Wednesday, 3 May 2017

“RANYAI”




PEJAM celik, pejam celik kita sudah kian mendekati bulan Jun. Dan setiap Jun, kita di Sarawak akan merayakan Perayaan Gawai Dayak yang disambut pada tanggal satu hingga dua Jun saban tahun.  Inilah perayaan tradisi masyarakat Dayak Sarawak yang sudah dilestarikan berabad lamanya namun masih utuh memegang adat dan warisan perayaannya.

Pembuatan “Ranyai” misalnya adalah salah satu daripada warisan Gawai Dayak yang akan dilakukan di setiap rumah panjang Dayak.  Ianya merupakan simbolik bagi mengatakan bahawa tidak lama lagi Gawai Dayak akan menjelma dan segala persediaan untuk menyambutnya harus dilakukan.  Mengikut tradisinya selepas “Ranyai” siap maka penduduk rumah panjang akan meletakkan pelbagai barangan di ranyai tersebut.  Barang-barang seperti makanan atau minuman di dalam botol akan disangkut kepada ranyai.  

Usai ini semua barulah upacara “ranyai” diadakan dengan ada seorang penghuni rumah panjang yang telah dipilih awal akan mula menari ngajat mengelilingi ranyai. Pada ketika dia menari ngajat dengan paluan gong dan peralatan muzik tradisional Iban itu nanti, barulah beliau akan memilih satu barangan yang disangkut pada ranyai.  Caranya adalah dengan memotong ikatan barangan pada ranyai dengan menggunakan parang.  Kemudian, parang yang digunakan itu nanti akan diberikan kepada penduduk rumah panjang yang seterusnya secara bergilir-gilir sehinggalah semua barangan yang digantung pada ranyai itu tiada lagi.  Kebiasaannya sesiapa yang mengambil giliran memegang parang terakhir, dialah yang akan menumbangkan ranyai itu nanti.  

Inilah kekayaan warisan dan budaya yang masih dilestarikan sehingga sekarang.  Kekayaan ini semualah yang menjadikan masyarakat Dayak di Sarawak begitu unik sekali.

Tuesday, 2 May 2017

PROVOKASI MELAMPAU





SELALU mereka yang sebegini akan berselindung disebalik “kebebasan bersuara” namun hakikatnya ia boleh membawa kepada kemarahan kepada sesetengah penganut agama di Sarawak. Dengan kita di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama malah sentiasa gah berkata kita mempunyai toleransi yang terbaik mengapa harus ada sekelompok manusia sebegini.  

Jangan sesekali membuat provokasi sebegini seolah-olah terlalu cetek undang-undang syariah di Sarawak.  Bertanggungjawablah ketika membuat posting tidak kira di dalam facebook sekalipun.  


Saturday, 29 April 2017

2 ANAK SARAWAK JUARA MATEMATIK DUNIA






KECIL-KECIL cabik padi namun tiada siapa menyangka 2 anak Sarawak mampu melakar nama Malaysia untuk sebaris dengan jagoan matematik dunia. Sememangnya ianya satu yang diluar jangkauan kita semua lebih-lebih lagi kedua-dua “pakar matematik cilik” ini mendapat pendidikan di 2 buah sekolah Kuching, Sarawak iaitu Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub dan SK (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan.

Najmi Asyraaf bin Abdul Halim dan Jad Haris Sabaruddin, begitulah 2 nama anak Sarawak yang begitu membanggakan kita semua kerana hakikatnya inilah pertama kalinya Malaysia pernah menjuarai pertandingan yang begitu menguji minda serta bertaraf dunia. Pertandingan Matematik Sedunia yang ke-14 untuk tahun 2017 berlangsung di Kota Manila, Filipina beberapa hari yang lepas.

Pada pertandingan ini, pasukan Malaysia turut disertai oleh 23 orang pelajar dari seluruh Malaysia bagi bertanding di dalam pelbagai kategori. Selain Najmi dan Jad yang dikalungkan 2 pingat emas, rakan seperjuangan mereka yang lain tidak pulang dengan tangan kosong kerana turut menghadiahkan 4 Perak dan 18 gangsa untuk pasukan Malaysia secara keseluruhan.

Syabas dan tahniah semua. 

Wednesday, 26 April 2017

DIARI “IMAM CILIK” SEBAGAI BUKTI



CERITANYA Allahyarham Mohd Thaqif Amin bin Mohd Gaddafie, seorang pelajar sekolah tahfiz persendirian di Johor Bahru tular beberapa hari ini.  Ini kerana keadaannya yang dikatakan tercedera teruk akibat adanya unsur-unsur penderaan sehingga menyebabkan beliau kehilangan kedua kakinya dan seterusnya semalam menyaksikan beliau yang sepatutnya menjalani pembedahan tangan pula tidak sempat dilakukan.  Imam “cilik” ini akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultan Ismail begitu meruntun hati kita semua sebagai rakyat Malaysia.  

Di media massa tempatan pula bercerita mengenai diari peribadi coretannya yang dikatakan mampu menjadi bukti untuk siasatan pihak yang berwajib bagi merungkai punca sebenar kepada kematiannya.  Apa yang dikongsi di dalam ruangan ini juga (menurut sumber) merupakan salah satu daripada helaian diari Allahyarham Mohd Thaqif yang ternyata menunjukkan bahawa beliau sebenar juga merupakan mangsa buli di sekolah berkenaan.  Tidak tertahan dengan deritanya mungkin beliau pernah mengusulkan kepada keluarganya untuk dirinya bertukar sekolah tetapi sayang tiada yang mendengar.   

Mungkin jika ada yang mendengar perkara seperti ini dapat dielakkan namun inilah suratan yang telah tertulis untuk beliau.  Mana-mana ibubapa harus peka kepada setiap luahan dan kehendak anak-anak kerana dunia sekarang amat berbeza.  Ditambahlagi bukan satu cerita biasa ada pihak pentadbir sekolah yang sengaja menyembunyikan cerita yang sebenar demi menjaga nama baik sekolah mereka. Dan kerana itulah mengapa pihak yang berwajib sekarang sudah dibolehkan menggempurkan “gangsterism” di sekolah berbanding dahulu.  

Pokok pangkalnya sekarang, peristiwa tragis yang menimpa Allahyarham Mohd Thaqif harus diadili dengan sebaik-baiknya.  “Si pendera” yang bertindak “gila” harus dibawa ke muka pengadilan dan sekiranya didapati bersalah harus dihukum seberat-beratnya.  Dan jangan pula dilupakan pelajar yang menjadi “raja pembuli” juga harus diambil tindakan kerana kita tidak mahu adalagi bakal imam-imam cilik kita menerima nasib yang sama seperti Allahyarham.  

Salam takziah untuk keluarga Allahyarham Mohd Thaqif Amin bin Mohd Ghadaffie. Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.  

Alfatihah. Amin.  

Tuesday, 25 April 2017

PROJEK PEMBINAAN SIBU STREET MARKET



SIAPA tidak kenal dengan Sibu Night Market yang terletak di Jalan Market, Sibu.  Ianya mempunyai daya tarikan tersendiri apabila kita berkata mengenai perniagaan pasar malam.  Dari kulinari sehinggalah ke apa sahaja semuanya ada di lokasi ini sehingga ianya menjadi antara daya tarikan kepada pelancong yang berada di Sibu.

Namun sejajar dengan waktu kawasan ini juga sudah semakin sesak dan perlukan pembaharuan. Maka sudah ada perancangan untuk menaiktaraf lokasi ini untuk lebih berdaya saing pada masa depan.  Kos pembinaannya sahaja dijangka akan menelan belanja sebanyak RM2 juta akan menukar lanskap di kawasan ini.  

Sekaligus, apabila siapnya kelak akan menjadi satu lagi mercu tanda menarik bagi Bahagian Sibu.

UPPER REJANG DEVELOPMENT AUTHORITY DITUBUHKAN


LAWATAN kerja CM Abang Jo semalam ke Kapit menyaksikan satu lagi perkhabaran gembira buat rakyat.  Ini kerana bagi membantu memudahkan pentadbiran pembangunan di wilayah SCORE telah diwar-warkan satu lagi badan berkanun ditubuhkan.
Penubuhan Upper Rejang Development Authority (URDA) diharap akan menjadi pemangkin kepada penyelarasan pembangunan yang akan dikecapi oleh wilayah Upper Rajang yang mencakupi wilayah yang besar iaitu 38,000 kilometer persegi itu kelak.  Ianya ditubuhkan dibawah Regional Corridors Development Authorities (RECODA) Ordinance 2006.  
URDA itu nanti akan dipengerusikan oleh Tan Sri James Jemut Masing dengan timbalannya adalah Datuk Alexander Nanta Linggi.