Tuesday, 8 November 2016

ASHRI CHUCHU SAH MILIK KL


“SARAWAK Wonderkid”.. itulah gelarannya di kalangan peminat sukan bolasepak di Sarawak. Ashri bin Chuchu, bukan nama yang asing bagi kita semua malah kelibatnya sebagai “left midfielder” sering ditunggu-tunggu di setiap perlawanan.  Pemain yang menggunakan jersi no. 11 ini juga boleh bermain di posisi “right winger” menjadikan dirinya antara pemain serba boleh di dalam pasukan Bujang Senang. 
Dilahirkan pada tanggal 27 Februari 1991 di Lawas, Sarawak, Ashri bukan sahaja bermain untuk negeri kelahirannya Sarawak sebaliknya pernah juga menyarung jersi kebangsaan apabila turut terpilih mewakili Malaysia di Piala Asia (Bawah 22 tahun) di Myammar dan menjaring 2 gol ketika bertemu Brunei dan Vietnam. 
Akhirnya setelah menabur bakti di negeri kelahirannya sejak di tahun 2009, untuk musim 2017 kelak telah disahkan bahawa beliau akan berubah angin dan telahpun disunting oleh pasukan Kuala Lumpur yang bertanding di Liga Perdana Malaysia.  Penghijrahan Ashri ini hanyalah untuk melebarkan pengalamannya di dalam dunia bolasepak Malaysia. 
Kita berbangga mempunyai anak Sarawak yang terserlah bakatnya sehingga dihargai oleh pasukan negeri lain walaupun ianya juga satu kehilangan besar buat pasukan Bujang Senang itu sendiri.  Selamat maju jaya Ashri Chuchu dan ukirlah nama Sarawak di persada sukan bolasepak Malaysia seperti Joseph Kalang Tee serta ramai lagi. 

MINYAK MASAK OH MINYAK MASAK!


CERITA subsidi minyak masak merupakan antara yang mendominasi cerita penghidupan rakyat di Malaysia sekarang.  Lebih-lebih lagi jika kita berkata mengenai peningkatan kos sarahidup rakyat yang dibelenggu kenaikan itu dan ini sehingga ramai yang mengeluh.  Namun walau apa jua ceritanya mahu tidak mahu rakyat tiada pilihan kerana minyak masak amat diperlukan kerana ianya sebahagian daripada urusan dapur kita semua. 
Dan subsidi minyak masak yang hanya termaktub pada yang jenis berpaket juga punya jalan ceritanya tersendiri.  Apabila minyak masak subsidi berpaket juga mengundang 1001 akal bagi mereka yang gemar mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan lebih.  Dikatakan ada sesetengah minyak masak berpaket itu adalah dari jenis yang digunasemula dijual sebagai minyak masak bersubsidi. 
Sedar dengan taktik kotor ini bagi tidak menimbulkan kekeliruan rakyat, KPDNKK dibawah Menterinya iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan mengwar-warkan kepada umum senarai jenama minyak bersubsidi.  Sudah tentu ini ditunggu-tunggu oleh rakyat memandangkan ada bezanya minyak bersubsidi dengan minyak yang digunasemula.  Minyak yang digunasemula sudah tentu banyak mengundang masalah kesihatan jika diguna oleh manusia sebaliknya ia lebih sesuai untuk kegunaan seperti membuat sabun dan sebagainya. 
Semoga langkah pro-aktif ini dapat membantu rakyat daripada tertipu oleh mereka yang sentiasa ingin menjadi musang berbulu ayam di luar sana. 

SK KAMPUNG BUDA AKAN DIBINA OLEH SWASTA

Tragedi 8 Jun 2016, 80% SK Kampung Buda, Spaoh runtuh dan ditelan Sungai Saribas 
MENGIMBAU tragedi yang menimpa pada 8 Jun 2016 yang mana struktur surau, tadika dan 80% SK Kampung Buda, Spaoh hilang ditelan ke dalam sungai apabila berlaku tanah runtuh akibat hakisan adalah sesuatu yang menyedihkan kita semua.  Sehingga sekarang hampir 73 pelajar dan 13 guru masih lagi menumpang di SK Spaoh untuk meneruskan pendidikan mereka. 
Sudah hampir menjengah tahun 2017 namun masih lagi tiada perkhabaran gembira daripada Kementerian Pendidikan yang berjanji untuk membinanya semula.  Dan sudah tentu kita tidak mahu ianya dibina di lokasi yang sama kerana ianya juga seperti mengundang padah yang sama.  Dan tindakan drastik Kerajaan Negeri Sarawak yang memberikan dana sebanyak RM1 juta bagi SK Kampung Buda adalah sesuatu yang amat kita hargai walaupun hakikatnya perbelanjaan pembinaannya dianggarkan sebanyak RM3 juta.    
Namun sudah ada berita gembira untuk para ibubapa dan pelajar serta warga pendidik SK Kampung Buda apabila dikatakan pembinaan sekolah  yang baru sudahpun di dalam proses.  Ini diperjelaskan oleh Menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Fatimah Abdullah yang mana menyatakan sebuah syarikat swasta Sarawak bermurah hati untuk membina sekolah tersebut dengan menggunakan kaedah pembinaan Integrated Building System (IBS) bagi memenuhi tanggungjawab sosial mereka (CSR).
Walaupun begitu, kesemua kerja-kerja pembinaan hanya boleh bermula selesai sahaja Kementerian Pendidikan melangsaikan bayaran atas tapak baru yang sudahpun dikenalpasti.  Untuk rekod di Sarawak sahaja terdapat hampir 1,264 buah sekolah rendah dan 189 sekolah menengah yang rata-ratanya di kawasan pedalaman masih lagi dikategorikan sebagai sekolah daif dan juga tidak selamat untuk digunakan memandangkan ianya terletak di lokasi yang terdedah kepada merbahaya seperti di tepi sungai dan sebagainya.  

Monday, 7 November 2016

KENYATAAN FITNAH KE ATAS CM SARAWAK


Kenyataan fitnah yang dilemparkan oleh Page "Sarawak Keluar Malaysia 2012" 


Sidang Media Dari CM Office pada 7 November 2016 

VIRAL di dalam beberapa hari ini mengenai kenyataan yang konon-kononnya diucapkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan.  Kenyataan itu telah dimuatnaik oleh sebuah laman page facebook yang bernama Sarawak Keluar Malaysia 2012. 

Namun hakikatnya segala kenyataan tersebut adalah sebenarnya sengaja dimanipulasi oleh pihak pentadbir page tersebut bagi menyemarakkan lagi api agar ada ketegangan berlaku diantara Kerajaan Negeri Sarawak dengan pihak persekutuan.  Segalanya adalah fitnah semata-mata yang mana TIDAK PERNAH SEKALIPUN Datuk Adenan pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu. 

Sebaliknya sejak hari pertama menjawat jawatan No. 1 Kerajaan Sarawak, awal-awal lagi Datuk Adenan malah sehingga ke hari ini beliau sering berkata bahawa autonomi yang dituntut selama ini adalah penuntutan hak dan TIDAK SESEKALI BERHASRAT MEMBAWA SARAWAK KELUAR DARI MALAYSIA. 

Diharap warga netizen tidak mudah menerima bulat-bulat segala propaganda daripada mereka yang tidak bertanggungjawab. Selidikilah dahulu dan gunakanlah kebijaksanaan kita semua untuk menapis setiap artikel sebelum mula berkongsi di laman media sosial. 

Dilampirkan juga sidang media daripada Pejabat Ketua Menteri Sarawak yang menafikan setiap fitnah yang dilemparkan ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan. 


Sunday, 6 November 2016

KM SARAWAK – “TUTUP IPG SARAWAK SATU TINDAKAN BODOH”


BILAMANA ada ura-ura mengatakan pihak Kementerian Pendidikan akan menutup  3 daripada 4 IPG di Sarawak, ianya telah mendapat respons pelbagai daripada rakyat Sarawak termasuklah pemimpin No. 1 Sarawak sendiri iaitu Datuk Adenan.  Malah boleh dikatakan barisan kabinet Sarawak juga turut senada dengan beliau. 
Dan rata-rata rakyat Sarawak mahukan Ketua Menteri Sarawak untuk bertegas dengan rancangan pihak Kementerian Pendidikan ini.  Tiada apa yang harus dibimbangkan kerana ternyata Datuk Adenan seperti selalu sentiasa mendengar dan mendahului apa yang sebaiknya untuk Sarawak lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan rancangan borneonisasi jawatan guru-guru di Sarawak dengan nisbah 90/10. 
Bertindakbalas daripada itu, Datuk Adenan dengan nada tegas sewaktu berucap di acara perasmian Hari Wanita 2016 peringkat Negeri Sarawak semalam bahawa penutupan IPG Sarawak adalah satu tindakan yang bodoh.  Malah beliau sendiri dikatakan sudah menulis secara rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Najib untuk meminta agar rancangan itu diubah. 
Walaupun hakikatnya kita memerlukan banyak graduan-graduan teknikal bagi memenuhi pasaran perkerjaan sekarang tetapi jangan kita cuba mengecilkan skop peluang untuk anak Sarawak menjawat jawatan guru pula.  Ianya penting untuk kesinambungan generasi pendidik di kalangan rakyat Sarawak itu sendiri.  

Thursday, 3 November 2016

MUSIM OBOR-OBOR DI KUALA BALINGIAN




BILA berbicara mengenai obor-obor sudah semestinya yang dahulu menjengah di minda bagi rakyat Sarawak adalah betapa enaknya merasai satu menu tradisi masyarakat Melanau yang terkenal iaitu umai obor-obor.  Tiada siapa boleh menyangkalnya mengenai betapa haiwan pra-sejarah ini begitu mendapat tempat di pasar-pasar di seluruh Sarawak.
Baru-baru ini musim obor-obor telah melanda Kuala Balingian, Mukah yang mana nelayan-nelayan tempatan telah berpesta tangkapan obor-obor sehingga mencecah beratus-ratus kilogram sehari.  Dikhabarkan juga ramai nelayan telah berjaya mencapai pendapatan sebanyak RM5,000 sehari hanya dengan menjual hasil tangkapan obor-obor mereka. 

Namun disebalik punca pendapatan yang hanya datang sekali sekala ini, bukan senang sebenarnya untuk menangkap obor-obor lebih-lebih lagi kita mengetahui ianya adalah haiwan pra-sejarah yang boleh menyengat.  Terkena sengatannya sahaja boleh membawa kepada 1001 kesakitan selama lebih seminggu barulah bisanya beransur. 

Hanya mereka yang mempunyai kepakaran serta pengalaman serta peralatan yang mengkhusus sahaja boleh menangkapnya sebaik mungkin.  Semoga terus dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah untuk nelayan-nelayan Sarawak di Kuala Balingian. 

Tuesday, 1 November 2016

SARAWAK BENARKAN PELANCONG CHINA DENGAN PAS KHAS


ATAS nama menggalakkan industri pelancongan di Sarawak, Kerajaan Sarawak mengambil keputusan untuk membenarkan pelancong-pelancong dari China memasuki Sarawak dengan menggunakan pas khas berkuatkuasa mulai 1 November 2016.  Ini bermakna pas khas ini akan sedia digunakan di Lapangan Terbang Miri serta ICQS, Sungai Tujuh yang bersempadan dengan Brunei selain di Kuching.  

Namun disebalik segala hal bagi kemudahan pelancong-pelancong dari Tembok Besar China adalah sebaiknya Kerajaan Sarawak mengambilkira kekhuatiran kita tentang dasar pelancongan yang longgar ini.  Seharusnya bukan soal keuntungan yang harus diperhitungkan tetapi sebelum ini sudah banyak cerita mengenai mereka di Malaysia.

Kes-kes seperti 100,000 rakyat berbangsa Cina yang diberitakan masih lagi belum mendapat kerakyatan kerana kurangnya dokumentasi kukuh mengenai mereka masih lagi menjadi “duri dalam daging” sehingga dipolitikkan oleh sesetengah parti politik.  Dan jangan pernah kita lupakan apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Negara Tembok Besar China sendiri.  Beliau mendakwa bahawa ada lebih kurang 50,000 rakyat China “hilang” setelah melancong ke Malaysia. 

Sewajarnya sebelum dasar ini dipersetujui Kerajaan Sarawak harus mengambilkira apakah ada jaminan mahupun mampukah kita dengan penguatkuasaan yang ketat bagi memastikan setiap pelancong-pelancong ini benar-benar pulang setelah pas lawatan tamat tempoh.  Bukan sedikit gejala sosial yang kita sering dengan misalnya ramainya “China-Doll” yang menjadi penghias rumah-rumah urut dan juga karaoke di seluruh Negara termasuklah Sarawak itu sendiri. 

Jangan hanya kerana keuntungan atas pulangan pelancongan maka negeri Sarawak pula akan terpaksa berhadapan dengan isu “pendatang asing tanpa izin” dari China pula.  Kesnya banyak Cuma kita sahaja menutup sebelah mata sehinggalah ianya betul-betul kena batang hidung sendiri.  Pada ketika itu kita menyesal pun tiada gunanya.