14/2/2019 - Lawatan Dan Mesyuarat Di Penjara Banteay Meanchey, Cambodia
DATANG bukan sebarang datang tetapi datang dengan sejuta harapan untuk membawa pulang 47 rakyat Malaysia yang sedang menghadapi musibah di negara orang. Satu misi yang bukannya mudah tetapi tidak salah untuk mencuba asalkan kita mampu mengungkai segala ikatan yang kusut dengan sebaik mungkin iaitu menggunakan diplomasi tahap tertinggi antara dua kerajaan. Disebalik cerita warganet di Sarawak yang mengatakan kedatangan delegasi Kerajaan Sarawak ini “sudah terlambat” mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawasanya Delegasi Kerajaan Sarawak adalah delegasi rasmi yang mana telah mendapat mandat penuh dari Kementerian Luar Negeri Malaysia. Ianya amat berlainan sekali dengan kedatangan rombongan pertama yang berkunjung ke Cambodia atas kapasiti peribadi.
Hal ini wajar untuk diketahui semua rakyat Malaysia amnya dan rakyat Sarawak khususnya kerana mempunyai perbezaan yang amat ketara sekali. Dengan adanya mandat dari Kementerian Luar Negeri maka Delegasi Kerajaan Sarawak sudah tentu akan diberikan “access” untuk melihat sendiri serta mengorek permasalahan dari akar umbi dimana ianya bermula sehinggalah 47 rakyat Malaysia akhirnya tersadai lesu menjadi penghuni tembok besi bergerigi di Penjara Banteay Meanchey, Poi Pet, Cambodia sejak 11 Disember 2018. Sekiranya ianya dilakukan dengan lunas-lunas yang betul maka tidaklah mustahil segala yang terjadi ini boleh diselesaikan di dalam jangkamasa pendek dan bukan sesekali hanya sembang kencang di dalam sidang media tanpa ada yang mampu dinoktahkan.
Semalam, 14 Februari 2019 menyaksikan delegasi Kerajaan Negeri Sarawak diberikan kesempatan untuk bersua muka dengan 47 tahanan rakyat Malaysia yang mana 44 orang daripadanya adalah anak Sarawak. Sewaktu sidang pertemuan itu dikatakan anak-anak Sarawak mampu menguntum senyuman kerana mereka sendiri tidak pernah terfikir bahawasanya untung nasib mereka mendapat perhatian kepimpinan utama Sarawak iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari sehingga sanggup mengambil inisiatif sendiri menghantar delegasi Kerajaan Sarawak mengunjungi mereka. Segala permasalahan yang diutarakan oleh para tahanan itu diambilkira dan akan cuba diselesaikan berdasarkan kemampuan yang ada.
Satu mesyuarat turut diadakan semalam antara Delegasi Kerajaan Sarawak diketuai oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunanan Kanak-Kanak YB Dato Sri Hajah Fatimah dan Ahli Parlimen Santubong YB Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang merupakan wakil Kerajaan Sarawak mengadakan perbincangan dengan Jeneral Ung Sipahn yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Banteay Meanchey. Turut hadir di dalam mesyuarat itu adalah Ketua Bahagian Undang-Undang, Kementerian Luar Negeri Muzalmah Mustapha, Setiausaha Bahagian Kaunselor Mohd Adil Abdullah, Timbalan Ketua Perwakilan Charge De Affaries ad Interim Ruzaimi bin Mohamad dan Pengarah Kementerian Luar Negeri Pejabat Wilayah Sarawak Deddy Faisal Ahmad.
Antara topik perbincangan adalah mengenai kebajikan 47 tahanan rakyat Malaysia (44 orang dari Sarawak, 3 yang lain dari Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor). Dan hasil daripada perbincangan itu adalah sejumlah wang telah disumbang oleh pihak Kedutaan Malaysia untuk diagihkan kepada pihak penjara secara berkala. Kemudian ianya akan diberikan kepada 47 tahanan rakyat Malaysia bagi membolehkan mereka membeli air minuman dan sebarang keperluan yang lain dari kantin penjara. Banyak lagi hal yang berbangkit dibincangkan jadi biarlah ianya menjadi topik antara dua kerajaan buat sementara ini.
Akan ada lagi laporan terkini akan dikongsikan bersama kelak dan sama-samalah kita berdoa agar segalanya dipermudahkan. Seperti status yang dimuatnaik oleh Pengarah Kementerian Luar Negeri Pejabat Wilayah Sarawak, Tuan Deddy Faisal Ahmad di dalam laman mukabukunya yang telah tular dikalangan warganet Sarawak sejak semalam.
Kerja ini umpama menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus , tepung jangan berserakkan.
Setenang air di tasik Tongle Sap, setenang itulah juak tadi kami semua bertutur dan berbicara.
#PrayFor47Malaysian