Monday, 9 January 2017

CURI WAYAR RUMAH UNTUK BELI BEKALAN SYABU




KEJADIAN mencuri kabel sememangnya antara gejala kecurian yang banyak terjadi di seluruh Negara.  Dan hal ini seolah-olah sukar untuk dibendung lebih-lebih lagi banyak kedai-kedai barangan lusuh membelinya dalam harga yang agak mahal. 

Semalam di Bintulu berlaku satu adegan penangkapan yang melibatkan 3 orang pencuri kabel yang juga warga tempatan di Tapak Perkuburan Islam Kamunting, Bintulu.  Keberadaan mereka telah menimbulkan kecurigaan kepada anggota polis lebih-lebih lagi tanpa berselindung hasil curi mereka turut dibawa bersama secara terbuka. 

Difahamkan setelah soal siasat awal dilakukan, ketiga-tiga mereka mengaku bahawa mereka baru sahaja selesai mencuri wayar di sebuah rumah kampung di kawasan Kamunting. Diceritakan juga bahawa segala penghasilan curi mereka adalah untuk membeli dadah jenis syabu.

Dadah itu musuh Negara. 


Sunday, 8 January 2017

TAMBAHAN 11 PROJEK TEBATAN BANJIR DAN HAKISAN DI SARAWAK


ISU seperti hakisan sungai banyak membelenggu kawasan-kawasan pedalaman di Sarawak.  Ditambah lagi fenomena alam yang bertukar juga menyaksikan banyak kawasan di Sarawak terdedah dengan ancaman banjir dan sebagainya.   

Usaha daripada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Santubong iaitu Datuk Ser Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar telah menyaksikan banyak projek untuk mentadbirurus hal ini diperuntukkan buat Sarawak Bumi Kenyalang.  Baru-baru ini sekali lagi Kerajaan Malaysia telah meluluskan 11 lagi projek baharu dengan pertambahan kos sebanyak RM95.4 juta. 

Ini bermakna bagi melengkapkan segala infrastruktur ini Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan secara totalnya sebanyak RM736.4 juta yang merangkumi 28 projek yang akan dilaksanakan di dalam tempoh 2016 hingga 2020 iaitu projek yang dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia ke-11. 

Antara projek-projek baharu yang mencakupi kos tambahan ini adalah termasuk RTB Kampung Bako, Kampung Beradek Semilang dan RTB Stakan.  Bagi projek 2017 pula mencakupi kawasan Mukah seperti projek hakisan Kuala Oya, Sungai Batang Oya di Pekan Sabtu Oya serta Batang Balingian. 

Inilah antara bukti Kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat dan sentiasa mengambilkira kerisauan dan kesusahan rakyat lebih-lebih lagi apabila satu musibah alam tidak diduga berlaku di Sarawak.  

Wednesday, 4 January 2017

BOMBA, API, ASAP DAN KANSER


BILA ada yang hilang di hutan, kelibatnya mesti ada. Bila ada kucing atau binatang yang perlukan pertolongan, bantuannya sentiasa tiba.  Dan apatah lagi bila berlaku kebakaran kerana disitulah mereka beraksi dengan gagahnya.  Boleh dikatakan hampir segenap kecemasan yang wujud di dunia ini, keringat mereka sentiasa dituntut.  Itulah anggota Bomba dan Penyelamat yang menjadi hero realiti yang sering kita lupakan kewujudan mereka. 

Walaupun disebalik tiada pujian ini semua, setiap anggota Bomba sentiasa bersiaga dan mereka akan terus menjalankan tanggungjawab mereka selagi nyawa dikandung badan.  Sang api adalah musuh mereka dan sang asap pula itulah udara mereka yang sering disedut biarpun banyak gejalanya ke atas mereka.
 
Mungkin ramai tidak tahu bahawa telah ada bukti perubatan kukuh yang mana menunjukkan bahawa anggota Bomba antara yang berisiko mendapat kanser paling tinggi iaitu sekitar 63% di dalam mana-mana karier di dunia.  Namun disebalik penyataan itu belum ada langkah-langkah pro-aktif dengan meminta mereka membuat pemeriksaan kesihatan yang lebih berkala untuk membendungnya. 

Jika baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri KDN menyatakan bahawa semua kategori anggota polis akan dihantar untuk pemeriksaan perubatan setahun sekali jadi tiada salahnya sekiranya anggota Bomba juga diberi perhatian yang sama. Untuk rekod, prosedur kesihatan Bomba hanya bersandarkan pemeriksaan setahun sekali bagi yang berumur 40 tahun ke atas sahaja.  Sudah tentu ianya sesuatu yang tidak masuk akal bagi kita semua sedangkan yang muda (dibawah umur 40 tahun) juga turut terdedah kepada bahaya yang sama.   

Anggota Bomba juga sandaran Negara walaupun tidak mengangkat senjata TETAPI dituntut keringatnya apabila rakyat dan Negara di dalam musibah.  Kebajikan mereka juga harus dijaga.   


Nota: Terima kasih kepada En. Abu Shahidal bin Abu Bakar, seorang anggota Bomba di Sarawak yang membantu RP untuk artikel ini.   

KSU DITANGKAP, WANG TUNAI & JONGKONG EMAS DISITA


SELEPAS siri penangkapan rasuah penjawat awam berjawatan tinggi yang mengejutkan Malaysia tahun lalu, sekali lagi pembuka tahun baru 2017 diwarnai dengan cerita yang sama. Pada kali ini seorang penjawat awam berjawatan Ketua Setiausaha sebuah kementerian dan rakan subahatnya pula ditangkap oleh SPRM di Subang Jaya semalam.

Menurut apa yang dilaporkan, KSU ini adalah seorang bergelar “Datuk” yang didapati menyalahgunakan kuasanya untuk pemilihan kontraktor, pembekal dan vendor bagi sebuah kementerian kerajaan di Malaysia sejak tahun 2010. Seorang individu yang juga rakan subahatnya turut dikatakan menjadi pemain peranan penting bagi menerima segala suapan.

Kali ini SPRM menyita sejumlah wang tunai yang dianggarkan di dalam jutaan ringgit Malaysia malah juga jongkong-jongkong emas yang dianggarkan bernilai hampir RM3 juta.

Tahniah SPRM dan teruskan perkhidmatan yang cemerlang. Kita tidak mahu Malaysia ini menjadi Negara rasuah seumpama sebiji epal yang ranum di luar tapi busuk berulat di dalamnya.
 

Sunday, 1 January 2017

RAKYAT SARAWAK DISERU SIAGA DENGAN BANJIR


DENGAN musim tengkujuh sekarang sememangnya tidak boleh diduga sama sekali.  Setakat ini sudah 3 buah negeri sedang mengalaminya iaitu Kelantan, Terengganu dan Johor yang menyaksikan ramai yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.  Dan tidak terkecuali dengan negeri Sarawak yang sekarang sering dilanda hujan lebat lebih daripada kebiasaannya. 
Sejak tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan Sarawak dilanda banjir yang tidak disangka-sangka sehingga banyak kawasan yang bukannya kawasan yang sering dilanda banjir turut bertambah. Namun kesiapsiagaan badan-badan tindakan banjir di Sarawak juga harus dipuji kerana ianya mampu diselaraskan dengan sebaik mungkin walaupun hakikatnya pada waktu itu ramai yang masih di dalam keadaan panik. 
Diharap rakyat seluruh Sarawak pada tahun ini mulalah bersiaga segalanya kerana diramalkan banjir berkemungkinan besar akan berulang kembali.  Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang rendah mulalah bersedia dari sekarang.  Andaikata diminta untuk dipindahkan maka ikutilah apa yang sudah diarahkan. 

Dengan penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara sekarang sudah tentu pengurusan sesuatu bencana akan lebih terurus lebih-lebih lagi ianya dianggotai oleh jabatan kerajaan serta agensi yang berkaitan dengan bencana.  Kerajaan sudah tentu tidak akan membiarkan rakyatnya di dalam kepayahan sendiri dan bantuan disalurkan tanpa mengira batas politik.  

3/1/2017, PERMULAAN PERSEKOLAHAN DI SARAWAK


HARI ini bermulalah seisi persekolahan untuk tahun 2017 bagi negeri Sarawak Bumi Kenyalang.  Sudah tentu pelbagai aksi daripada anak-anak yang menjadi pelajar buat pertama kalinya dan tidak kurang juga keterujaan ibubapa yang menghantar anak-anak ke sekolah. 
Untuk seisi 2017 bagi Sarawak terdapat lebih kurang 465,706 pelajar akan mula memasuki alam persekolahan samada ada pra-sekolah, sekolah rendah dan juga sekolah menengah.  Terdapat hampir 1,489 kelas-kelas pra-sekolah telahpun dibuka untuk menerima lebih kurang 25,109 kanak-kanak di seluruh Sarawak.  Pembelajaran pra-sekolah adalah antara bentuk pendidikan terawal yang akan menyediakan kanak-kanak untuk lebih mandiri apabila di persekolah sebenar nanti. 
Itu ceritanya di Sarawak manakala untuk 3 negeri lagi iaitu Kelantan, Terengganu dan Johor pula ada sesetengah sekolahnya terpaksa ditunda seisi persekolahannya kerana masalah banjir yang melanda negeri mereka.  Manakala untuk Johor pula ada sesetengah sekolah di bahagian pulau-pulau tidak dapat dibuka kerana tenaga pengajar tidak boleh ke sekolah akibat ombak besar yang menyebabkan tiada bot kecil-kecil yang mampu membawa mereka kembali ke sekolah. 
Walau apapun cerita yang mewarnai seisi persekolahan tahun ini, semoga anak-anak kita akan terus menimba ilmu mereka kerana pendidikanlah antara salah satu cabang untuk memajukan diri serta keluar daripada kepompong kemiskinan. 
Selamat Belajar untuk kesemua bakal pemimpin Negara kita.  

TUN M SELAR PROGRAM KHAS HAJI YAYASAN 1MDB


USAI satu asakan muncul lagi satu hentaman yang dibuat oleh mantan PM Tun Mahathir beberapa hari ini.  Kali ini Program Khas Haji Yayasan 1MDB pula yang menjadi mangsanya dengan dikatakan ianya adalah haji yang tidak mabrur. 

Kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau ini seolah-olah melebihi dirinya sendiri sebagai seorang muslim kerana tiada sesiapa yang boleh mengatakan ianya satu haji yang mabrur atau tidak kerana itu semua adalah dengan keizinan Allah SWT.  Kita sendiri mengetahui bukannya sesuatu yang mudah untuk menjadi tetamu Allah lebih-lebih lagi di dalam mengerjakan rukun Islam yang kelima ini. 

Apa yang diperkatakan oleh Tun M itu turut dibidas oleh Mufti Perak iaitu Tan Sri Dato' Seri (Dr) Haji Harussani bin Haji Zakaria yang memohon beliau janganlah dipolitikkan apa yang dilakukan oleh program tersebut walaupun sudah tidak senada di dalam politik.  Asakan seperti itu sebenarnya lebih melemahkan agama Islam itu sendiri dimata penganut agama yang lain. 

Untuk rekod, Program Khas Haji Yayasan 1MDB adalah satu program yang memberikan peluang kepada imam, bilal mahupun Ketua Kampung atau AJK Kampung yang terpilih untuk dihantar menunaikan haji ke Mekah.  Semenjak ia ditubuhkan, program ini tidak pernah gagal menghantar mereka yang terpilih dan antara program yang baik untuk rakyat.