Wednesday, 10 August 2016

MIEZA NAWAWI, SILA LETAK JAWATAN!



KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa perumpamaan lama yang menunjukkan betapa kita perlu berhati-hati apabila berbicara. Tetapi kerana keangkuhan seorang yang baru sahaja bergelar Ahli Parlimen Belia Malaysia mewakili zon Sarawak iaitu Nurwynie Sharmiza binti Nawawi atau terkenal dengan panggilan Mieza Nawawi di laman facebooknya tidak menggunakan sebaik mungkin bidalan lama itu.
“Bodoh”, “shallow dude” itulah yang dilabelkannya ke atas kepimpinan negeri Sarawak yang dipimpin oleh Datuk Adenan. Tidak cukup dengan itu menghina dan melabelkan warga kerja anak Sarawak sebagai “kepakaran ke laut” , “hanya pemenuh kuota kerja” dan “tiada professionalism” turut menghiasi keangkuhan dirinya. Kesemua ini telah menghiris hati rakyat Sarawak yang mana diterjemahkan melalui betapa viralnya ketidakpuasan rakyat kepadanya tanpa mengira kaum dan agama bersatu memerangi keceluparan anak Sarawak yang menjadi pengkhianat negeri sendiri ini.
Kenyataan maaf yang tidak langsung menunjukkan keikhlasan hatinya turut menjadi kecaman rakyat Sarawak. Tanpa pernah segan dan malu serta tidak belajar dari kesilapan, beliau masih lagi mendabik dada atas nama mewakili belia mengenai hak untuk bersuara. Tidak semudah itu untuk bermain kata-kata kerana jika beliau seorang yang biasa itu mungkin boleh diterima tetapi tidak jika ianya adalah daripada APBM yang mana menjadi tonggak kepada barisan pelapis pemimpin Sarawak suatu hari nanti. 
Sikap angkuh serta kedangkalan beliau ini harus diajar kerana kita orang Sarawak tidak akan membenarkan individu seperti ini menginjak-nginjak bangsa dan negeri sendiri sewenang-wenangnya. Bertanggungjawablah dengan setiap perbuatan dan jangan umpama hanya melepas batuk di tangga. 
Nurwynie Sharmiza binti Nawawi @ Mieza Nawawi jika mempunyai maruah harus MELETAK JAWATAN SEBAGAI APBM ZON SARAWAK. Ramai lagi belia anak Sarawak yang lebih layak untuk menggantikan tempatnya di parlimen belia.

PINGAT PERAK UNTUK MALAYSIA




SEJARAH tercipta hari ini apabila Cheong Jun Hoong dan ratu terjun negara anak Sarawak, Pandelela Rinong menghadiahkan pingat perak di dalam acara terjun seirama 10m platform. Di dalam sejarah olimpik Malaysia inilah pertama kalinya kita memperolehi pingat di dalam acara ini.
Buat masa sekarang Malaysia di tangga ke 31 di dalam jumlah pungutan pingat Olimpik 2016 di Rio.
Syabas dan Tahniah kontinjen Olimpik Malaysia serta 2 penerjun negara kita yang mengharumkan nama Malaysia di acara sukan paling berprestij di dunia. Kedua terbaik di dunia bukan sesuatu yg biasa malah paling luarbiasa pencapaiannya.
Untuk Pandelela Rinong.. Proud of you, anak Sarawak!
Malaysia Boleh! 
Anak Sarawak Boleh!


Sunday, 7 August 2016

PERMIT KERJA BARU DI PETRONAS DIBEKUKAN SERTA MERTA


DALAM beberapa hari ini, rasa tidakpuashati rakyat Sarawak kepada polisi Petronas di dalam memberi ruang untuk tenaga kerja anak Sarawak di syarikat carigali ini semakin kuat kedengaran.  Malah corat coretnya turut diluahkan oleh barisan kabinet Kerajaan Negeri Sarawak itu sendiri. 
Bertindak daripada itu, Datuk Adenan sebagai pemimpin no 1 Kerajaan Negeri Sarawak telah mengumumkan bahawa pembekuan permit kerja baru untuk orang bukan Sarawak yang memohon untuk bekerja di Petronas di Sarawak DIBEKUKAN dengan serta merta (7 Ogos 2016).  Dan tiada kesalahan untuk pembekuan ini memandangkan Sarawak sendiri mempunyai kuasa autonomi dan ianya sudahpun diperjelaskan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dahulu. 
Satu tindakan yang ditunggu-tunggu oleh warga Sarawak sebenarnya kerana sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Sarawak menunjukkan keseriusan kita di dalam memastikan tindak tanduk sebuah syarikat carigali ini.  Pihak Petronas seharusnya membantu pihak Kerajaan Negeri Sarawak dengan mengadakan banyak peluang pekerjaan agar rakyat Sarawak dapat berdaya saing di dalam industri-industri yang melibatkan sumber alam Sarawak.  
Ianya pasti bukan satu tindakan yang ingin menunjukkan kuasa Kerajaan Negeri Sarawak sebaliknya dibuat bagi memartabatkan peluang kerja anak Sarawak sentiasa ada di tanah tumpah mereka sendiri.   

Friday, 5 August 2016

PETRONAS! JANGAN HINA SARAWAK!


JANGAN menghina Sarawak..itulah yang diterjemahkan oleh YB Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga merupakan Menteri Muda Perumahan Sarawak baru-baru ini. 

Kenyataan ringkas ini bertitiktolak daripada cara Petronas iaitu syarikat yang mengendalikan carigali minyak di Sarawak yang dikatakan memberi peluang pekerjaan kepada warga bukan Sarawak. Sebaliknya pihak Petronas menganaktirikan peluang warga Sarawak untuk bekerja di syarikat mereka.

Sememangnya apa yang dilakukan oleh Petronas itu adalah sesuatu yang melampau kerana sumber yang dikorek adalah daripada sumber Sarawak.  Dan usah diperkata tentang warga professional kerana anak Sarawak tidak pernah kurang dengan kepakaran mereka malah telah dibuktikan di syarikat-syarikat carigali dalam dan luar Negara. 

Harus ramai lagi yang terus menekan apa yang Petronas lakukan ini lebih-lebih lagi ianya berkaitan dengan peluang pekerjaan anak tempatan Sarawak serta sumber bumi Sarawak yang juga menjadi hak kepada Sarawak selama ini. 

Cukup-cukuplah kita diperlekehkan selama ini seumpama kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.  

Wednesday, 3 August 2016

TRADISI “ANTING-ANTING LOYANG” SEMAKIN DILUPAKAN


DAHULU pemakaiannya adalah simbol kepada kecantikan wanita Kaum Orang Ulu Sarawak dan proses untuk mendapat “kecantikan” ini bukannya satu yang mudah malah memakan masa.  Inilah tradisi pemakaian anting-anting Loyang yang sering kita lihat ada pada warga emas di kalangan wanita Kaum Orang Ulu Sarawak sekarang.   
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Orang Ulu Sarawak dikatakan hanya beberapa ratus orang sahaja wanita Kaum Orang Ulu Sarawak yang masih lagi mempunyai cuping telinga yang panjang serta masih lagi memakai anting-anting Loyang.  Dan tidak dinafikan tidak lama lagi ianya akan pupus kerana tiada penerus kepada adat warisan ini daripada generasi muda sekarang.
Jika kita mengimbau tradisi ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di kalangan keluarga Kaum Orang Ulu Sarawak iaitu prosesnya bermula sejak masih bayi lagi.  Secara tradisi, ibubapa mula menebuk cuping telinga bayi mereka yang hanya berumur sekitar beberapa bulan dengan menggunakan buluh kerana pada suatu waktu dahulu sebatang jarum amatlah mahal harganya di pasaran.
Prosesnya bermula dengan meregang cuping telinga bayi mereka yang masih berumur beberapa bulan dengan memakai anting-anting loyang berat yang diperbuat daripada tembaga atau anting-anting lain. Berat anting-anting baru akan ditambah dari semasa ke semasa untuk terus meregangkan cuping telinga, selalunya sehingga ke paras bahu si pemakai.
Pada peringkat awal pemasangan anting-anting loyang digunakan sebagai pemberat dianggarkan seberat 100 gram. Beratnya kemudian diubah dari semasa ke semasa sehingga mencecah 500 gram sepasang. Anting-anting berkenaan akan dipakai pada waktu siang hari dan akan dibuka pada waktu malam.
Kebiasaannya, mereka menggunakan tembaga kerana ia kekuningan bersinar dan menyerupai warna emas. Saiz dan bentuknya pelbagai, ada yang menyerupai gelang dan ada juga berbentuk bulat dan bujur. Itulah tradisi pemakaian anting-anting loyang ini yang memerlukan kesabaran kerana prosesnya begitu memakan masa sehingga seperti adanya yang kita lihat di foto-foto vintage itu.
Sayang sekali tradisi yang unik dan mengetengahkan kekayaan budaya dan tradisi etnik di Sarawak ini hanya mampu kita lihat di gambar-gambar lama sedikit masa lagi memandangkan ianya semakin dilupakan dimamah waktu oleh dunia moden yang pantas ini. 

MENUNTUT AUTONOMI BUKAN SEMUDAH PINTU DORAEMON


HANYA kerana Datuk Adenan mengeluarkan kenyataan ringan bagi mengingatkan pihak Putrajaya untuk memberikan keutamaan mengenai perbincangan Autonomi Untuk Sarawak maka berduyun-duyun kenyataan daripada pihak pembangkang Sarawak dikeluarkan.  Cuba untuk meyakinkan rakyat bahawa perbincangan seperti telah gagal. 

Jika kita mengimbau daripada mula lagi Datuk Adenan telah mengwar-warkan bahawa ianya bukan satu proses yang singkat sebaliknya memakan masa malah beliau sendiri usai sahaja perbincangan di Putrajaya tempohari turut menyatakan bahawa rakyat Sarawak mungkin akan mendapat berita gembira selewat-lewatnya hujung tahun 2016 ini. 

Diam bukan bermakna tiada usaha dijalankan kerana kita sendiri maklum bahawa Jawatankuasa Teknikal Autonomi Sarawak sedang berusaha sebaik mungkin dengan Peguam Negara serta Peguam Sarawak bagi mengusaikan apa yang perlu.  Inilah gaya pembangkang Sarawak melalui Presiden PKR Sarawak, Baru Bian baru-baru ini yang seolah-olah menunjukkan bahawa seperti ada sesuatu yang tidak kena daripada tuntutan autonomi Sarawak.

Jangan sesekali kita sebagai rakyat Sarawak terbuai dengan hasutan mereka.  Mungkin bagi mereka hal mengenai tuntutan autonomi ini semudah menggunakan “pintu doraemon” yang bila berkehendak sahaja terus ada di depan mata. 

Bersabarlah kita semua dan berikan sokongan kepada Datuk Adenan untuk membuat apa yang perlu. 

BINTULU MENDAPAT TEMPIAS TAUFAN NIDA




PADA awal pagi semalam 3 Ogos 2016, kita dikejutkan dengan berita di Bintulu yang dilanda angin ribut.  Banyak kerosakan yang berlaku dari beberapa rumah penduduk Bintulu diterbang angin, pokok-pokok tumbang, tiang lampu patah dan sebagainya.  Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaannya penduduk Bintulu melalui detik-detik yang mencemaskan ini.

Beberapa jam sebelum musibah ini berlaku sememangnya pihak Jabatan Meteorologi Malaysia telahpun mengeluarkan Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Kategori Pertama dengan dinyatakan kelajuan angin boleh mencecah 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) di kawasan perairan Bintulu dan Miri. 

Bila melihat kepada amaran itu sahaja kita tahu betapa besarnya musibah yang boleh berlaku dan di sebalik segalanya kita bernasib baik kerana ianya tidak mencederakan atau memakan jiwa mana-mana penduduk Bintulu malam tadi.  Dan sehingga sekarang dikatakan pihak yang berwajib di Bintulu sedang bertungkus lumus berpadu tenaga membantu dan membaiki segala kerosakan untuk memulihkan Bintulu seperti sediakala. 

Ribut semalam juga menyaksikan ada kecelakaan berlaku di lautan apabila dilaporkan sebuah  bot ikan turut tenggelam di kawasan perairan Bintulu.  Bot ikan yang keluar ke laut dari Kuala Sarikei ini berlindung di kawasan perairan Bintulu namun akibat tidak dapat badai laut yang ganas serta hujan yang lebat menyebabkan bot dimasuki air dan akhirnya tenggelam.  Dikhabarkan Tekong berjaya menyelamatkan diri tetapi tidak 2 krew yang dikatakan masih hilang sehingga sekarang.  Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan oleh mereka yang berwajib.

Sama-samalah kita berdoa agar tiada lagi musibah selepas ini lebih-lebih lagi di dalam minggu ini sememangnya banyak hujan lebat dan angin kencang melanda negeri kita.