Friday, 7 October 2016

SONGKET SARAWAK KE PENTAS DUNIA


Peralatan menyulam songket Sarawak berlatar belakangkan bangunan Colloseum, Rom. 
Menjadi antara tarikan mengetengahkan songket Sarawak ke mata dunia. 

Antara foto peragaan busana songket Sarawak yang berjaya diketengahkan 
dan menghiasi dunia makalah fesyen di Perancis.

Pemain sape kelahiran Sarawak Alena Murang bermain sape di ketika peragaan 
songket Sarawak dipentaskan.

JIKA tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya… Itulah pepatah lama di dalam kita memperkatakan tentang kekentalan jiwa untuk membuat sesuatu. Tiada pernah berputus asa dan sudah tentu apabila ianya sudah diketahui dunia mesti ada yang menghargainya. Pujian ini dikhaskan untuk sebuah NGO Sarawak yang diberi nama Tanoti House yang telah cukup gah membawa songket Sarawak, tekstil warisan Melayu Sarawak ke pentas dunia.

Mungkin ramai rakyat Sarawak sendiri tidak mengetahui kejayaan Tanoti House  ini kerana pada tanggal 26hb September 2016, siapa pernah menyangka bahawa Songket Sarawak telah digayakan di pentas “runaway” di Kota Paris yang sinonim untuk memasarkan apa sahaja busana terkini di dunia.   Pada ketika inilah juga para pelanggan dunia fesyen terkemuka turut ada bagi melihat busana yang akan popular untuk koleksi musim panas 2017 nanti. 

Nama pereka fesyen seperti Bon Zainal, Jo Disaya, Bill Keith, Keith Kee, Fizi Woo, Sakura Malaysia, Ruzz Gahara Porosus dan Zang Toi turut berada di pentas yang sama dan sekarang sudah terpahat satu lagi nama dari Sarawak iaitu  Tanoti House pula jalan beriringan bagi menjayakan Malaysia Fashion Week Global Launch event yang diadakan di sebuah kapal mewah di Escale de Grenelle menyusuri Sungai Seine, Paris, Perancis.  Dan Tanoti House menampilkan segalanya mengenai songket Sarawak yang telah dijadikan busana kontemporari yang sesuai digayakan oleh sesiapa sahaja yang ingin menggayakan busana yang unik ini. 

Siapa menyangka songket Sarawak yang merupakan warisan turun temurun komuniti Melayu Sarawak yang hanya menghiasi upacara cukur jambul, perkahwinan dan sebagainya suatu waktu dahulu sudah berjaya mengetuk pintu dunia fesyen peringkat global.  Dan lebih manis lagi di ketika busana kontemporari berasaskan Songket Sarawak digayakan oleh barisan model-model terkenal antarabangsa ada seorang anak Sarawak iaitu Alena Murang pula menjadi pemuzik latar memperdengarkan alunan sape, satu lagi alat muzik tradisional Sarawak yang berjaya menjadikan suasana di Sungai Seine, Paris seperti “A little Sarawak”.   

Sarawak sudah mempunyai Datuk Tom Abang Saufi yang gah namanya di dalam dunia fesyen bermotifkan pua kumbu dan batik Sarawak dan sekarang kita juga mempunyai Tanoti House yang berjaya “menjual” songket Sarawak ke pentas dunia.  Satu kejayaan yang harus kita banggakan kerana tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar tulus ikhlas memperjuangkan warisan kita.  Dari hanya sebuah NGO yang mengangkat warisan seni songket Sarawak menjadi antara pemain busana tradisional Sarawak peringkat global.

Tahniah Tanoti House.


Wednesday, 5 October 2016

NILAI RAMPASAN RASUAH TERBESAR DI DALAM SEJARAH SPRM




JIKA di negara China, mengikut undang-undangnya mana-mana mereka yang sudah disabitkan kesalahan dengan rasuah akan dikenakan hukuman mati iaitu bagi kes yang melebihi 100,000 yuan (RM52,251). Selain itu jika dibuat penangguhan hukuman mati kebiasaannya ianya diringankan menjadi penjara seumur hidup. Itulah caranya Negara China mengajar rakyatnya untuk menghindari “budaya” rasuah dengan mengenakan hukuman yang seberat-beratnya.

Semalam di Malaysia viral dengan satu kes rampasan rasuah yang mana pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah cawangan Sabah telah membuat satu rampasan ke atas seorang Pengarah dan Timbalan Pengarah sebuah agensi awam. Kedua-duanya didakwa menyalahgunakan kuasa mereka untuk beberapa projek infrastruktur yang bernilai hampir RM3.3 billion di Sabah. Susulan penahanan itu juga melibatkan dua orang awam iaitu seorang yang berpangkat “Datuk” dan seorang akauntan yang dikatakan mempunyai perkaitan dengan kedua-dua yang didakwa untuk membantu siasatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Sabah, iaitu Datuk Azam Baki, nilai rampasan untuk kes rasuah di Sabah ini adalah seperti berikut:

1. Wang tunai di dalam ringgit Malaysia sebanyak RM52 juta. RM45 juta diambil dari simpanan peribadi Pengarah manakala RM7.5 juta dari simpanan peribadi Timbalan Pengarah. Juga wang tunai berjumlah hampir 8 juta di dalam bentuk matawang asing iaitu Yuan, Riyal, Dollar Hong Kong, Yen, Dollar Singapore dan banyak lagi. Kesemua wang tunai ini disembunyikan samada di pejabat mahupun di rumah keluarga mereka.

2. Wang berbentuk simpanan akaun bank samada semasa dan tetap yang berjumlah hampir RM23 juta.

3. Wang tunai RM2.5 juta yang diletakkan di dalam 6 peti simpanan bank (Safe Deposit Box) dan terdapat 5 lagi peti simpanan bank yang masih belum dibuka kerana menunggu kelulusan pihak bank.

4. Barang kemas dan jam tangan berjenama mewah serta 127 keping geran tanah.

5. Rampasan dari 2 orang awam yang bergelar Datuk dan Akauntan pula adalah sebanyak RM37 juta yang dimasukkan di dalam akaun bank mereka.

Apa yang dicatitkan hanyalah bukti kes yang telah disahihkan buat masa sekarang sementara turut dikatakan bahawa ada banyak lagi nilai rampasan yang akan dibuat kerana ianya juga melibatkan akaun-akaun bank di luar Negara yang memerlukan sedikit masa untuk dilakukan. Dijangka nilai rampasan sebenar boleh mencecah sehingga RM300 juta yang juga menjadikan rampasan rasuah di Sabah merupakan rampasan paling terbesar di dalam sejarah SPRM.

Melihat kepada senario ini sesungguhnya pihak SPRM telah menjalankan tugas mereka dengan cukup berkesan dan wajar menerima pujian daripada rakyat Malaysia. Ianya menjadi satu pengajaran kepada mana-mana mereka yang diamanahkan agar benar-benar ikhlas dan berintegriti tinggi di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Rakyat Malaysia sudah tentu menunggu apakah pengakhiran kepada episod rasuah ini dan seharusnya jika disabitkan kesalahan, biarlah mereka dihukum dengan seberat-beratnya mengikut perundangan Malaysia.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. 

Tuesday, 4 October 2016

BUAYA BUKAN LAGI HAIWAN DILINDUNGI DI SARAWAK


BUAYA atau sang bedal atau di dalam bahasa Sarawak dipanggil boyak bukanlah binatang yang asing bagi masyarakat Sarawak.  Malah ratusan tahun telah ada di dalam penghidupan masyarakat Sarawak yang kediamannya banyak terdapat di hiliran sungai-sungai di segenap ceruk rantau Sarawak itu sendiri. 

Selang 2 hari yang lepas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Santubong iaitu Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa sang bedal yang terkenal dengan Legenda Bujang Senang seantero Malaysia ini bukanlah lagi haiwan yang dilindungi apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) melucutkan ianya daripada menjadi haiwan yang dilindungi.  Walau bagaimanapun perlucutan ini hanya berkuatkuasa untuk Sarawak sahaja manakala tidak untuk buaya-buaya yang menghuni sungai-sungai di Sabah dan Semenanjung Malaysia. 

Di Sarawak, buaya adalah antara senarai haiwan yang dilindungi seperti yang termaktub di dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.  Jadi Jabatan Perhutanan Sarawak adalah jabatan kerajaan yang bertanggungjawab atas setiap usaha pemuliharaan mahupun urusan pemburuannya sekiranya berlaku sesuatu.  Jadi dengan terma baru ini bermakna segala prosedur harus dirombak kerana sekarang buaya sudah boleh dikomersialkan.
 
Jika kita berkata mengenai pengkomersialan buaya itu sendiri sudah tentu tinggi permintaannya kerana setiap perincian buaya itu sememangnya amat bernilai. Daripada kulit, gigi malah isinya serta bahagian alat sulitnya juga sering dicari untuk tujuan perubatan tradisional di seluruh dunia.  Di dalam pada itu adalah diminta agar harus ada satu mekanisma kukuh di dalam memberikan pemberian lesen kerana kita tidak mahu jika buaya diburu secara besar-besaran sudah tentu ianya akan boleh pupus jua suatu hari kelak. 

Untuk rekod berdasarkan kepada perangkaan yang dijalan sejak beberapa tahun yang lalu, dikatakan ada lebih kurang 14,000 ekor buaya yang populasinya tertumpu di lebih 40 sungai utama di Sarawak.  Dengan arus kemodenan yang melanda Sarawak yang mana ramai yang sudah tidak menggunakan perhubungan air sebagai perhubungan utama dijangka populasinya lebih daripada itu.  

Dan kerana itulah banyak konflik yang terjadi antara buaya dengan manusia sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan banyak tragedi serangan buaya terjadi di Sarawak sehingga meragut nyawa penduduk yang menjadikan sungai sebagai mata pencarian mereka. 

Monday, 3 October 2016

KANSER BUKAN TIKET UNTUK MATI




INI bukan cerita biasa tetapi cerita mengenai kecekalan dan betapa kuatnya keazaman seorang anak muda yang walau sudah di hujung nyawa masih lagi mampu memberikan aspirasi kepada kita semua. Dengan membawa plakad “Cancer Fighter Malaysia” dari utara hingga ke selatan Semenanjung Malaysia kemudian menyeberangi Laut China Selatan untuk ke Sabah dan baru semalam tiba di bumi Sarawak iaitu di Miri.

Zaki Mohd Yamani begitulah namanya seorang anak muda Malaysia yang sudah disahkan menghidapi Stage 3 Hodkin Lymphoma, sejenis kanser yang agak “rare” yang mana ianya ada kena mengena dengan sistem imunisasi badan. Setakat ini belum ada lagi ubat-ubatan yang mampu mencegah kanser ini menular di dalam badannya namun begitu itu semua baginya bukanlah satu tiket untuk bermuram durja.

Jika ramai antara kita jika sudah disahkan dengan penyakit seperti itu mungkin kita hanya akan menyesali dan bermuram selagi masih hidup. Namun ini tidak pada Zaki kerana beliau masih lagi mempunyai impian untuk mengembara di seluruh bumi Malaysia. Semangat ini memang sesuatu yang menakjubkan di sebalik derita yang beliau hidapi selama ini.

Memulakan pengembaraan beliau apada 27 Ogos 2016 di daerah kelahirannya Pulau Tawar, Pahang, Zaki mengembara dengan hanya berbekalkan wang tunai RM13 dan dengan satu beg pakaiannya. Kerana kekurangan wang adakalanya perjalanannya hanya dengan menumpang kereta persendirian mahupun lori ke satu destinasi.

Usahlah ditanya tentang dimana dia bermalam mahupun makan minum kerana segalanya beliau serahkan kepada Allah untuk memberinya belas kasihan. Ternyata doanya di sepanjang perjalanan sentiasa dirahmati Allah apabila ada sahaja yang membantu beliau serta bermurah hati memberikannya tempat berlindung daripada panas dan hujan. Untuk mengalas perut juga sentiasa ada rezekinya ihsan daripada orang awam yang sentiasa memberikannya sokongan.

Sekarang, Zaki Mohd Yamani seorang pesakit kanser stage 3 sudah memijak kakinya di tanah tumpah kita Sarawak Bumi Kenyalang. Sekiranya ada yang berjumpa dengannya di jalanan janganlah segan untuk menyapa beliau dan kalau boleh berikanlah beliau menumpang kenderaan anda jika sama-sama ke satu destinasi. Dan sekiranya beliau memerlukan bantuan hulurkanlah tangan kita dan buktikanlah bahawa orang Sarawak adalah satu masyarakat yang berbudi pekerti mulia dengan tetamu yang datang ke negerinya.

Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh anak muda ini adalah satu aspirasi kepada setiap pesakit kanser di dunia bahawa jangan pernah takut, jangan pernah putus asa dan sentiasa cekal gagah melawan sakit yang dihidapi. KANSER BUKAN TIKET UNTUK MATI!

Semoga sentiasa dilindungi Allah di dalam perjalananmu Zaki Mohd. Yamani. Selamat datang ke Sarawak Bumi Kenyalang.
 

CADANGAN LRT UNTUK SAMARAHAN!


SUATU waktu dahulu bukan senang untuk ke Samarahan kerana yang hanya ada pada masa itu menggunakan perhubungan air. Namun sejajar dengan waktu, sesuai dengan limpahan perhubungan darat untuk ke Samarahan hanya mengambil masa sekitar 30 minit sahaja daripada ibukota Kuching, Sarawak.

Transformasi dari hanya sebuah perkampungan Melayu akhirnya menjadi Kota Ilmu bagi negeri Sarawak apabila di Samarahan inilah berkumpulnya pusat-pusat pengajian tinggi seperti UITM, UNIMAS, Kolej Industri serta beberapa buah pusat latihan professional seperti INTAN, IPG Tun Razak. Dan disinilah juga terletaknya Hospital Jantung Sarawak serta beberapa buah pejabat kerajaan negeri dan persekutuan beroperasi.

Sesuai dengan perkembangan itu juga, Samarahan juga antara kawasan tumpuan penduduk dengan banyaknya projek-projek perumahan serta gedung pasaraya bagi memenuhi permintaan rakyat Kuching mahupun Samarahan sendiri yang ingin mempunyai rumah sendiri. Sehingga sekarang penduduk Samarahan sudahpun bertambah dengan lebih daripada 200,000 orang dan antara pertambahan penduduk yang drastik iaitu sekitar 6% setahun.

Untuk itu sebagai memenuhi tuntutan tanggungjawab yang dipikul oleh Majlis Daerah Samarahan sebagai wakil kerajaan tempatan yang mengurustadbir Samarahan, maka pada 11 November ini ianya akan dinaiktaraf sebagai Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS). Ini dilakukan bagi memberikan ruang kepada MDS untuk mendapat peruntukan yang lebih di dalam meningkatkan perkhidmatannya seperti pengumpulan sampah, memotong rumput, penyeliaan lampu jalan, parit dan longkang, kerja lanskap serta banyak lagi.

Kepesatan di Samarahan sekarang sememangnya amat mengkagumkan namun disebaliknya juga terdapat beberapa kelemahan lebih-lebih lagi apabila berkata mengenai kesesakan jalanraya yang terpaksa diharungi oleh warga Samarahan itu sendiri. Ditambahlagi sistem pengangkutan awam contohnya perkhidmatan bas bagi kemudahan pelajar-pelajar di Samarahan masih lagi menjadi persoalan pokok yang sehingga kini masih lagi tiada jalan penyelesaiannya.

Atas hal itu terdapat ura-ura mengatakan bahawa Kerajaan Sarawak melalui Menteri yang bertanggungjawab mengendali Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak iaitu Dr Sim Kui Hian yang mendedahkan berkemungkinan besar perlaksanaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama di Sarawak akan diwujudkan di Samarahan. Walaupun cadangan itu kelihatan “mengasyikkan” bagi kita semua tetapi kadangkala adalah baik sekiranya kita mengukur baju di badan sendiri.

Sememangnya ianya tidak mustahil untuk direalisasikan tetapi sekiranya kita menyelidiki dengan lebih mendalam perbelanjaan untuk membina LRT memerlukan dana yang besar serta kepakaran yang amat teliti. Peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat sahaja sudah tidak mencukupi untuk seluruh Sarawak jadi seharusnya hal-hal yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat iaitu hubungan jalanraya yang elok, bekalan air bersih serta tenaga elektrik 24 jam mampu menjengah penduduk di luar Bandar menjadi keutamaan dahulu.

Maka adalah lebih baik jika ingin membudayakan orang awam untuk menggunakan pengangkutan awam seharusnya untuk konteks di Samarahan yang harus diselesaikan adalah sistem perkhidmatan pengangkutan awamnya iaitu bas awam. Ianya sudah tentu tidak melibatkan dana yang besar selain daripada memastikan bahawa pengendali-pengendali bas bertanggungjawab dan memperbanyakkan laluan-laluan bas sehingga mencakupi seluruh Samarahan.

Mungkin sudah tiba masanya kita mengambil contoh bagaimana cara RapidKL membantu urus kesesakan di Kuala Lumpur sebagai model pengangkutan awam digunapakai di Samarahan adalah lebih baik. Dengan keadaan bas yang lebih baik serta mesra pengguna sudah tentu ianya akan menaikkan imej Samarahan itu sendiri.

Adakalanya lebih baik kita bersederhana dahulu kerana hakikatnya Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang banyak di ibukota Kuala Lumpur hanya dibuat apabila sistem jalanraya sudah banyak dan maju sedangkan di dalam konteks Sarawak amnya dan Samarahan khususnya, sistem perhubungan jalanrayanya masih kurang malah masih jauh ketinggalan.  

Usahlah mendodoikan rakyat dengan mimpi-mimpi indah kerana kita sendiri maklum dimana keupayaan kita sekarang.  Bukan bermaksud untuk merendah-rendahkan cadangan tersebut tetapi Cuma mahu bersikap lebih realistik. 

Sunday, 2 October 2016

BILA ADUN JEMORENG BERSUARA LANTANG!


“Ada mata jangan buta, ada telinga jangan pekak, ada mulut jangan bisu, ada kuasa jangan sik pandei makei. Ingat … pembangunan dan politik berpisah tiada!” – Datuk Dr Juanda Jaya, ADUN Jemoreng-
INILAH antara status yang dimuatnaik di dalam laman facebook Datuk Dr Juanda Jaya iaitu ADUN Jemoreng apabila mendengar berita mengenai projek pembinaan Jambatan Batang Igan hanya akan bermula pada awal tahun 2018.  Kelantangan beliau ini adalah bertitiktolak daripada keputusan pihak persekutuan seperti yang diwar-warkan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia iaitu Datuk Haji Fadilah Yusuf yang juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya semalam. 
Projek pembangunan Jambatan Batang Igan sudahpun diluluskan dibawah Rancangan Malaysia Ke-11 dengan pembinaan jambatan sepanjang 1.8 km berserta jalinan jalanraya yang menghubungkannya dengan perkampungan di Igan iaitu sejauh 4 km.  Projek ini dijangka memakan kos sebanyak lebih kurang RM300 juta merupakan antara projek pembangunan yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Igan iaitu antara konstitusi dibawah ADUN Jemoreng.  Limpahan infrastruktur ini untuk direalisasikan sentiasa ditunggu-tungguhkan oleh rakyat Igan itu sendiri. 
Jadi sememangnya ada benarnya jika ADUN Jemoreng berang dengan keputusan tersebut kerana sudah tentu beliau membawa suara hati rakyat di Igan yang selama ini penyokong setia Barisan Nasional.  Janganlah kekangan kewangan yang sering dijadikan alasan sedangkan jika dibandingkan projek-projek mega di Semenanjung Malaysia sentiasa didahulukan. 
Sudah 53 tahun menunggu seharusnya Sarawak pula yang diberikan perhatian.  Sampai bila kita berbangga dengan perkhidmatan feri yang sedia ada sebagai nadi penghubungan antara daerah di Sarawak. 

Saturday, 1 October 2016

SALAM MAAL HIJRAH 1438H


HARI ini, 1 Muharam 1438 Hijrah iaitu 2 Oktober 2016 merupakan pembuka tahun baru di dalam takwim umat Islam seluruh dunia. Semoga perjalanan hidup kita di Tahun Baru dipermudahkan, diberkati dan diredhai oleh Allah SWT sehendaknya. Amin.

Salam Maal Hijrah.