Thursday, 11 April 2019

CERITA TONG BIRU DI PARLIMEN SELANGAU




KALAU dulu inilah modal untuk memperkotak-katikkan usaha kerajaan di dalam membantu rakyat untuk mendapat bekalan air. Malah pernah sebelum ini dimuatnaik tentang cerita tong biru dari PH yang kemudian disangkal ianya berlaku SEBELUM PH memerintah. 

Namun apakan daya walau PH sudah memerintah Persekutuan ianya tetap menjadi titik penyelesaian di luar bandar jua. Berbilion-bilion diperuntukkan untuk membina lapangan terbang di negeri jelapang padi serta infrastruktur di Pulau Pinang. Rakyat Sarawak seperti biasa mampu tengok sahaja sementara peruntukan untuk Sarawak dipotong atau projek dibatalkan konon-konon kengkangan kewangan. 

Sementara itu, Kerajaan Negeri Sarawak menggunakan peruntukan sendiri untuk membina infrastruktur bagi kesenangan rakyat. Itupun yang dijanjikan timbalbalik hutang RM1 bilion untuk sekolah daif dikenakan pusingan U oleh Kerajaan PH. 

PH..Cakap tak serupa bikin! 

Tuesday, 9 April 2019

PINDAAN RRU ARTIKEL 1(2) PERLEMBAGAAN DITOLAK


SATU PENJELASAN YANG PENTING KENAPA RUU PINDAAN PERLEMBAGAAN 2019 DITOLAK OLEH PARLIMEN SEMALAM

DEFINISI “Persekutuan” dalam Artikel 160 Perlembagaan Malaysia adalah salah dan bertentangan dengan roh MA63. Ini kerana ianya bermaksud “Persekutuan “Malaya” BUKAN Malaysia”. Inilah di antara sebab kenapa Para MP GPS TIDAK MAHU MENGUNDI atau ABSTAIN dari mengundi RUU Pindaan Perlembagaan semalam kerana definisi PERSEKUTUAN yang sedia ada itu salah dan harus dipinda sekali. Ia juga kerana RUU tersebut TIDAK memberi apa apa manfaat kerana langsung tidak menunjuk dan memperakukan kedudukan atau STATUS Sabah & Sarawak sebagai EQUAL PARTNER atau EQUAL PARTY kepada MA63.
Pendek kata RUU tersebut adalah tidak lengkap, terlalu mentah dan kosong tanpa isi stau intipati yang dikehendaki oleh rakyat Sarawak dan Sabah sebenarnya. Ia seumpama “melepas batuk di tangga” dan di buat atas dorongan nafsu politik PH. Maka ia boleh dianggap sebagai dan hanyalah satu helah politik semata-mata ( “a mere political ploy”) . Jika RUU tersebut diluluskan pun ia tidak ada langsung membawa apa-apa makna atau manfaat disegi Equal partner Status dan lain-lain malah semakin menambah kekeliruan rakyat, para MP GPS dan MP pembangkang yang lain .
Usaha Kerajaan PH di dalam membentang RUU ini ternyata tidak telus, tidak tulus dan tidak ikhlas terhadap rakyat Sarawak & Sabah maka kerana itulah ianya tidak di undi oleh para MP GPS .
Untuk semakan mudah dibawah ini adalah definisi “Persekutuan” yang sedia ada dalam Perlembagaan Malaysia.
“Artikel 160: “ Persekutuan” ertinya Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957;
Ia sepatutnya berbunyi :
“Persekutuan” ertinya Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963. “.
Kerana definisi salah ini masih tertera dalam Perlembagaan, maka RUU pindaan pada Artikel 1(2) menjadi tidak lengkap dan tidak bermakna dan seterusnya tidak disokong serta gagal mendapat 2/3 undi.
Dato’ Idris Buang
Ketua Penerangan
Pesaka Bumiputera Bersatu
Sarawak
10 April 2019

BENGKENG SARAWAK, BENGKENG BERTEMPAT


- Sesi Perbahasan RUU 1(2) Perlembagaan Malaysia 2019


SESI perbahasan untuk pindaan RRU 2019 sudahpun bermula sekitar 2.30 petang tadi. Dan sehingga ke setakat ini ianya masih berlangsung dengan maha hebat daripada kesemua ahli-ahli Dewan Rakyat. Kedua-dua kem mempunyai ulasan tersendiri.


Setakat ini, pihak wakil Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak telah menjalankan tugas mereka begitu lancar dan berkesan di dalam menyatakan tuntutan Sarawak sebelum ini yakni tidak bersetuju dengan cadangan pindaan yang hanya melibatkan pengkelompokan (a) (b) di dalam perkara 1(2) yang hendak dipinda.


Bertindak daripada suara bantahan itu, pihak Persekutuan tampil dengan pindaan baru yang mana memasukkan frasa seperti yang asal sebelum pindaan dengan memasukkan negeri-negeri Borneo bagi menyatakan negeri Sarawak dan Sabah. Dan melalui keterangan daripada Perdana Menteri Malaysia pun menyatakan dengan mengkhusus bahawasanya Perkara 160(2) TIDAK AKAN DIPINDA kerana tiada keperluan.


Tegas dengan pendirian tersebut, wakil MP Petrajaya iaitu DS Fadillah Yusuf menyatakan sebarang pindaan haruslah menyatakan MA63 dan dek kerana itu beliau meminta agar frasa "pursuant to MA63" dimasukkan ke dalam pindaan kerana hanya dengan ini sahaja ianya boleh menjadi satu silang rujukan dengan MA63 yang ada.


Dan wakil GPS kedua iaitu MP Santubong. DS Wan Junaidi tampil bertenaga "menyekolahkan" sidang ahli Dewan Rakyat tentang kronologi penubuhan Malaysia melalui Suruhanjaya Cobbold dan seterusnya melalui Deklarasi Manila yang menyaksikan UN Secretary General mendatangi Sarawak dan Sabah untuk membuat pengesahan tentang apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Cobbold.


Yang diutarakan oleh MP Petrajaya dan MP Santubong sebenarnya adalah pembuktian betapa kefahaman dan celik mereka mengenai kedudukan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai asas kepada penubuhan Negara Malaysia. Ketegasan ini penting kerana tanpa mencatatkan MA63 maka pindaan itu tidak akan membawa apa-apa makna. 


Begitu menarik penggulungan daripada MP Santubong yang menyatakan dengan cukup terang sehingga kesemua sidang dewan rakyat terdiam iaitu "Jika Perjanjian 57 boleh dimasukkan dalam Perlembagaan, kenapa MA63 tidak boleh dimasukkan sekali? Pindaan untuk mengembalikan status tidak akan bermakna jika elemen M63 tidak dimasukkan sekali".


Inilah ketikanya untuk wakil Sarawak menyatakan hakikat sebenarnya tentang maha pentingnya MA63 dan bukannya hanya sebegitu sehaja. MA63 adalah "ibu" kepada penubuhan Malaysia. Tanpa ianya dihormati dan dimartabatkan semula SEGALA PINDAAN ADALAH KOSONG SAMA SEKALI.


Bengkeng Sarawak, bengkeng bertempat. Itu sudah pasti.

Sunday, 7 April 2019

SOKONGAN SEMBRONO RUU 1(2) AKAN MENJERAT SABAH SARAWAK


EPISOD cadangan pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia terus-terusan menjadi bualan hangat media-media rasmi dan warganet di Sabah dan Sarawak.  Ini kerana walau ia sesuatu yang dinanti-nantikan lebih-lebih lagi turut menjadi antara butiran di dalam manifesto Kerajaan Pakatan Harapan sewaktu PRU ke-14 yang cuba untuk ditunaikan, namun keputusan yang ditampilkan begitu mengecewakan bagi rakyat Sarawak dan Sabah sebagai pemegang taruh (stakeholder).

Bagi seorang MP Sarawak kerajaan PH, Tuan Chong Chien Jeng pula masih lagi belum memahami atau sengaja tidak memahami mengapa pindaan tersebut mendapat bantahan dan diminta penangguhan perbahasannya oleh ahli-ahli parlimen Gabungan Parti Sarawak di Dewan Rakyat minggu lepas.  Pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh beliau umpama “si tanggang anak derhaka” kepada ibu pertiwinya demi untuk menagih simpati daripada penyokong yang berbeza fahaman politik.  Pautannya adalah seperti berikut:


Dalam pada itu di pihak yang membawa usulan iaitu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pula telah tampil berani mengwar-warkan kepada media dan sosial media bahawa tindakan usulan mereka telah mendapat persetujuan sepenuhnya daripada Ketua Menteri Sarawak dan Sabah sendiri.  Dan ia sebenarnya adalah kenyataan bidaah sama sekali kerana menurut Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, beliau malah Ketua Menteri Sabah TIDAK PERNAH menyetujui pindaan yang dilakukan ke atas RRU 1(2) seperti yang digembar-gemburkan.  Ianya telah dimasukkan di dalam kenyataan media beliau semalam malah turut mendapat liputan media seperti pautan ini:

https://www.nst.com.my/news/nation/2019/04/476774/sabahsarawak-cms-did-not-give-approval-amendment-article-12-abang-johari

Jika difikirkan tindakan Ahli-ahli Parlimen GPS itu ada sebabnya kerana ia melibatkan masa hadapan Sarawak selepas ini.  Apa yang disajikan melalui susunan ayat di dalam pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia yang diolah oleh Kerajaan PH langsung tidak kena pada gayanya.  Ini kerana ia tidak membuktikan apa-apa sekalipun walau Sabah dan Sarawak sudah dibezakan dengan kelompok  kelompok (a) dan (b) sahaja.  

Sedangkan di dalam membuat pindaan tersebut haruslah menepati apa yang terkandung di dalam Artikel 160(2) Perlembagaan Malaysia yang menafsirkan dengan jelas bahawa makna “Persekutuan” adalah satu persekutuan yang dibentuk melalui Perjanjian Persekutuan Malaya 1957.  Sekiranya dipersetujui maka sudah terang lagi bersuluh, Sabah dan Sarawak itu sudah menjadi mutlak taraf negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan bukannya rakan kongsi seperti yang tercatit di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Demi memperjelaskan bagaimana pindaan olahan Kerajaan PH ini langsung tiada impak malahan telah menekan Sabah Sarawak untuk setaraf dengan 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia yang menandatangani Perjanjian Persekutuan Malaya 1957 yang memerdekakan mereka pada tanggal 31 Ogos 1957 sedangkan Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi apabila hanya menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 bersama-sama dengan Persekutuan Malaya dan Singapura.  Ianya telah diperjelaskan oleh seorang penasihat undang-undang Sarawak yang terkenal iaitu Dato Seri JC Fong.  Pautannya adalah seperti berikut:


Tindakan GPS ada sebabnya dan bukan aksi sembrono pada setiap langkah mereka lebih-lebih lagi ini merupakan perjuangan sejak di zaman Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem lagi.  Dek kerana kesilapan pada tahun 1976 menyaksikan pindaan Artikel 1(2) itu dipersetujui oleh wakil-wakil parlimen Sarawak yang lepas tanpa merujuk kepada pemegang taruh yang lain di Sarawak.  Tiada bukti hansard di Dewan Undangan Negeri Sarawak bahawasanya pindaan 1976 dibahaskan di dewan pada waktu itu melainkan kita hanya melihat tandatangan wakil-wakil parlimen Sarawak.  Sedangkan undang-undang tubuh Negeri Sarawak cukup memperjelaskan bahawa sebarang pindaan yang melibatkan Sarawak di peringkat pusat haruslah dipersetujui oleh Sarawak sebagai pemegang taruhnya.  

Dek kerana kesilapan ini yang menjadi sejarah hitam di dalam kronologi bersejarah Malaysia, menyaksikan ianya sentiasa dimain-mainkan sentimennya beribu-ribu kali oleh penyokong di pihak PH sendiri termasuklah Tuan Chong Chien Jeng suatu waktu dahulu.  Ketua WHIP GPS, Dato Seri Fadilah Yusuf terang-terangan menyatakan di dalam sidang akhbarnya sejurus selepas usulan di Dewan Rakyat pada 4hb April 2019 yang lepas bahawa mereka sehati sejiwa mahukan usulan tersebut dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sarawak dahulu agar segalanya diperincikan dan diterangkan kepada ahli-ahli yang berhormat di Sarawak sebelum diusulkan di peringkat Parlimen.  Lagipun beliau menambah Steering Committee MA63 masih lagi di peringkat perbincangan dan sehingga ke hari ini kesemua pokok persoalan hak-hak yang terhakis, hak-hak yang tidak boleh dipertikaikan masih di dalam proses tanpa dimuktamarkan lagi.  

Jadi, apakah pula niat Chong yang seumpama ayam berak kapur, terkinja-kinja ke sana ke mari dengan menekan Sarawak untuk terus menerima pindaan tanpa mengetahui isi di dalamnya.  Menurut beliau itu merupakan langkah pertama untuk pengembalian status Sarawak sebagai rakan kongsi.  Sedangkan jika dari segi pemahaman dan setelah melihat draf cadangan yang hanya diserahkan 24 jam kepada ahli Parlimen GPS sebelum usulan di Parlimen betul-betul lari dari semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang sebenarnya.  

Tindakbalas daripada GPS bukan sembrono kerana mereka membawa harapan dan aspirasi rakyat Sarawak. Sudah terbukti GPS dengan kepimpinan DP Abang Jo belajar daripada kesilapan pemimpin terdahulu pada tahun 1976 yang menjadi kekesalan rakyat Sarawak hingga ke hari ini.   Buat apalah hendak menerima cadangan pindaan tersebut jika ianya seumpama pak kadok, ayam sabungnya menang TETAPI KAMPUNG TERGADAI.  Fikir-fikirkanlah.

#Sarawakdiutamakan 

Thursday, 4 April 2019

TANPA ARTIKEL 160(2) DIPINDA, STATUS SABAH SARAWAK DISAHKAN SEBAGAI NEGERI DI DALAM MALAYSIA SECARA TOTAL


SEMALAM menyaksikan Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak, Barisan Nasional dan PAS seia sekata memohon penangguhan untuk pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang dibentangkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan.  Kecoh di Dewan Rakyat tatkala kumpulan ini bangun dan tegas menyatakan pendirian mereka atas hal tersebut.  

Dalam pada itu mungkin ramai yang masih tertanya-tanya mengapa Sarawak dan Sabah mahukan ianya ditangguh dahulu sedangkan itulah antara misi dan visi kedua-dua kerajaan selama ini yakni diiktiraf semula sebagai rakan kongsi pembentuk Negara Malaysia seperti yang berlaku 55 tahun yang lepas sebelum ianya dipinda pada tahun 1976.  

Bagi memberi kefahaman yang lebih adalah moleh untuk kita mendengar kenyataan yang diulas oleh seorang penasihat undang-undang Sarawak yang berpengalaman di dalam hal ini.  Datuk Sri JC Fong bukanlah satu nama yang asing bagi kita di dalam bidang undang-undang.  Menurut beliau, walau pihak persekutuan cuba untuk meminda Artikel 1(2) dengan menjadikan Sabah dan Sarawak di ruangan (b) selepas menyenaraikan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia di ruangan (a), ianya tetap tidak memberikan apa-apa impak kerana Sarawak dan Sabah tetap sebuah negeri di dalam Malaysia.   

Tambah beliau lagi, tanpa meminda definisi “Persekutuan” seperti terkandung di dalam Artikel 160(2) yang mana dijelmakan setelah Perjanjian Persekutuan Malaya 1957, Sabah dan Sarawak sebenarnya sudah dituruntaraf sebagai sebuah negeri di dalam Malaysia secara mutlak.  Pindaan makna “Persekutuan” berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 sahaja yang akan dapat menjelaskan bahawa Sabah dan Sarawak adalah sebagai rakan kongsi penubuhan Malaysia yang disebut cukup jelas di dalam perjanjian tersebut.

Berita penuh di pautan ini:

https://www.utusanborneo.com.my/2019/04/05/status-sarawak-sabah-tidak-diubah-dalam-pindaan-fong?fbclid=IwAR14MvEXhUUkSo3pQsWVsjQzEpukXhQ5l_cuRz3W8nhxE7XDXUF7qfjN_Oo

CADANGAN PINDAAN PERKARA 1(2) PERLU DIRESTUI DUN SARAWAK


GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) berpendapat bahawa cadangan Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan hanyalah bersifat kosmetik semata-mata dan ia langsung tidak memenuhi aspirasi serta hasrat sebenar rakyat Sarawak.
Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof menerusi satu kenyataan, hari ini berkata, pindaan tersebut seharusnya diperhalusi sebaik mungkin dengan mengambilkira pandangan semua pihak atau pemegang taruh terbabit di peringkat Persekutuan, Sarawak dan Sabah.
Justeru, GPS mencadangkan supaya pindaan ditangguhkan sehingga perundingan di peringkat Jawatankuas Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimuktamadkan.
Jelas beliau, sebarang pindaan perlu dibawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terlebih dahulu sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
Ini kerana pindaan tersebut wajar dilakukan secara menyeluruh melibatkan hak-hak yang sepatutnya dikembalikan kepada Sarawak dan bukan setakat menukar status Sarawak sebagai rakan kongsi sahaja.
Dalam pada itu, Fadillah turut menegaskan persoalan pokok berkaitan hak-hak dan keistimewaan yang dituntut Sarawak termasuklah yang terhakis, tidak dimasukkan di dalam cadangan pindaan berkenaan.
Perkara tersebut adalah Perkara 160 mentakrifkan ‘persekutuan’ dengan merujuk kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, yang hanya melibatkan Semenanjung dan Bilangan Ahli Parlimen, wakil-wakil rakyat dan senator-senator serta ahli Jemaah Menteri Persekutuan, disemak semula bagi mencerminkan perkongsian sama taraf.
Jelas Fadillah lagi, pindaan mesti merangkumi semangat dan roh yang terkandung dalam MA63 dibaca bersama dengan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.
Kredit: TVSarawak.com

Monday, 1 April 2019

PENGEMBALIAN STATUS SARAWAK SABAH SEBAGAI PEMBENTUK NEGARA MALAYSIA


MASA itu berlalu terlalu cepat dan diam tidak diam sudah hampir setahun Kerajaan Malaysia diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan.  Mei 2018 menjadi saksi tumbangnya satu kerajaan gabungan yakni Barisan Nasional yang ditubuhkan pada tanggal 1 Januari 1973 bagi menggantikan Parti Perikatan sejak zaman kemerdekaan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia pada tahun 1957.  Dan penubuhan Negara Malaysia pada tahun 1963 menyaksikan Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) mempunyai parti-parti tempatan tersendiri sebelum beberapa parti tempatan bertindak menjadi gabungan Barisan Nasional pada tahun 1973.
Di dalam manifesto Kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu menyatakan bahawa mereka sekiranya berkuasa akan mengembalikan status Sarawak dan Sabah.  Ianya bukanlah satu hal yang luar biasa kerana sekiranya kita mendengar suara-suara rakyat Sarawak mahupun Sabah sememangnya ia begitu kuat berkumandang malah di ketika pemerintahan Allahyarham Pehin Sri Adenan lagi ianya menjadi visi dan misi Kerajaan Sarawak biarpun pada ketika itu parti pemerintah Sarawak merupakan gabungan Barisan Nasional itu sendiri.  
Ketika itu Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional dibawah mantan Perdana Menteri iaitu Dato Seri Najib Razak sudahpun mengarahkan pembentukan “Jawatankuasa Kerja MA63” yang dianggotai oleh beberapa ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak dan Persekutuan.    Dan tatkala Kerajaan Pakatan Harapan berkuasa dengan dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang pernah memerintah Malaysia selama lebih 22 tahun dan ingin mengembalikan status ini secara lebih teratur dan bukan hanya dengan mesyuarat demi mesyuarat maka ianya adalah satu berita yang begitu menggembirakan ramai pihak di Sarawak dan Sabah.    
Ditambahlagi senario politik juga berbeza di Sabah dan Sarawak pada kali ini kerana kedua-duanya diterajui oleh parti tempatan. Sabah diperintah oleh Parti Warisan (pro-PH) dan Sarawak diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak yang sebelumnya telah keluar dari Barisan Nasional dan menubuhkan parti politik gabungan yang berteraskan tempatan semata-mata.  Dan sejak awal-awal penubuhan GPS melalui pengerusinya iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari sudah mengwar-warkan antara penyebab utama mereka keluar dari Barisan Nasional adalah untuk memastikan hak Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia mampu dituntut tanpa bias.  

Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 & Inter-Governmental Committee
Jika kita menggodek sejarah lama bagaimana bermulanya episod “penurunan” status Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) berlaku pada tahun 1976. Ianya berkaitan dengan Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia draf yang pertama yakni:

Article 2: The State of the Federation shall be:-

(a) The States of Malaya, namely Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor and Trengganu. 

(b) The Borneo States, namely, Sabah and Sarawak; and

(c) The State of Singapore.

Kemudian pada tahun 1976, ianya telah dibuat pindaan dan menjadi seperti berikut:

Article 2: The States of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Trengganu. 

Sementara pada tanggal 9 Ogos 1965, Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia telah “diusik” sebegitu sahaja tanpa merujuk kepada entiti pembentuk yang lain iaitu Sarawak dan Sabah dengan hanya membuang 2 ( c ) berkenaan dengan “The State of Singapore” hanya kerana Singapura sudah keluar dari Malaysia pada masa itu.  
Impak besar yang berlaku ke atas pindaan pada tahun 1976 itu menyaksikan status Sarawak dan Sabah sebagai rakan sejajar pembentuk Malaysia bersama Malaya (Semenanjung Malaysia) turut ditidakkan dengan menjadikannya negeri ke-12 dan ke-13 di dalam Malaysia.  Sekaligus ianya langsung tidak menghormati roh sebenarnya Perjanjian Malaysia 1963 yakni satu perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh United Kingdom, Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah dengan nombor siri 10760 didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tanggal 21 September 1970 iaitu hanya selepas tujuh tahun Negara Malaysia ditubuhkan.
Hakikatnya bila berbicara soal Perlembagaan Malaysia yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak itu sendiri adalah harus mempunyai refleksi dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan Inter-Govermental Committee (IGC).

Suara Ketidakpuasanhati Rakyat Sarawak dan Sabah Terhadap Persekutuan
Dari segi keluasan geografi, negara Malaysia ini 60% keluasannya adalah milik Sabah dan Sarawak yang kaya dengan sumber alam seperti minyak, gas, balak dan juga maritimnya.  Dan kesemua ini menjadi penjana utama berhasilan ekonomi bagi Negara Malaysia.  Namun hampir 55 tahun membentuk Malaysia, Sabah dan Sarawak mengungguli carta wilayah termiskin di dalam Malaysia malah kadar pembangunan baik dari segi infrastruktur seperti jalanraya, air bersih, elektrik dan sekolah-sekolah masih lagi begitu mendukacitakan.  Ini adalah antara yang menjadi penyebab kepada ramai anak muda bangun menyatakan ketidakpuasan mereka.
Dahulu semasa proses awal pembentukan Malaysia, hal mengenai hasil-maksum dan peluang rakyat Sarawak dan Sabah untuk merasai segalanya ini menjadi antara yang difikirkan dahulu oleh orang tua-tua terdahulu.  Dek kerana itulah awal-awal lagi mereka telah mengemukakan draf memorandum tersendiri yang dikenali sebagai Perkara 20 untuk Sabah dan Perkara 18 untuk Sarawak.  Walaupun ada butiran di dalam Perkara 18/20 ini sudahpun diserapkan di dalam Perlembagaan Malaysia contohnya seperti Akta Imigresen 1959/1963 yang mana menyaksikan Sarawak dan Sabah mempunyai kuasa autonomi di dalam imigresennya tersendiri yang sehingga sekarang masih tidak difahami dan dipersoal oleh ramai rakyat Malaysia namun segalanya adalah untuk menjaga hak rakyat Sarawak dan Sabah dari diambil “orang luar” biarpun sesama rakyat Malaysia.  
Hal seperti Borneonisasi iaitu hak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak dan Sabah di tempat sendiri misalnya sentiasa dilaungkan dahulu sehingga memungkin mana-mana yang bukan rakyat Sarawak/Sabah harus mempunyai permit kerja.   Dan apabila Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem meluaskan misi untuk mempunyai 90% tenaga pengajar di sekolah-sekolah di Sarawak adalah rakyat Sarawak ianya begitu dialu-alukan. Dan di dalam sejarah juga, Sarawak pernah mengeluarkan order untuk melarang sama sekali pengambilan tenaga kerja bukan rakyat Sarawak di dalam industri Petroleum bagi memartabatkan Borneosasi itu sendiri.  Jika dikatakan rakyat Sarawak tidak mempunyai kepakaran maka ianya adalah bidaah sama sekali kerana rakyat Sarawak sudah lama di dalam eksplorasi minyak sejak zaman Brooke malah sehingga sekarang ramai menempa nama di luar Sarawak melalui syarikat carigali minyak dan gas antarabangsa.  
Akta Pembangunan Petroleum 1974 pula merupakan satu akta yang menjadi duri dalam daging kerana akta ini membolehkan penghasilan minyak dan gas menjadi hak ekslusif kepada satu perbadanan kerajaan yang dinamakan Petronas.  Selepas itu sebagai timbal balik hanya sekadar 5% yang diberikan sebagai bayaran royalti kepada negeri pengeluar manakala pihak persekutuan menikmatinya dengan jumlah yang lebih besar.  Suara-suara untuk meminta pengkajian semula royalti mula kedengaran dan akhirnya Kerajaan Pakatan Harapan yang dalam manifestonya menyelitkan pemberian 20% royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak.  Cuma bezanya bukan 20% royalti minyak daripada jumlah yang diambil sebaliknya 20% royalti minyak dari keuntungan bersih yang seperti yang diwar-warkan oleh mereka pada persidangan yang lalu lantas ditolak mentah-mentah oleh Sarawak dan Sabah kerana ianya jika didarab bahagi nescaya akan kurang jumlahnya dari 5% royalti yang digunapakai oleh Kerajaan sebelumnya.  
Dan sekarang, Sarawak tampil dengan Oil and Mining Ordinance 1958 yang menyaksikan Sarawak mempunyai kuasa keatas hasil minyak dan gasnya dengan mengenakan cukai keatas sebarang hasil minyak dan gas yang dieksport ke luar negara.  Menjelang September 2019 ianya akan dikuatkuasa yakni 5% cukai eksport dikenakan.  Ini hanya permulaan malah baru-baru ini Ketua Menteri Sarawak pernah menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak tidak akan teragak-agak untuk menaikkan lagi cukai eksport petroleum sekiranya Kerajaan Persekutuan sekarang cuba bermain tarik tali untuk mengurangkan jumlah peruntukan bagi Sarawak.  
Berbicara dari aspek peruntukan atau bajet untuk Sarawak, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa memberikan peruntukan yang secukupnya untuk pembangunan dan pentadbiran di Sarawak mahupun Sabah tanpa mengira siapakah pemerintah kerajaan itu samada satu pasukan atau tidak dengan kerajaan yang membentuk persekutuan adalah wajib.  Sebagai berstatus rakan kongsi ianya tercatit begitu jelas di dalam Perkara 112C Pemberian Khas dan Penyerahan Hasil Kepada Sabah dan Sarawak dan Perkara 112D Kajian Semula Pemberian Kepada Sabah dan Sarawak di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Bayangkan sekiranya ia benar-benar ditepati baik ketika Barisan Nasional memerintah dan sehingga ke kerajaan persekutuan sekarang, Sarawak mahupun Sabah tidaklah seumpama mengemis akan hak sendiri. Ironinya jika kita melihat kepada frasa Perkara 112D itu sendiri menyatakan secara mengkhusus bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya membuat semakan semula setiap lima tahun sekali untuk menjadi peruntukan kepada Sabah dan Sarawak adalah mencukupi namun malangnya kali terakhir ianya dibuat semakan adalah pada tahun 1969. Kerajaan Persekutuan itu sendiri “berhutang” dengan Sarawak dan Sabah berbilion-bilion hingga sekarang.  

2/3 undi menyokong untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia
Telah diwar-warkan bahawa Kerajaan Persekutuan sekarang iaitu Pakatan Harapan akan mengusulkan pindaan untuk pengembalian status Sarawak dan Sabah pada persidangan parlimen yang sedang berlangsung sekarang.  Dikatakan berkemungkinan besar ianya akan diusulkan samada pada minggu ini atau minggu hadapan yakni sebelum persidangan parlimen menutup tirainya.  Dan dari awal-awal lagi, wakil Pakatan Harapan menyatakan mereka memerlukan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk menyokong usul ini kerana mereka masih belum mempunyai 2/3 suara majoriti bagi membenarkan pindaan artikel tersebut.
Jika ianya baik mungkin ianya akan disokong cuma masalahnya sehingga sekarang dikatakan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak masih belum diberikan draf bil untuk mereka mengkaji apakah usulan tersebut. Jika difikirkan secara logik, mahukah kita umpama membiarkan pisang berbuah dua kali atas kesilapan masa lalu sehingga membenarkan status ibu pertiwi berubah sewenang-wenangnya tanpa mengkaji luar dan dalam natijahnya kelak.  Ini kerana kesilapan itulah nanti yang akan dikenang anak cucu sehingga tujuh generasi seperti apa yang berlaku sekarang.  
Selain itu jangan pernah kita lupa bahawa 2/3 majoriti turut dituntut di dalam Dewan Negara yang mana ahli-ahlinyA dikuasai sebahagian besar wakil-wakil daripada Barisan Nasional. Kita harus melihat bagaimana pada persidangan yang lepas, usul untuk memansuhkan Akta Sebaran Berita Palsu tidak menjadi kenyataan kerana wakil-wakil daripada BN tidak menyokong akta itu dimansuhkan.  Dan apakah pula yang terjadi pada pindaan artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan ini kelak kerana sewaktu zaman BN ianya tidak diusulkan hanya dek kerana musyawarah antara rakan segabungan (Sarawak di dalam BN waktu itu) ianya direalisasikan tanpa menyentuh akta itu sekalipun.   Nawaitu wakil BN di dalam Dewan Negara juga kita tuntut kerana adakah benar mereka mengiktiraf Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi pembentuk Malaysia atau sebaliknya.  

Episod pengembalian status Sarawak dan Sabah sebagai pembentuk Negara Malaysia adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh rakyatnya.  Ia seperti langkah pertama untuk satu perjalanan yang beribu-ribu batu jauhnya bagi mengapai destinasi terakhir.  Kepincangan selama ini seharusnya diredakan di pihak pemerintah dengan cara yang terbaik sekali atau jiwa anak muda pewaris kepimpinan masa hadapan Sabah dan Sarawak akan terus bergelora dengan suara-suara ekstrim yang bercorak majoriti dan bukan lagi berkumpulan seperti sekarang.  Masing-masing mempunyai hak untuk perjuangan memartabatkan tanahairnya.  
“Anang Malaysia tuk sebaka tebu, manis di pun, taba di ujung”


Rujukan: