Thursday, 1 August 2019

KENYATAAN MEDIA KETUA WHIP GPS


1. Ahli-ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) di semua peringkat perlu bersiap sedia sepenuhnya untuk menyahut seruan “sedia berperang” oleh YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, terhadap Pakatan Harapan (PH), demi mempertahankan hak rakyat dan negeri Sarawak.

2. Ini kerana hanya GPS, parti jati Sarawak, yang bersungguh-sungguh dalam memperjuang serta mempertahankan hak Sarawak ketika ini, sedang pemimpin PH Sarawak langsung tidak bersuara ketika projek untuk Sarawak dibatalkan, manakala hak-hak Sarawak dicabar satu persatu.

3. Kesediaan GPS untuk “berperang” adalah bukti ketegasan YAB Ketua Menteri Sarawak dalam mempertahankan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pada masa sama, semua lapisan rakyat Sarawak seharusnya menyokong penuh ketegasan YAB Ketua Menteri yang enggan berkompromi dalam meminta Kerajaan Persekutuan supaya berhenti daripada mencabuli atau melanggar hak-hak Sarawak.

4. Kerajaan Sarawak juga sudah bosan dengan sikap tidak bersungguh-sungguh Kerajaan Persekutuan dalam membantu Sarawak. Pemimpin Pakatan Harapan berkumpul di Kuching Ahad lepas semata-mata hanya untuk mengkritik Kerajaan Sarawak sambil mendakwa idea mereka lebih bernas, bukannya datang untuk mengumumkan projek pembangunan untuk rakyat Sarawak.

5. Pemimpin PH hanya pandai bercakap dan membuat janji kosong. Kita sudah tengok sendiri bagaimana PH bukan sahaja “membakulsampahkan” janji-janji dalam Manifesto PRU-14, malah projek-projek yang sudah diluluskan untuk Sarawak dibatalkan atas alasan tidak ada bajet, namun pada masa sama projek-projek baharu dengan kos lebih tinggi diumumkan di Semenanjung.

6. Tidak ada gunanya Kerajaan Sarawak menghulurkan tangan untuk berbaik jika hak-hak Sarawak terus dicabar dan Sarawak dianaktirikan dalam pemberian bajet dan pembangunan.

7. Justeru semua jentera parti perlu bersedia untuk “berperang” bukan sahaja dengan turun padang menyantuni akar umbi supaya memahami senario politik semasa, malah juga perlu lebih aktif dalam menangkis serangan terhadap GPS di media sosial.

8. Saya juga ingin mengajak semua wakil rakyat dan pemimpin GPS di semua peringkat supaya secara peribadi lebih aktif di media sosial untuk menjawab apa sahaja isu yang dibangkitkan serta menyampaikan mesej betul kepada rakyat, bukannya bergantung kepada “admin” semata-mata untuk berurusan dengan rakyat

Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof
Ketua Whip GPS
Naib Presiden Kanan PBB
Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya
(1 Ogos 2019)

No comments:

Post a Comment