Sunday, 9 April 2017

HINA POLIS DI FB MEMBAWA PADAH



HANYA kerana tidak mampu menahan amarah akibat adanya saman yang dikeluarkan ketika mengunjungi pameran Autoshow di Kuching baru-baru ini lalu seorang pemuda telah bertindak menghamburkan kata-kata kesat ke atas anggota polis di dalam status yang dimuatnaik di dalam satu grup fb iaitu “Kuching Trafik Info”.

Difahamkan, pemuda yang menggunapakai nama “Amirul Esok” telah ditahan oleh pihak polis atas kebiadabannya berbuat sedemikian pada tanggal 9 April 2017 di kampungnya di Kuching.    

Bukan satu cerita luar biasa sekiranya ada penangkapan yang dibuat atas tindakan bodoh kita sendiri.  Sekiranya betul-betul tidak berpuashati banyak lagi saluran yang boleh digunakan.  Hal seperti ini sudah acapkali diingatkan kepada pengguna-pengguna di media sosial.  

“KIASUNYA” TUAN TANAH JALAN PINTAS KPG KUDEI



BUKAN 1 tetapi 2 buah kontena yang berukuran 20’ x 8’ panjang diletakkan di tengah-tengah jalan menjadi satu tanda tanya kepada penduduk di Kampung Kudei beberapa hari yang lepas.  Setakat ini yang diketahui menyatakan bahawa ianya adalah tindakan “Tuan Tanah” yang mana pemilik kepada sebahagian daripada tanah yang dijadikan jalan pintas ke SK Combined.  

Jika diperlihatkan kepada tindakan ini seolah-olah ada rasa ketidakpuasan hati daripada “Tuan Tanah” di dalam hal ini.  Cuma yang amat menghairankan jika diperkira kewujudan jalan pintas ini sudahpun ada sejak di zaman pemerintahan Allahyarham Tun Abdul Rahman bin Yaakub lagi sehinggalah kepada legasi pemerintahan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari sekarang.  Mengapa setelah sekian lama hal “ketidakpuasan hati” ini harus ditimbulkan sekarang dengan mengambil satu langkah yang agak ekstrim.  

Tindakan daripada “Tuan Tanah” yang menutup jalan ini seolah-olah sudah langsung tidak memperdulikan keselamatan pengguna awam serta kemudahan kepada rakyat di sekitar Kampung Kudei yang selama ini menggunakan jalan pintas ini untuk menghantar anak ke SK Combined.  Sekiranya ada tindakan undang-undang yang sedang dibuat bagi menuntut semula sebahagian sempadan jalan pintas ini, tiada salah untuk membukanya sementara bagi kemudahan penduduk setempat.  

Sifat “kiasu” seperti ini juga sebenarnya turut menggambarkan bahawa “Tuan Tanah” seperti mencabar pihak badan yang berwajib yang lain.  Untuk rekod jalan pintas ini juga di dalam wilayah DUN Satok iaitu yang diwakili oleh Ketua Menteri Sarawak itu sendiri.  Hal seperti ini nampak kecil tetapi sebenarnya boleh menjadi satu masalah yang besar selagi tidak dirungkaikan dengan segera.   

PESAWAT MH2718 TERGELINCIR DI LAPANGAN TERBANG SIBU



Keadaan pesawat selepas pendaratan 


Usaha untuk memindahkan pesawat dari landasan dilakukan 


Lapangan Terbang Sibu kembali beroperasi sekitar jam 12.00 malam 10/4/2017 

LAPANGAN Terbang Sibu menjadi perhatian dunia sejak 2 hari yang lepas apabila pesawat Sistem Penerbangan Malaysia MH2718 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Sibu sewaktu pendaratannya telah tersasar daripada landasan akibat hujan lebat. Atas hal ini juga membuatkan “emergency evacuation” prosedur digerakkan. Kejadian ini berlaku kira-kira 10.17 malam pada tanggal 8 April 2017.

Dengan kepantasan pihak pengurusan serta pasukan kecemasan dan keselamatan Malaysia Airport menyaksikan tiada sesuatu yang lebih buruk berlaku. Menurut sumber daripada Malaysia Airport menyatakan kesemua 61 penumpang beserta 6 anak kapal telah dikeluarkan dari pesawat di dalam keadaan selamat. Sejajar dengan itu juga bermula dari hari kejadian sehinggalah 9 April 2017, lapangan terbang Sibu telah ditutup untuk pendaratan mahupun pelepasan pesawat. Ianya mengakibatkan hampir 48 penerbangan telah dibatalkan yang mana kira-kira lebih kurang 4,000 penumpang terpaksa menunda penerbangan mereka.

Usaha daripada pihak pengurusan Malaysia Airport untuk memindahkan pesawat daripada lokasi kejadian telah membuahkan hasil kira-kira jam 9.00 malam tadi. Diceritakan bantuan peralatan daripada Kuala Lumpur telah memudahkan usaha mereka walaupun rombongan teknikal beserta peralatan terpaksa menggunakan jalan darat dari Kuching usai pendaratan di mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam.

Setelah segala prosedur penyiasatan dan keselamatan landasan dijalankan selesai, pihak Malaysia Airport telah mengeluarkan kenyataan media bahawa Lapangan Terbang Sibu sudah boleh beroperasi seperti biasa pada jam 12.00 pagi, 10 April 2017. 

Sunday, 2 April 2017

TAMAN NEGARA SIMILAJAU, BINTULU


DIWARTAKAN pada tahun 1976 dan akhirnya dibuka kepada orang awam sekitar tahun 1996 menjadikan ianya antara taman negara yang wajib dikunjungi jika singgah di Bintulu. Taman Negara Similajau meliputi kawasan seluas 7,064 hektar hutan dara tepi pantai yang mana bermula dari Sungai Likau di bahagian selatannya sehingga ke Sungai Similajau di utara.  

Menurut rekod dinyatakan bahawa Taman Negara Similajau menjadi tumpuan kepada 24 spesis mamalia seperti ungka, langur berbelang, kera ekor panjang dan tidak lupa si sang bedal jenis Buaya Air Tawar.  Oleh kerana kawasan pantainya yang menghadap Laut China Selatan memungkin adakalanya ia juga sering dikunjungi oleh ikan lumba-lumba.

Manakala untuk kawasan pantai seperti Turtle Beach dan Golden Beach pula dijadikan santuari untuk pembiakan telur-telur penyu yang datang bertelur di kawasan ini saban tahun. Selain menyimpan keindahan alam semulajadi seperti tumbuhan hutan, Taman Negara Similajau ini juga menjadi habitat kepada 230 spesis burung seperti ikon burung bagi Negeri Sarawak iaitu burung kenyalang serta spesis “Storm Storks” iaitu burung-burung air yang gemar berhijrah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Tidak akan sempurna bercerita mengenai Taman Negara Similajau jika tidak memperkatakan mengenai pantai-pantainya yang memutih serta airnya yang kebiru-biruan.  Dengan pesisir pantainya iaitu seluas 30 km panjang dan dibarisi dengan terumbu karang serta teluk-teluk kecil yang menjadi sebahagian pembentuk pesisir pantainya menjadikan ia adalah antara salah satu tempat yang mampu menarik pelancong-pelancong yang gemarkan suasana pantai yang mendamaikan.

Untuk mereka yang mencari ketenangan dan ingin bercuti singkat bolehlah memilih untuk datang ke Taman Negara Similajau.  Jarak perjalanan untuk ke Taman Negara ini juga boleh dikatakan singkat iaitu kira-kira 45 minit dari Bandar Bintulu.   

PESTA BIRUMUH BIDAYUH LAMBANG IDENTITI SARAWAK YANG HARMONI






SABAN tahun pada tanggal 1 April sejak dari tahun 2009 ianya tidak pernah gagal dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).  Dan untuk tahun 2017 ini ianya diadakan dengan penuh gemilang di Stadium Mini Serian.  Majlisnya dirasmikan sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.  

Seperti masyarakat Iban yang terkenal dengan sambutan Pesta Gawai begitulah juga masyarakat Bidayuh apabila berkata mengenai Pesta Birumuh.  Kerana kedua-duanya mempunyai signifikasi atas tanda kesyukuran selepas tamatnya musim menuai padi.  Secara sejarahnya sejak dari dahulu lagi masyarakat Bidayuh atau Dayak Darat sudah lama terkenal dengan penanaman padi sebagai salah satu daripada sumber ekonomi yang utama bagi mereka.  

Dengan penyertaan daripada pelbagai sub-etnik Bidayuh menyaksikan Pesta Birumuh juga adalah salah satu wadah di dalam menceritakan kekayaan seni budaya dan tradisi masyarakat Bidayuh Sarawak.  Dan tidak kurangnya walaupun pesta ini begitu sinonim dengan masyarakat Bidayuh namun ianya juga turut disertai oleh pelbagai masyarakat yang menghuni Sarawak Bumi Kenyalang.  Contohnya kehadiran kontinjen daripada masyarakat Jawa dari Kampung Jawa, Batu 12, Semenggok membuktikan bahawa Pesta Birumuh adalah salah satu lambang identiti Sarawak yang harmoni.

Sarawak itu lahir dari penat lelah masyarakatnya yang majmuk dan pertahankanlah keharmonian dan kesepaduan kita ini sampai bila-bila.

WISMA ADENAN DIBERI NAMA


PEMERGIANNYA pada tanggal 11 Januari 2017 diratapi kita semua dan sehingga sekarang tempat persemadian kekalnya tetap dikunjungi oleh rakyat pelbagai kaum dan agama dari seluruh pelusuk Sarawak mahupun Malaysia itu sendiri.  Begitulah istimewanya seorang insan yang terlalu dekat di hati kita semua iaitu Allahyarham Datu Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem.

Di dalam corat coret rakyat yang mahu namanya dikenang sepanjang zaman akhirnya ianya berjaya dilestarikan apabila Pusat Pembangunan Pendidikan Yayasan Sarawak yang terletak di Jalan Sultan Tengah ditukar namanya bagi mengenang jasa beliau.  Wisma Adenan itulah nama barunya yang diharap akan berjaya mengukir namanya sebagai antara pusat yang berjaya melahirkan masyarakat Sarawak yang berilmu.   

Tiada siapa boleh menidakkan bagaimana Yayasan Sarawak adalah antara badan kerajaan di Sarawak yang telah banyak membantu generasi muda Sarawak selama ini.  Ditubuhkan dibawah Ordinans Yayasan Sarawak pada 27 Mei 1971 adalah badan berkanun yang dikhaskan untuk memberi kemudahan biasiswa dan pinjaman atau penyediaan bantuan kewangan untuk bakal para pelajar yang ingin meneruskan pengajiannya di institusi pengajian tinggi di dalam mahupun luar negara.

RM5K SEPINTU UNTUK MANGSA KEBAKARAN KAMPUNG SEKENDU





PADA tanggal 29 Mac 2017 kita menerima khabar kurang enak apabila sebuah rumah panjang di Kampung Sekendu di Simunjan musnah dijilat api di dalam satu kebakaran.  Dikatakan juga akibat api marak dengan terlalu cepat, para penduduk hanya tinggal sehelai sepinggang tanpa dapat menyelamatkan barangan mereka.  

Sejurus menerima perkhabaran ini pelbagai agensi malahan orang awam telah datang menghuluskan bantuan bagi meringankan beban para penduduk kampung yang terlibat.  Tanggal 1 April 2017 pula usai tugasan di Parlimen Malaysia yang sedang bersidang, Ahli Parlimen P200 Batang Sadong telah bergegas pulang ke kawasan parlimennya untuk meninjau sendiri keperitan rakyatnya yang sedang dilanda musibah. Turut berada bersama beliau sewaktu tinjauan tersebut adalah ADUN Simunjan iaitu YB Awla Idris.   

Memahami akan bebanan mangsa kebakaran, Datuk Seri Hajjah Nancy Syukri turut menghulurkan bantuan segera berupa wang tunai sebanyak RM5,000 bagi setiap pintu rumah panjang yang terbabit di dalam kebakaran tersebut.  12 pintu kesemuanya dan ini bermakna RM60,000 disediakan untuk bantuan sementara ini. Selain itu beliau turut menyatakan akan membuat apa sahaja dengan meneruskan perbincangan bersama agensi kerajaan yang terlibat bagi menyediakan tempat tinggal yang tetap bagi setiap mangsa kebakaran.  

Pada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berurusan terus dengan Tuai Rumah iaitu Awat ak Minggu, JKKK Kampung Sekendu atau Pejabat Daerah Simunjan.