PELARIAN ROHINGYA DI SARAWAK
- Bukan Isu Agama Tetapi Kemanusian
KECOH dunia media sosial apabila ada yang bertikam lidah dengan usaha Kerajaan Malaysia untuk memberikan perlindungan ke atas pelarian Rohingya sekarang. Dan turut dinyatakan bahawa ada sejumlah kecil yang akan ditempatkan di Sarawak bagi memberi ruang perlindungan untuk mereka.
Jika kita menjejaki sejarah lama mengenai pelarian perang yang memohon suaka politik di Sarawak bukanlah perkara baru. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa sekitar tahun 1970an bukan sedikit pelarian dari negara Vietnam yang Sarawak terima untuk berlindung di Sarawak. Kawasan seperti di Muara Tebas mahupun Demak adalah antara kawasan penempatan mereka yang mana mempunyai segala infrastruktur serta dikawalselia oleh anggota keselamatan kita. Cukup masa setelah perang di negara mereka reda akhirnya mereka dihantar pulang atau ke negara dunia ketiga yang menerima mereka.
Dan apakah kita lupa bagaimana kita menerima pelarian Bosnia suatu waktu dahulu. Kesemua orang Sarawak menerima mungkin kerana terpesona dengan kecantikan ala-ala minah salleh sehingga ada yang berkahwin campur dengan mereka. Dan seperti ceritera pelarian Vietnam akhirnya mereka juga turut dihantar pulang ke negara mereka sendiri.
Jadi, sebenarnya apakah isu yang cuba untuk dimainkan di dalam hal ini. Bukannya pelarian Rohingya yang ditempatkan di Sarawak kelak hendak mengislamkan kita semua yang sememangnya terkenal dengan budi pekerti yang tinggi dan bertoleransi kaum dan agama. Sudah hilangkah dasar kemanusiaan kita melihat ada manusia yang lebih-lebih lagi dari negara jiran tetangga yang juga ada di dalam ASEAN itu sedang bergolak sekarang.
Isunya bukan kerana mereka Islam sebaliknya kerana mereka manusia dan orang Sarawak juga manusia.
No comments:
Post a Comment