Monday, 25 September 2017

KES SEKOLAH TAHFIZ MENUNGGU TINDAKAN PEGUAM NEGARA


TANGGAL 14 September 2017 yang lalu, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama berduka atas tragedi kebakaran yang menimpa Sekolah Tahfiz Darul Quran Irrigaqiyah di ibu negara.  21 pelajar tahfiz dan dua orang warden terkorban di dalam tragedi tersebut yang berlaku sekitar 5 pagi.  
Setelah banyak spekulasi mengenai punca kebakarannya akhirnya satu titik noktah telah berjaya membenarkan bahawa ianya berlaku akibat perbuatan khianat.  Dan yang lebih memilukan dalang-dalang penyebab kepada kebakaran tersebut pula adalah dari kanak-kanak bawah umur.  Tujuh suspek telah berjaya ditangkap yang berusia antara 11 hingga 18 tahun benar-benar membuatkan kita terfikir bagaimana usia semuda itu boleh tergamak melakukannya.  
Semalam ketika berada di Kuala Trengganu, Pengarah CID Bukit Aman iaitu Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohamad menyatakan bahawa laporan penuh siasatan sudahpun dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.  Menurutnya siasatan polis dibuat dibawah “Section 302 Penal Code for Murder dan Section 435 for mischief of Fire”. Jika diikutkan bukan calang-calang sabitan kes tersebut dan kita nantikan apakah keputusan Jabatan Peguam Negara kelak.  
Keadilan harus ditegakkan untuk keluarga mangsa-mangsa yang terlibat biarpun kita menyesali ada beberapa hal perundangan seperti isu keselamatan tidak begitu diambilkira selama ini.  Jadikanlah ianya iktibar untuk semua yang ingin membuka sekolah tahfiz di seluruh negara.  Mohon juga agar ianya diambil serius oleh setiap badan yang bertanggungjawab dan bukan hanya bermusim menunggu bila ada tragedi berlaku baru hendak bersuara. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Alfatihah untuk semua mangsa yang terkorban. Amin.   

No comments:

Post a Comment