LAGI tiga bulan kita akan menamatkan tahun 2017 dan di sepanjang tahun ini bukan sedikit kita disajikan dengan berita yang begitu menjengkelkan iaitu kes sumbang mahram yang berlaku di Sarawak. Mungkin ramai berkata hal ini sudah ada di mana-mana sekarang dan terjadi kepada pelbagai peringkat umur dan bangsa di Malaysia. Masalahnya sekarang, selepas satu kejadian demi kejadian yang terbongkar sumbang mahram yang berlaku di Sarawak lebih-lebih lagi di sekarang kebanyakannya di kawasan luar bandar mahupun pedalaman sememangnya sesuatu yang begitu memedihkan untuk kita semua telan.
Seorang datuk merogol cucu, ayah merogol serta meliwat anak kandung, anak saudara diratah oleh ayah-ayah saudara sendiri bergilir-gilir begitulah antara yang berlaku di Sarawak sekarang. Dan lebih menyesakkan mangsa-mangsanya adalah kanak-kanak perempuan yang dibawah umur sehingga ada yang baru sahaja berusia tujuh tahun. Dan ada satu kes sumbang mahram baru-baru ini pula melibatkan kejadian berulang yang mana seorang datuk yang sudah dijatuhi hukuman serta disebat melakukan lagi pada seorang cucu yang lain.
Kita marah, kita kecewa atas apa yang berlaku sekarang tetapi sampai bila kita hanya mampu meluahkan sahaja. Sesuatu harus dilakukan dengan segera baik daripada pihak Kerajaan, NGO, pemimpin masyarakat mahupun golongan agamaan serta komuniti itu sendiri. Segala hukuman berat yang bersabit dengan kesalahan ini masih lagi dianggap “ringan” oleh si pembuat onar. Nafsu syaitan lebih mendominasi jiwa dan otak mereka. Ternyata sekali segala program kesedaran yang diimplimentasikan sekarang sudah gagal sama sekali dan satu formula baru harus dirangka bagi menangatanganinya.
Yang pasti kejadian sumbang mahram ini hanya sebahagian dari episod ngeri yang berjaya dibongkar sedangkan kita sendiri begitu pasti bahawa ada banyak lagi yang tidak berani didendangkan. Samada malu atau takut itulah antara penyebabnya sehingga hal yang begitu serius ini dirahsiakan.
Usah berbangga menjadi orang Sarawak yang terkenal dengan toleransi kaum dan agama jika kita masih butakan mata, pekakkan telinga serta bisu berbicara dan hanya menganggap ini kes-kes terpencil sahaja. Kita terlalu sibuk dengan dengan politiking itu ini, kos sarahidup dan pembangunan sebagai sebuah negeri maju sehingga kita lupa nilai jati diri kita sebagai manusia untuk menjaga pewaris masa hadapan negeri Sarawak.
No comments:
Post a Comment