayat hati apabila para tahanan turut menyatakan bahawa mereka telah diberikan makanan yang tidak halal dan tiada pilihan untuk survival mereka ikutkan juga.  Dek kerana minum air perigi maka ada yang sakit-sakit tetapi langsung tidak mendapat bantuan perubatan daripada pihak penjara di sana.  

Kesengsaraan yang menimpa 47 rakyat Malaysia ramai yang tidak mengetahui tetapi di dalam laporan lawatan yang diterima pihak kami turut menyatakan bahawa sepanjang proses lawatan tersebut kesemua pegawai penjara menunjukkan muka yang serius malah tidak dibenarkan langsung untuk mengambil gambar melainkan gambar-gambar yang ditunjukkan adalah gambar curi dan hanya setelah diberikan suapan USD50 kepada Ketua Pegawai Penjara baharulah setiap gambar curi yang diambil tidak dipadamkan.  Begitulah gayanya bila kita berhadapan dengan karenah pihak berkuasa di negara orang yang kita mengetahui terkenal dengan sikap “mesra” mereka.  

Selain itu apa yang menjadi persoalan sekarang berdasarkan keterangan lawatan menunjukkan hal ini semakin menjadi serius kerana berdasarkan kepada perundingan peribadi dengan Ketua Hakim disana hanya untuk mempercepatkan kes ini maka bayaran sebanyak USD2,000.00 seorang dikenakan yang harus dibayar kepada seorang peguam mereka terlebih dahulu. Jumlahnya adalah USD2,000 seorang x 4 individu x 47 orang = USD376,000.00. Begitu besar angka ini dan mampukah keluarga 47 tahanan ini mengadakannya sememangnya sesuatu yang agak membimbangkan kita semua.  

Sesungguhnya apa yang menimpa 47 rakyat Malaysia di Penjara Banteay Meanchey yang langsung tidak dunia ketahui mengajar kita semua untuk sentiasa berwaspada dengan pujukan untuk mendapat gaji yang besar di luar negara.  Ini kerana melalui temubual dengan mereka menyatakan bahawa mereka hanya datang untuk bekerja dengan janji gaji bulanan sebanyak USD1,500 sebulan disebuah kasino. Mereka belum lagi mula bekerja dan baru hanya sampai beberapa hari dan telah ditangkap.

Untuk itu, adalah diharap agar Kerajaan Negeri Sarawak dibawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Openg akan bergandingbahu dengan Kerajaan Pusat dibawah Pakatan Harapan untuk bersama-sama membawa kesemua anak Sarawak kita pulang ke pangkuan keluarga mereka.  Kita tidak boleh membiarkan keluarga mereka berhadapan dengan situasi ini sendirian.  

Semoga ada sinar untuk usaha kepulangan mereka semua.  Usaha, doa dan tawakal.  Bertabahlah kepada keluarga yang terlibat.  Kami semua merasa kesedihan anda semua.  Cubit paha kanan, paha kiri kami terasa.  


#PrayforYusufIslam
#PrayFor47Malaysian
#NoToHumanTraffikking

No comments:

Post a Comment