Monday, 14 March 2016

PERMOHONAN MAAF DATUK ADENAN KEPADA SELURUH KAUM IBAN SARAWAK


BARU sebentar tadi, Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan telah mengadakan sidang media di pejabatnya. Sidang media yang diadakan khusus untuk permohonan maafnya kepada seluruh kaum Iban atas jenakanya tempohari .
Tiada kata yang mampu diungkap apabila bercakap mengenai Datuk Adenan ini yang ternyata telah menunjukkan sifat beliau yang sering mengutamakan rakyat Sarawak. Bukan senang untuk menjadi seorang pemimpin yang peka pada kehendak rakyat dan kita beruntung mempunyai Ketua Menteri seperti beliau.
Beliau buang segala ego seorang pemimpin untuk kesejahteraan rakyat. Tiada gunanya kita bertelagah sesama sendiri hanya untuk sesuatu yang tidak mendatangkan faedah untuk kita perdebatkan.
Salute dari kami untuk Datuk Adenan.

HANYA SATU GURAUAN BUKANNYA PENGHINAAN


“TERIMA Kasih. Semua pelusuk Sarawak tok udahnya pergi. Tang ya nya sik sik nemu jako iban aja. Jako laut nemu ya ja. Jaku orang putih nemu ya. Jaku Iban enda nemu. Aku nasihat, mun nak cari bini baru, ngiga orang Iban. Ya guro kitak ajak.” – Datuk Adenan-

Itu merupakan sebahagian transkrip ucapan Datuk Adenan ketika berucap sewaktu perasmian program MINDA di Tebingan Kuching tempohari. Dan ianya turut dihadiri oleh PM Malaysia dan di dalam ucapan inilah Datuk Adenan seperti kebiasaannya sering menyelitkan lawak jenaka bagi memeriahkan suasana. 

Namun adalah agak menghairan apabila ada sahaja yang cuba menangguk di air keruh kerana gurauan ini pula menjadi satu isu yang serius.  Pihak parti politik pembangkang melalui laman-laman sosial mereka menjadikan gurauan ini sebagai tajuk utama dengan sengaja memutarkan kenyataan bahawa ianya merendah-rendahkan kaum Iban. Sentimen ini dimainkan bagi membangkit perasaan “benci” kepada Ketua Menteri Sarawak sehingga dituduh “racist”.

Sungguh menghairankan orang yang dikatakan racis dan merendah-rendahkan kaum Iban inilah yang berjaya menjadikan TIADA BANGSA LAIN-LAIN ditulis di dalam borang persekutuan sebaliknya diklasifikasikan sebagai Kaum Dayak.  Bukan itu sahaja, beliaulah juga terus memperjuangkan agar toleransi agama terus dipertahankan ketika penggunaan kalimah “Allah” menjadi isu besar di Semenanjung Malaysia tetapi tidak di Sarawak. 

Dan dikala seorang anak Iban yang juga legenda sukan Sarawak “The Flying Dayaks” di dalam kesulitan, beliaulah juga yang pertama di barisan hadapan sedangkan pemimpin bumiputera yang lain masih lagi lena dilamun mimpi yang indah.  Jika hendak ditulis memang banyak sumbangan Datuk Adenan untuk kaum Iban tetapi cukuplah seadanya disini.

Jadi haruskah gurauan atau jenaka ini yang sudah tentunya hanya satu usikan antara seorang sahabat kepada sahabat yang lain diambil sebegitu serius sehingga ada NGO seperti PEDAS yang bertindak meminta Datuk Adenan untuk memohon maaf?

Sunday, 13 March 2016

BIADAPNYA 2 WARTAWAN AUSTRALIA


DI TENGAH-TENGAH kita menerima kunjungan Perdana Menteri Malaysia yang sedang membuat lawatan kerja selama 3 hari di Sarawak, muncul pula satu insiden yang memalukan oleh pihak wartawan luar yang dikatakan turut mendapat bantuan daripada seorang anak jati Sarawak sendiri.
Ini merupakan satu perbuatan yang biadap kerana di ketika PM Najib sedang membuat lawatan “walkabout” di Kampung Haji Baki semalam, tiba-tiba dirempuh oleh 2 wartawan dari sebuah agensi berita dari Australia. Wartawan Linton Besser bersama juru kameranya dikatakan telah bertindak agresif dan tanpa menghiraukan protokol keselamatan VVIP yang ada sebaliknya terus-terusan cuba menemubual PM Najib di khalayak ramai.
Bayangkan sekiranya sesuatu yang lebih buruk berlaku sudah tentu kita turut menanggung malu yang sama atas perkara ini.
Dan yang lebih memedihkan ada pula corat-coret menyatakan bahawa hal ini turut melibatkan seorang anak Sarawak yang juga merupakan seorang kolomnis yang cukup dikenali. Mengapa segalanya harus menjadi begini sedangkan di ketika itu PM Najib sedang membuat lawatan kerja ke Sarawak. Apakah tidak cukup besar Putrajaya itu untuk menerima sebarang pertanyaan daripada seantero dunia dan mengapa harus ke Sarawak pula?
Tindakan ini sebenarnya sudah cukup untuk menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati apa jua peraturan Negara orang.
Setiap Negara mempunyai protokolnya dan begitu juga Malaysia apatah lagi di Sarawak. Tindakan 2 wartawan Australia serta “kuncu-kuncu dalaman” mereka di Sarawak wajar diselar kerana memalukan Sarawak sebagai "Tuan Rumah".  PM Najib merupakan “Tetamu” kita pada ketika itu dan apa jua yang berlaku pada tetamu adalah juga tanggungjawab kita walaupun berbeza fahaman politik dan agama. 
BIADAP SUNGGUH KAMU!

KOMITMEN PM NAJIB KEPADA SARAWAK


BILA menyebut sahaja nama Najib maka ramailah seperti yang alergik dan mulalah menghambur pelbagai andaian mahupun “troll” sinis.
  Bukan untuk menaikkan mana-mana pemimpin Negara kerana apa yang disajikan adalah satu realiti yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak sekalipun.

Ada yang berkata bahawa setiap apa yang dilakukan oleh Najib ke atas Sarawak adalah salah satu “gula-gula politik” menjelang PRN Ke-11 Sarawak. Namun begitu hakikatnya Najib semenjak memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri Malaysia dari awal lagi sudah menjadikan Sarawak itu kampungnya yang kedua selepas negeri Pahang. 

Lihat sahaja sepanjang beliau menjawat jawatan PM Malaysia sehingga sekarang sudah 47 kali melawat negeri Sarawak.  Dan beliaulah di dalam rekod merupakan pemimpin Malaysia yang paling banyak bersama rakyat Sarawak berbanding mana-mana PM Malaysia sebelum ini termasuklah mantan PM yang pernah memegang tampuk pemerintahan Malaysia selama lebih 22 tahun. 

Dalam pada itu, hampir disetiap lawatannya juga seperti membawa durian runtuh kepada Sarawak apabila pelbagai peruntukan diberikan untuk diusahakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.  Kadang-kadang ada yang berkata umpama “menanam tebu di tepi bibir” janjinya tetapi mungkin kita terlupa terdapat juga beberapa prosedur-prosedur yang harus Kerajaan Negeri Sarawak ikuti.  

Yang pasti PM telah berjanji dan kata-kata itu satu “perjanjian oral” ke atas Negeri Sarawak.  Dan Kerajaan Sarawak sendiri sudah tentu memerlukan ini semua lebih-lebih lagi demi menjadikan “We Go To Rural” itu berjaya.

Biar apapun pandangan negatif dan kata-kata nista yang dihamburkan namun begitu kita sebagai rakyat Sarawak tetap tidak mampu mengatakan bahawa Najib adalah PM Malaysia yang paling banyak memberikan komitmen penuhnya kepada Sarawak.  Beliau juga yang telah awal-awal lagi menyatakan bahawa beliau mahu melihat Sarawak setanding dengan Semenanjung Malaysia dan sama sekali tidak mahu Sarawak ketinggalan. 

Dan beliaulah juga yang sentiasa memberikan ruang untuk impian rakyat Sarawak yang rata-ratanya mahukan kuasa autonomi kita seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dilestarikan semula.  Usah ditanya buktinya kerana sehingga sekarang banyak yang telah dan akan dilakukan melalui hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak. 

Ini bukan auta namun realiti yang harus diterima oleh mana-mana rakyat Malaysia amnya dan rakyat Sarawak khususnya walaupun kenyataan ini umpama tertusuk sembilu berbisa bagi mereka yang ingin menumbangkannya tanpa melalui proses demokrasi.


#SupportMyCM 

Saturday, 12 March 2016

TUDUNG KERINGKAM MELAYU SARAWAK


TUDUNG Keringkam atau juga dikenali dengan nama Selayah merupakan tudung atau skaf tradisional wanita Melayu Sarawak.  Ianya menjadi antara pelengkap busana tradisional Sarawak yang sering dipakaikan ketika menghadiri majlis-majlis khas seperti majlis perkahwinan dan juga perayaan besar yang lain. 

Hasil sulaman berseni yang diwarisi berabad lamanya ini mempunyai keunikan yang tersendiri yang mana ianya dijahit dengan benang emas mahupun perak.  Selain daripada itu, motif-motif sulamannya juga bersandarkan motif flora dan fauna seperti bunga tanjung, bunga ros malah juga pucuk rebung yang kemudiannya disulam di atas kain jenis bawal. kasa rubiah dan kain jojet.  

2 jenis tudung keringkam dibezakan dengan pendek dan panjang saiznya.  Yang bersaiz pendek digelar tudung keringkam tradisional manakala yang bersaiz panjang dikenali sebagai selayah. 
  
Tudung keringkam merupakan lambang kepada keindahan busana tradisional wanita Melayu Sarawak yang mempunyai nilai sentimental sehingga hampir setiap keluarga Melayu Sarawak ada menyimpannya sebagai salah satu warisan keluarga yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. 

Memang agak payah untuk mendapatkannya di pasaran terbuka kerana proses penyulaman ini memakan masa yang cukup lama dan kebiasaannya tempahan dibuat terus daripada individu-individu yang sememangnya mengusahakannya secara kecil-kecilan di rumah.

Harganya sudah tentu setanding dengan kualitinya yang cukup dijaga sehingga sekarang. 

Thursday, 10 March 2016

TEKNOLOGI TERKINI TETAPI ROYALTI MINYAK DAN GAS SARAWAK?

BUKAN satu cerita lama apabila Ketua Menteri Sarawak menyatakan bahawa beliau dan kerajaan negeri Sarawak akan terus-terusan untuk mendapatkan 20% royalti minyak untuk Sarawak berbanding dengan 5% yang kita dapat selama ini. Dan ianya bukan janji sahaja kerana sudah beberapa kali isu penambahan royalti di peringkat perbincangan antara kedua belah pihak.
Apabila masuk sahaja tahun 2016, ditambahlagi dengan keadaan pasaran minyak dunia sekarang yang semakin menurun sudah tentu ianya akan menjadi 1001 alasan untuk pihak yang satu lagi menafikan permintaan Sarawak. Umum mengetahui bagaimana sejak dahulu “emas hitam” ini merupakan sumber ekonomi utama bagi Malaysia.
Namun ditengah-tengah segala permintaan royalti Sarawak berdasarkan kepada turun naiknya harga minyak global ini, tanpa kita sedari teknologi terkini telah mula dijanakan oleh pemain industri minyak dan gas Malaysia. Petroliam Nasional Berhad’s (PETRONAS) ditengah-tengah kemelesatan ekonomi masih mampu lagi membina “First floating liquefied natural gas” atau PFLNG SATU.
Fasiliti yang dimaksudkan ini merupakan teknologi yang pertama di dunia dan ianya adalah berbentuk sebuah kapal yang besar yang dikhaskan untuk menyedut gas asli di kawasan yang terletak kira-kira 180 km dari luar pantai Bintulu, Sarawak. Dikatakan di kawasan ini menurut penyelidikan Petronas LG mampu mengeluarkan 1.2 juta tan gas asli setiap tahun.
PFLNG Satu ini merupakan satu kapal yang besar dan rekaannya adalah yang pertama di dunia dengan teknologi yang terkini. Senibina dan rekabentuk kapal adalah dari Technip Daewoo Consortium dan pembinaannya bermula di Daewoo’s Shipyard di Okpo, Korea Selatan. Setelah siap akhirnya ianya dibawa ke Tanjung Langsat, Malaysia untuk tujuan kerja-kerja yang lain. Diceritakan panjangnya sahaja 365m, 60m lebar dan beratnya apabila diisi dengan gas asli boleh menampung kira-kira 125,000 tan beratnya.
Memang gah teknologi ini dan ianya diceritakan sudahpun mula menyedut hasil bumi Sarawak akhir tahun 2015 lagi. Jadi jika diperkira keuntungannya sudah tentu para pakar-pakar ekonomi bolehlah mencongak sendiri laba yang didapati. Dan disebalik itu juga mungkin kita juga boleh mencongak mengapa kita harus terus-terusan menuntut hak kita untuk kelangsungan rakyat Sarawak.
Bayangkan selama lebih 53 tahun ini mereka telah mengecapi kemewahan daripadanya sedangkan kita masih teraba-raba memohon simpati atas hak di bumi kita sendiri. Kita tidak mahu hanya setelah hasil bumi kita kering kontang barulah kita merasainya.
Teruskan usaha Tok Nan!

‪#‎SupportMyCM‬

KEUTAMAAN AGENDA RAKYAT BUKAN HANYUT DEK POPULARITI


DUA tahun lalu, rakyat tertanya siapa bakal pengganti Ketua Menteri Sarawak selepas Tun Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan peralihan kuasa menerajui Sarawak. Pihak media dibelenggu pelbagai spekulasi calon pengganti.
Terus terang, ketika itu Datuk Adenan mengambil pendekatan mengunci mulut setiapkali dirapati pihak media.
Ringkas dengan wajah tenang, beliau acapkali menjawab NO KOMEN. Lazimnya pihak media akur dan dari awal sedia maklum, itu jawapan yang beliau berikan.
Sebaik namanya diumumkan pengganti Tun Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Taib Mahmud, tidak dapat dinafikan ramai yang kehilangan bicara, ada tidak percaya dan tidak kurang yang meragui kewibawaan Datuk Adenan.
Seawal menerajui Sarawak, Datuk Adenan mengenepikan publisiti dengan meminta tiada ucapan penghargaan berbentuk iklan disiarkan dan memecah tradisi melonggarkan protokol beliau dengan rakyat. Dua perkara yang di luar kebiasaan.
Tempoh dua tahun menerajui Sarawak, gaya kepimpinan beliau menyerlah terutama yang membabitkan kepentingan rakyat dan pentadbiran Sarawak.
Datuk Adenan memecah tradisi kepimpinan terdahulu, lantang bersuara di peringkat kerajaan pusat sehingga ada waktunya sesetengah pihak meragui keberkesanan dan keberhasilan permintaan yang beliau perjuangkan.
Merapatkan jurang pembangunan luar bandar keutamaan agenda Datuk Adenan. Cabaran besar terpikul di bahu ADUN di kawasan~kawasan luar bandar yang masih lagi tercicir dari arus pembangunan yang dimaksudkan.
Bentuk georgafi Sarawak itu dengan sendirinya sudah cukup mencabar untuk direalisasikan agenda besar ini.
Sejumlah dana besar diperlukan untuk memenuhi aspirasi rakyat pada era pentadbiran Datuk Adenan.
Ramai tidak menyedari tindakan Datuk Adenan mengenepikan iklan penghargaan di media cetak, sebenarnya memberi impak besar terhadap populariti beliau.
Bersandarkan liputan berita dan rangkaian media sosial sebagai medium penghubung naklumat beliau dengan rakyat, populariti Datuk Adenan terus melonjak dan membuka mata ramai pihak termasuk pembangkang yang ketandusan idea dan isu besar untuk kempen politik mereka.
Keperihatinan Datuk Adenan terhadap rakyat merentasi sempadan daerah, masa, bangsa, agama dan idealogi politik. Sekali lagi Datuk Adenan memecah tempoh tradisi dan jurang rakyat dan pemimpin atasan.
Berdasarkan populariti semasa Datuk Adenan dan pelbagai usaha yang diperkenalkan terutama untuk kepentingan luar bandar, diyakini peratusan kemenangan kerajaan Barisan Nasional Sarawak meningkat.
Ini kerana secara tradisinya kemenangan pilihanraya Sarawak banyak disumbangkan pengundi luar bandar dan pinggir bandar.
Namun tidak bermakna calon parti kompenan Barisan Nasional boleh menaruh harapan menang mudah dengan menumpang populariti dan gaya kepimpinan Datuk Adenan sekarang ini.
Suara rakyat boleh berubah sekelip mata terutama di kawasan DUN yang disenarai "black dan grey".