Sunday, 13 January 2019

CINTA SETIA HINGGA HUJUNG NYAWA


KEBIASAANNYA kita akan membaca kisah cinta hingga hujung nyawa di tabloid-tabloid luar negara. Tetapi kali ini, buat julung-julung kalinya satu kisah cinta tautan kasih dinoktahkan di Hospital Umum Sarawak. Seorang wanita pesakit kanser akhirnya dikahwinkan dengan teman lelakinya yang sudah lama dikenali beliau.
Atas usaha doktor, jururawat dan staf SGH, pasangan merpati dua sejoli yang sudah sehati sejiwa ini diraikan di wad SGH. Tahniah SGH atas usaha murni yang semestinya menuntut komitmen yang tinggi dari semua pihak untuk melestarikannya. Sesungguhnya cinta itu tidak mengenal usia. Kalau sudah jodoh tidak akan ke mana.

Saturday, 12 January 2019

TENGKU ABDULLAH, SULTAN NEGERI PAHANG YANG BAHARU


TANGGAL 15 Januari 2019 akan menjadi satu lagi detik bersejarah di dalam sistem raja berpelembagaan Negara Malaysia apabila pemangku Raja Pahang yakni Tengku Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah akan dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang yang baharu bagi menggantikan ayahanda baginda yang sedang gering sekarang.  Menurut pengisytiharan yang diwar-warkan oleh Tengku Muda Pahang yang juga adinda baginda iaitu Tengku Abdul Rahman ibni Sultan Ahmad melalui sidang media khas dari Istana Abu Bakar pada hari ini 12 Januari 2019, pemasyhuran Tengku Abdullah akan dilangsungkan di Balai Rong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada jam 11 pagi, hari Selasa depan 15 Januari 2019.  

Tengku Abdullah yang dilahirkan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga, Tunggal, Pekan, Pahang Darulmakmur merupakan anakanda yang keempat di dalam lapan adik-beradik dan baginda merupakan putera yang sulung. Memulakan pendidikan awalnya di St. Thomas School Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke Aldenham School dan Davis College, London.  

Baginda berkahwin dengan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Iskandar Al-Haj pada 6 Mac 1986 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.  Isteri baginda merupakan adinda kepada Sultan Ibrahim yakni Sultan Johor Darultakzim sekarang.  Hasil perkahwinan baginda berdua dikurniakan dengan empat putera dan dua puteri. Pada tanggal 19 Februari 1991, Tengku Abdullah melangsungkan perkahwinan keduanya dengan seorang selebriti tanahair iaitu seorang pelakon yang sedang popular pada masa itu iaitu Cik Puan Julai Rais di Kota Bharu, Kelantan. Hasil perkahwinan kedua ini, baginda dikurniakan dengan tiga puteri.  

Setakat ini seluruh rakyat Malaysia masih lagi memerhati dengan dekat perkembangan perkaitan pemasyhuran Sultan Pahang yang baharu.  Ini kerana selepas mantan YDP Agung, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan, hanya selepas 24 Januari 2019 barulah kita semua mengetahui siapakan yang akan menjadi YDP Agung Malaysia.  Jika diikutkan kepada penggiliran asal Majlis Raja-raja Melayu adalah dimaklumkan penggiliran sebenar untuk YDP Agung adalah Sultan Pahang. Mungkinkah pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang kelak akan menjadikan beliau sebagai Yang Dipertuan Agung Malaysia yang ke-16 Negara Malaysia.  

Tuesday, 8 January 2019

LOGO GABUNGAN PARTI SARAWAK DIRASMIKAN



AKHIRNYA detik yang dinantikan sudah tiba apabila logo yang menjadi identiti Gabungan Parti Sarawak iaitu satu gabungan baru parti lokal Sarawak Bumi Kenyalang diwar-warkan buat tatapan umum.  Gabungan Parti Sarawak yang dianggotai oleh Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Sarawak United People Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Progresif Democratic Party (PDP).  Logo GPS dirasmikan beberapa jam yang lalu di Ibupejabat PBB di Kuching, Sarawak hari ini.  

Tampil dengan rekabentuk burung kenyalang berhuruf “S” melambangkan burung ikon Sarawak Bumi Kenyalang.  Dan pemilihan warna-warnanya pula membawa makna yang berbeza iaitu hitam, merah dan putih.  Hitam merupakan tunjang kekuatan gaungan di dalam menjunjung dan memenuhi objektif penubuhan.  Merah pula menjadi simbol kepada kedaulatan perlembagaan iaitu yang menjadi antara matlamat dan visi GPS ditubuhkan iaitu memartabatkan perlembagaan seperti yang tertulis di dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang asal.  Dan warna putih adalah lambang keadilan dan kesaksamaan serta kedaulatan undang-undang.  

Sesungguhnya dengan perasmian logo GPS ini maka segala persoalan yang bermain di minda dan benak penyokong mahupun lawan terjawab sudah.  Inilah logo yang digunakan untuk berentap di Pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang.  

#SarawakFirst

Sunday, 6 January 2019

RIZAB SARAWAK BESAR, BILA NAK BAYAR HUTANG RM50 JUTA


JIKA diikutkan jumlahnya mungkin kecil tetapi ianya begitu bermakna buat Sarawak lebih-lebih lagi sekarang kebanyakan daripada pembangunan dan urustadbir Sarawak yang luasnya hampir sama dengan Semenanjung Malaysia digalas dibahu Kerajaan Negeri Sarawak setelah satu persatu projek infrastruktur dan sebagainya dipotong oleh Putrajaya atas kekangan kewangan.  Dan tindakan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan iaitu Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mempersoalkan kelewatan agihan cukai pelancongan sebanyak RM2.7 juta ada rasionalnya.  

Hal ini diperjelaskan melalui pautan ini;


Mungkin tercabar dengan pertanyaan daripada seorang Menteri di Sarawak maka Tuan Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan Malaysia tampil dengan respons yang cukup menjengkelkan. Maklumbalas itu dinyatakan di dalam satu sidang media dari pejabat Kementerian Kewangan bahkan turut diperluaskan di dada-dada akhbar tempatan.  

Antara pautannya adalah seperti berikut:


Ya, kita boleh menerima sekiranya antara alasan LGE adalah masih lagi diperingkat perkiraan tentang pembayaran balik cukai pelancongan kepada negeri-negeri memandangkan almaklum Kerajaan Persekutuan dibawah PH masih lagi baru namun kenyataan pada perenggan akhir beliau seolah-olah menunjukkan “ketuanan” Putrajaya iaitu yang berbunyi;

“Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang lebih daripada RM2.5 bilion kepada Kerajaan Persekutuan dengan tunggakan hampir RM50 juta.  Memandangkan Negeri Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak langsaikan hutang kepada Kerajaan Persekutuan? -LGE-.”

Hakikatnya apa yang dinyatakan oleh LGE itu seperti “ah long” yang langsung tidak menunjukkan professionalisma beliau sebagai Menteri Kewangan Malaysia.  Ini kerana jika kita melihat kepada kenyataan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari pada tanggal 4 Disember 2018 berkata bahawa seperti negeri lain di bawah sistem persekutuan, Sarawak memang ada meminjam daripada kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan telah membayar pinjaman tersebut mengikut jadual dan semua bayaran dibuat oleh Sarawak tepat pada masanya.  

Pautannya adalah seperti berikut:

https://sarawakvoice.com/2018/12/04/sarawak-bayar-balik-hutang-ikut-jadual/

Jadi, apakah rasionalnya seorang Menteri Kewangan Malaysia untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu.  Sedangkan hakikatnya selama ini bukanlah satu rahsia bahawasanya hasil maksum dari Sarawak telah digodek dan digali serta disalurkan buat “menghidupkan” Negara Malaysia malah jumlahnya melalui perolehan gas dan minyak diambil oleh Petronas dan Putrajaya sekitar RM100 bilion ke RM120 bilion saban tahun.  Sekiranya Sarawak benar-benar ingin mengungkit hak sebenar-benarnya sudah tentu Putrajaya yang boleh jatuh muflis.  

Tidak kira mana parti yang memerintah baik BN mahupun PH kesemuanya harus jangan pernah melupai jasa-jasa Sarawak selama ini.  Rakyat Sarawak sudah cukup berbaik hati selama lebih 55 tahun ini dan kami hanya mampu tengok segala kemewahan yang dikecapi di bumi Malaya sedangkan negeri kami yang “istimewa” kerana dihormati sebagai wilayah pembentuk Malaysia kata kerajaan persekutuan Pakatan Harapan masih lagi tersekat-sekat pembangunannya.

Usah mendabik dada sebegitu rupa wahai Menteri Kewangan Malaysia kerana apa yang dilakukan oleh menteri dari Sarawak adalah untuk menuntut hak rakyatnya.  Kami sudah jelak berdiam diri dan tatkala kami bising adalah kerana itu hak kami waima sebesar semut sahaja jumlahnya.  Hak tetap hak dan tidak usah nak besar kepala hanya kerana hutang RM50 juta yang sememangnya untuk membangunkan negeri Sarawak.  Sekarang ini, yang seharusnya dipikul oleh Persekutuan dengan sewenang-wenangnya diberikan kepada Kerajaan Sarawak hanya kerana rizab kami besar. Contohnya penyelenggaraan jalanraya persekutuan yang sememangnya sudah melanggar apa yang tercatit di dalam Perlembagaan Malaysia.  

Jangan sampai kami pulang paku buah keras…faham!

#SarawakianFirst 

Friday, 4 January 2019

PENYELENGGARAAN JALAN PERSEKUTUAN, SARAWAK DIBULI LAGI!


NAMPAK gayanya satu demi persatu bidang kuasa yang sepatutnya dibawah Persekutuan cuba ditidakkan dengan membiarkan ianya digalas oleh pihak Kerajaan Negeri Sarawak.  Selepas isu tarik papan sorong papan dengan sekolah-sekolah daif, vaksin wabak rabies dan kali ini penyelenggaraan jalan persekutuan pula yang dijadikan mangsa.  

Setelah menerima banyak maklumbalas dari warga Sarawak yang bimbang akan keadaan jalan persekutuan di Sarawak yang dibiarkan bersemak samun dan berlobang sana sini, akhirnya Menteri Kerja raya Malaysia yang juga harapan pengundi PH di Sarawak iaitu YB Baru Bian tampil dengan kenyataan bahawasanya Kerajaan Negeri Sarawak diminta untuk mengambil tugas tersebut.  Ianya adalah seperti pautan berikut:


Dalam pada itu, tindakan Menteri Kerja raya itu telah dibidas oleh Ahli Parlimen Santubong iaitu Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang bertegas menyatakan bahawasanya apa jua bentuk penyelenggaraan jalan persekutuan adalah juridiksi Persekutuan dan tiada kompromi mengenainya.  Ianya adalah seperti pautan berikut:


Jika difikirkan sampai bila isu kekangan kewangan hendak dijadikan modal oleh pihak Persekutuan sedangkan hakikatnya mereka boleh lagi meneruskan projek-projek infrastruktur yang lain untuk negeri-negeri dibawah penguasaan parti PH.  Contoh terdekat adalah bagaimana Kerajaan Kedah mendapat 11 projek infrastruktur yang juga memakan jutaan ringgit dananya.  Dan mengapa harus membuli Sarawak yang sudah tentu bukan negeri biasa sebaliknya pembentuk Gagasan Malaysia.  

Dan apakah pula fungsi YB Baru Bian yang menjadi wakil Sarawak di peringkat persekutuan sekiranya terus tunduk dan sama-sama “membuli” negeri kelahiran sendiri. Ya, mungkin apabila melihat keadaan belanjawan Sarawak untuk 2019, mereka berpendapat bahawa Sarawak mampu berdiri atas kaki sendiri tanpa ada bantuan daripada Persekutuan namun haruslah diambilmaklum bahawasanya belanjawan itu adalah untuk memastikan rakyat Sarawak menerima pembangunan yang sudah dijanjikan sebelumnya.  

Pihak Persekutuan seharusnya tahu membezakan juridiksi bidang tugas mereka seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia dan janganlah sesekali membiarkan segalanya dilakukan oleh Sarawak sendirian.  Apalah guna kita bersama-sama di dalam Gagasan Malaysia sekiranya segala cukai sudah dibayar kepada pihak Persekutuan tetapi tatkala membuat kerja penyelenggaraan dan sebagainya menggunakan tabung sendiri.

Jangan nanti apabila sudah siap kerja-kerjanya dan cantik dipandang mata serta mendapat pujian rakyat maka berbonong-bononglah pihak Persekutuan mengwar-warkan diri untuk mendapat nama seumpama kata bidalan kambing punya susu, lembu mendapat nama atau dalam bahasa dunia sosial media sekarang “#doneclaim”.  Kotakan janji anda wahai Kerajaan Persekutuan, kami muak dengan taktik membuli anda.  Untuk wakil Sarawak di dalam kabinet Putrajaya, buat kerja anda sebagai wakil kami dan jangan menjadi seperti kerbau dicucuk hidung.  Rakyat memerhati!


#SarawakFirst 

Saturday, 22 December 2018

PENANGAN LETUSAN GUNUNG BERAPI ANAK KRAKATAU


MENJELANG tengahmalam tadi tanggal 22 Disember 2018,  kita dikejutkan dengan berita duka nun di kawasan pantai sekitar Selat Sunda yang mana menyaksikan rakyat Indonesia di sana dilanda tragedi tsunami. Menurut berita mutakhir yang diwar-warkan sehingga jam 12.00 tengahari tadi dipercayai lebih daripada 60 orang terkorban sementara lebih dari 500 orang mengalami kecederaan sementara banyak yang rosak.  
Pakar geografi Indonesia menyatakan bahawa tsunami tanpa “alarm” yang melanda Selat Sunda malam tadi adalah dipercayai berpunca daripada letusan awal gunung berapi Anak Krakatau yang ada di Selat Sunda.  
Menurut sejarah, Gunung Krakatau adalah antara gunung berapi yang pernah meletus di Selat Sunda iaitu tanggal 26 Ogos 1883.  Bencana letusan Krakatau telah mengorbankan hampir 36,000 orang pada waktu itu. Biarpun gunung berapi Krakatau telah musnah namun masih ada lagi gunung-gunung berapi kecil yang masih aktif seperti gunung berapi Anak Krakatau.  
  

Thursday, 20 December 2018

SARAWAK SEBAGAI MEDAN DAKWAH???



BEBERAPA hari yang lepas, Menteri Pendidikan Malaysia iaitu Dr. Mazlee Malik mengeluarkan kenyataan bagaimana seorang guru itu turut bertindak sebagai pengantara medan dakwah di dalam tugasannya.  Ianya dikeluarkan bagi menjawab sessi di dewan rakyat yang mana berkisar kepada persoalan kekurangan guru-guru agama di sekolah-sekolah di Sarawak dek kerana ramai guru berasal dari Semenanjung Malaysia memohon untuk berpindah.

Tindakan Dr Mazlee yang tampil dengan respons sebegitu rupa akhirnya memakan diri sendiri kerana rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik menyelar beliau kerana langsung tidak memahami sensitiviti kepelbagaian kaum dan agama di Sarawak.  Dan tatkala menerima banyak respons negatif, sekali lagi Dr. Mazlee tampil dengan kenyataan “pusingan U” bagi mempertahankan dirinya bahawa apa yang dimaksudkan sebagai medan dakwah itu adalah guru-guru menjadi pengantara kepada kebaikan dan bukan sama sekali untuk menyerap dan mempengaruhi pelajar-pelajar memeluk Islam.

Hakikatnya biar apa jua alasan Dr. Mazlee waima kesalahan intepretasi menurut beliau adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.  Ini kerana perkara ini timbul tatkala kita berbicara mengenai kekurangan guru agama dan sekiranya rakyat Sarawak mempunyai kefahaman mengenai “medan dakwah” itu sudah tentu berkisar tentang dakwah-dakwah agama Islam.  Dr. Mazlee seharusnya peka dengan setiap butir bicaranya demi menjaga keharmonian Sarawak yang pelbagai kaum dan agama di Sarawak.  

Mungkin Dr. Mazlee kurang jelas bahawasanya di Sarawak TIADA AGAMA RASMI di dalam perlembagaannya yang berlainan sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.  Natijah dari setiap bicara seorang Menteri Pendidikan mungkin akan memberi impak kepada sekolah-sekolah kerajaan selepas ini kerana adanya ketakutan di kalangan ibubapa untuk membenarkan anak-anak mereka ke sekolah kerajaan kerana akan dipengaruhi untuk memeluk Islam.

Sebagai seorang yang terpelajar dan lebih-lebih lagi seorang berpangkat Menteri Pendidikan harus peka dengan sensitiviti rakyat.  Adalah dinasihatkan agar Dr. Mazlee merujuk kembali Manifesto PH pada PRU lepas iaitu Manifesto ke 43 yang cukup jelas menyatakan bahawa Kerajaan PH sekiranya berkuasa akan terus menghormati kebebasan beragama di Sarawak.  

Cakap siang, pandang-pandang dan cakap malam, dengar-dengar wahai Dr. Mazlee.  Rakyat Sarawak lebih mengutamakan keharmonian daripada segalanya yang sehingga ke hari ini cukup sukar untuk diganggugugat seperti tempat lain di Malaysia.  Cubit paha kiri, seluruh peha kanan rakyat Sarawak terasa. Ingat itu!