Wednesday, 7 September 2016

BORNEO INTERNATIONAL KITE FESTIVAL 2016





GUDI di dalam bahasa Melayu Sarawak ataupun layang-layang di dalam bahasa Malaysia standard merupakan antara permainan tradisional yang menghiasi setiap permainan tradisi di seluruh dunia.
  Saban tahun ada sahaja pesta mengenainya yang diadakan di segenap pelusuk dunia. 

Di Sarawak iaitu untuk lebih spesifik di Bintulu saban tahun menjadi tuanrumah Borneo International Kite Festival dan sentiasa mendapat sambutan penyertaan daripada pelbagai Negara di dunia.  Mula diperkenalkan pada tahun 2005 dan ianya sudahpun tercatit di dalam acara kalendar pelancongan Sarawak mahupun Malaysia itu sendiri. 

Untuk tahun 2016 ini, festival ini akan bermula dari 28 September hingga 2 Oktober 2016 dan sudah tentu ianya akan menyajikan pertunjukan layang-layang yang lebih gempak berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Jadi jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan suasana festival ini. Sekaranglah masanya untuk mula mengatur perancangan percutian bersama keluarga ke Bintulu.  Ianya sudah tentu akan menjanjikan pengalaman yang luar biasa.   

Tuesday, 6 September 2016

ISU GELANDANGAN DI BANDAR BESAR SARAWAK


GELANDANGAN di Bandar-bandar besar Sarawak seperti sudah menjadi perkara biasa bagi warga kota.
  Mungkin kerana desakan hidup yang mencengkam apabila tinggal di desa menyebabkan ada yang mengambil jalan untuk berhijrah ke Bandar-bandar demi sesuap nasi. 

Namun begitu ada ketikanya nasib tidak menyebelahi mereka kerana kos hidup di Bandar-bandar besar agak tinggi sehingga menyebabkan ada yang menjadikan lorong-lorong kedai menjadi tempat tinggal mereka.  Dan ada juga sesetengah gelandangan ini sememangnya mempunyai pelbagai penyakit seperti pesakit mental mahupun yang sudah menjadi mangsa dadah tegar sehingga gagal untuk pulang ke pangkal jalan. 

Di Sarawak misalnya kebanjiran gelandangan di kota besar turut menjadi kebimbangan masyarakat setempat.  Dan oleh kerana itulah semalam menyaksikan Menteri
Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah telah turun padang bersama-sama dengan pelbagai agensi membuat pemeriksaan tempat-tempat yang menjadi kawasan gelandangan di Bandar Sibu.

Ianya adalah satu tindakan yang terpuji dan harus dilakukan dari semasa ke semasa di seluruh Bandar di Sarawak.  Isu gelandangan ini harus dibanteras dan puncanya harus diketahui dengan segera agar jalan penyelesaian boleh dirangka dengan lebih berkesan.
 
  

Monday, 5 September 2016

PERTAHANKAN TAPAK PERKUBURAN PURBA ETNIK DALIEK




DALAM beberapa hari yang lepas viral mengenai penemuan tapak perkuburan purba di sebuah tanah perkuburan Islam lama yang terletak di tengah-tengah kawasan industri Tanjung Kidurung, Bintulu. Ianya merupakan satu penemuan yang amat bersejarah memandangkan yang ditemui terlalu berharga di dalam sejarah Islaminasasi etnik Daliek yang merupakan etnik minoriti di Sarawak.

Menurut sejarahnya etnik Daliek adalah mereka yang berasal dari rumpun Kaum Orang Ulu Sarawak yang dahulunya tinggal di rumah panjang dan terkenal dengan perang kayau atau perang perluasan wilayah mereka. Dahulunya beragama pagan dan apabila adanya pengaruh Kesultanan Brunei di wilayah Sarawak akhirnya mereka memeluk Islam dan seterusnya meninggalkan rumah panjang dan mengasimilasikan diri mereka mengikut lunas-lunas Islam sebagai satu cara hidup iaitu pada awal kedatangan Islam sekitar kurun ke-16 Masihi lagi.

Etnik Daliek seperti juga etnik minoriti seperti Narom, Bakung dan Miriek adalah mereka yang terkenal sebagai tentera yang setia kepada Kesultanan Brunei Darussalam dan turut mendapat jolokan “Tentera Lipan Baram” oleh Sultan Abdul Kahar iaitu salah seorang Sultan yang pernah memerintah Brunei Darussalam suatu ketika dahulu. Sejarah keagungan tentera lipan baram ini pernah diceritakan ketika ada rombongan bangsa Eropah yang berkunjung ke istana Brunei suatu ketika dahulu iaitu sebelum Perang Kastila 1587 berlaku di Brunei.

"….beta mempunyai 30,000 orang seperti ini yang sedia menurut perintah, dan beta yakin Orang Inggeris, Belanda, Perancis dan Sepanyol tidak akan mampu menentang mereka? Beta tahu orang-orang putih mahu mengambil Borneo, tetapi beta tidak pernah gentar....." - Sultan Abdul Kahar –

Mengimbau sejarah lama ini sudah cukup untuk kita mempertahankan tapak yang penuh bersejarah ini daripada terus menjadi mangsa kepada sikap rakus kapitalis yang hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata. Adalah menjadi tanggungjawab kita mempertahankan setiap mercu tanda sebuah peradaban yang menunjukkan ketamadunan anak bangsa kita.

Seharusnya juga tapak perkuburan lama ini terus digali sejarahnya kerana pusara-pusara yang ditinggalkan sungguh unik motifnya serta bertandakan tulisan jawi yang menunjukkan kekayaan seni ukiran orang kita dulu-dulu serta pengaruh Islam di dalam carahidup mereka.

Puliharalah ia sebagai sumber rujukan generasi muda Sarawak yang lain dan perindahkan tapaknya agar menjadi salah satu mercu tanda tarikan pelancongan dan penggemar sejarah di seluruh dunia.

Friday, 2 September 2016

MINYAK SEKIU "MADE IN JEMORENG”


BILA berkata tentang makanan tradisi ini, Sarawak sememangnya kaya dengan kulinari-kulinari tradisi mereka yang diperturunkan sejak ratusan tahun dahulu dari satu generasi yang lain sehinggalah sekarang. Di kalangan etnik Melanau di daerah Jemoreng misalnya turut terkenal dengan satu makanan yang diuli di dalam nasi yang panas-panas yang dikenali sebagai Minyak Sekiu.

Minyak sekiu sebenarnya adalah ekstrak minyak yang didapati dari sejenis buah hutan yang dinamakan buah sekiu. Di daerah Jemoreng, Matu merupakan antara tempat yang banyak mempunyai pohon sekiu tumbuh dan kerana itulah masyarakat Melanau di Jemoreng sudah mengetahui memakan minyak sekiu ini sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi.

Menariknya mengenai minyak sekiu ini adalah sehingga sekarang proses untuk ektraksinya masih lagi berdasarkan kepada kaedah tradisional yang diwariskan sejak dahulu lagi di kalangan masyarakat Melanau Jemoreng. Mungkin kerana keasliannya amat dititikberatkan menyebabkan harga minyak sekiu ini sangat mahal iaitu boleh mencecah RM100 untuk 50 ml.

Dan menurut pengesahan yang dikeluarkan oleh pakar pemakanan baru-baru ini ada menyatakan bahawa minyak sekiu itu mempunyai nilai perubatan yang cukup tinggi iaitu baik untuk sistem jantung seorang manusia.

Jika berdasarkan kepada laporan perubatan ini adalah wajar sekiranya Kerajaan Negeri Sarawak melihat bagaimana untuk memajukan lagi minyak sekiu sebagai salah satu perolehan ekonomi Sarawak kerana sudah tentu permintaannya di pasaran amat menggalakkan. 

Wednesday, 31 August 2016

MEMAHAMI TARIKH BERSEJARAH DI DALAM PEMBENTUKAN MALAYSIA


16 HARI lagi, kita akan merayakan ulangtahun penubuhan Gagasan Malaysia yang usianya baru menjangkau 53 tahun.  Di dalam memperkatakan mengenai tarikh keramat ini terdapat 3 lagi tarikh bersejarah yang harus difahami oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.  Ianya adalah 31 Ogos 1957, 31 Ogos 1963 dan 22 Julai 1963 yang mempunyai signifikasi tarikhnya tentang hari kemerdekaan 3 entiti pembentuk Gagasan Malaysia sekarang. 
Menyelusuri sistem pendidikan yang selama ini menjadi aspek penting di dalam menyerapkan makna patriotism, kita sudah almaklum bahawa 31 Ogos 1957 itu menjadi topik yang mendominasi semuanya apabila berbicara mengenai tarikh kemerdekaan Negara. Dan kita akur dan hormat malah merayakannya dengan penuh bangga tarikh 31 Ogos saban tahun sebagai tarikh lahirnya satu bangsa Malaysia yang bebas merdeka. 
Namun begitu usahlah dilupakan bahawa 31 Ogos 1963 (Sabah merdeka) dan 22 Julai 1963 (Sarawak merdeka) juga penting didalam memperkatakan kelahiran Sabah mahupun Sarawak yang mana pada ketika itu sudah mempunyai pentadbiran anak tempatan yang tersendiri bebas dari cengkaman British sepertimana Persekutuan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957. 
Dan 16 September 1963, Hari Malaysia juga penting untuk difahami oleh semua lapisan rakyat Malaysia iaitu hari pembentukan Gagasan Malaysia yang dibentuk oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Singapura dan Sabah.  Pemahaman dan penjelasan yang pro-aktif itu perlu agar tiada lagi suara-suara sumbang yang cuba mengadu domba kesatuan rakyat Malaysia atas satu hal yang Nampak kecil tetapi sebenarnya mempunyai impak yang besar. 
Kenyataan senada dan seirama ini dikeluarkan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Fatimah Abdullah dan juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Electricity and Telecommunications) Dr. Abdul Rahman Junaidi sewaktu sambutan Hari Kebangsaan Malaysia peringkat DUN masing-masing semalam.   
Dan usulan ini sememangnya sesuatu yang baik memandangkan Sarawak mahupun Sabah juga sebenarnya mempunyai keunikan sejarahnya yang tersendiri yang ramai rakyat Malaysia tidak mengetahuinya. Dan alangkah baiknya jika matapelajaran Sejarah Malaysia sekarang juga harus dirombak bagi lebih memperkasakan sejarah Sabah dan Sarawak agar lebih difahami oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.

“THERMAL SCREENING” VIRUS ZIKA BERKUATKUASA DI SARAWAK


PENULARAN virus zika sudah semakin hampir dengan Malaysia apabila lebih 80 kes sudah dilaporkan berlaku di Singapura setakat ini.  Untuk itu jangan kita pernah memandang enteng akan hal ini kerana buruk padahnya kepada sistem imunisasi seorang manusia lebih-lebih lagi pada ibu yang sedang hamil. 
Bertitiktolak daripada itu, Sarawak melalui Kementerian Kesihatannya sudahpun mengambil langkah pro-aktif dengan membuat penguatkuasaan melakukan “Thermal Screening” pada mana-mana individu yang menggunakan pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.  Segala kemungkinan boleh sahaja berlaku lebih-lebih lagi sehingga sekarang, Sarawak belum pernah bebas daripada denggi yang juga disebabkan oleh virus bawaan nyamuk yang sama. 
Untuk itu setiap penumpang yang hendak membuat perjalanan dari/ke Singapura akan terpaksa melalui tahap pemeriksaan ini memandangkan ianya begitu senang berjangkit.  Sesuatu yang harus rakyat Sarawak ketahui, kesan virus zika ini terlalu besar terutamanya kepada ibu-ibu yang hamil kerana bayi-bayi yang dilahirkan nanti akan terencat tumbesarannya. 
Selain daripada itu, adalah dinasihatkan agar rakyat Sarawak terus menjaga kesihatan diri sendiri lebih-lebih lagi memastikan kawasan sekitar bebas daripada sarang nyamuk.  Pembersihan dari semasa ke semasa harus ditingkatkan. 

Tuesday, 30 August 2016

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA



31 Ogos, tarikh kemerdekaan Malaysia. Salam kemerdekaan untuk semua anak Malaysia walau dimana jua anda berada.