Ratusan tahun dahulu sejak adanya
kewujudan negeri-negeri di Tanah Melayu mahupun Sabah serta Sarawak, kaum Cina
sudahpun ada sebagai pembentuk masyarakat majmuknya. Pada masa sekarang, kaum Cina mewakili kaum
kedua terbesar di Malaysia dengan jumlah mereka berdasarkan census adalah 6.65
juta orang iaitu hampir 23.4% jumlah populasi Malaysia itu sendiri. Dan kaum Cina Malaysia juga diperkira sebagai
komuniti kedua terbesar kaum Cina seberang laut selepas Negara Thailand.
Mengimbau sejarah penghijrahan Kaum
Cina ke Malaysia sebenarnya agak unik kerana ianya sudah berlaku begitu lama
sekali. Difahamkan terdapat 3 gelombang
penghijrahan Kaum Cina di Malaysia.
Gelombang Penghijrahan Pertama
Menurut tulisan Tun Seri Lanang
didalam bukunya “Sejarah Melayu” ada menyatakan bahawa sekitar tahun 1459
masihi, Puteri Hang Li Po iaitu seorang puteri dari Dinasti Ming telah dihantar
ke Melaka untuk mengahwini Sultan Melaka pada masa itu. Ianya dilakukan bagi mempereratkan hubungan diplomatic
Negara China dengan Melaka kerana Melaka pada masa itu merupakan salah satu
daripada negeri yang utuh di rantau Tanah Melayu.
Gelombang penghijrahan Puteri Hang
Li Po ini telah membawa bersama kira-kira 500 orang rombongannya yang terdiri
daripada pahlawan-pahlawan berbangsa Cina yang gagah perkasa serta beberapa
ratus orang dayang-dayang serta sida-sida untuk keperluan seorang puteri itu di
tanah orang. Kerajaan Melaka bermurah
hati menempatkan mereka di satu kawasan yang dikenali dengan nama Bukit Cina di
Melaka. Apabila rombongan yang ramai
seperti ini sudah tentu ada yang mengahwini masyarakat tempatan dan kerana
itulah lahirnya satu komuniti yang dikenali sebagai Cina Peranakan atau juga
turut terkenal dengan panggilan Baba dan Nyonya di negeri Melaka sekarang.
Namun jauh sebelum itu sebenarnya
telahpun ada saudagar-saudagar dari Tembok Besar Cina yang sudahpun berurusan
perniagaan di Melaka iaitu saudagar-saudagar yang dikatakan dari golongan aristocrat
di Negara China. Dan kedatangan mereka
membawa seribu kekayaan yang akhirnya melalui perkahwinan juga kekayaan ini
telah mencipta kelas-kelas golongan Cina yang kaya raya di negeri-negeri di
Tanah Melayu. Dikatakan kebanyakan
daripada golongan aristocrat ini adalah daripada Zhangzhou dan Quanzhou dari
wilayah Fujians.
Gelombang Penghijrahan Kedua
Untuk gelombang penghijrahan kedua
pula berkisar diketika pemerintahan bangsa Eropah di Malaya mahupun Brooke di
Sarawak dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Sabah suatu waktu dahulu. Dikatakan kebanyakan yang berhijrah pada masa
itu adalah golongan imigran Cina yang ingin mencari penghidupan yang lebih
selesa. Dari gelombang kedua inilah
kebanyakan kaum Cina Malaysia dikenalpasti mempunyai perkaitan yang paling
tuntas.
Di ketika pemerintahan British ini,
beratus-ratus ribu kaum Cina yang berasal dari Fujian dan Guangdong berhijrah
ke Malaya mahupun Sarawak dan North Borneo memandangkan pada ketika itu taraf
kemiskinan di Negara China agak mendesak.
Mereka bersama-sama dengan imigran dari India menjadi sandaran untuk
sebarang kekosongan tenaga buruh seperti di kawasan lombong-lombong bijih timah
dan emas, ladang getah mahupun sebagai buruh di pembinaan keretapi di
Malaya.
Namun oleh kerana kebanyakan daripada
mereka adalah dari golongan rakyat yang miskin, ramai daripada mereka bekerja
keras hanya untuk membayar segala hutang-piutang samada hutang lama di Negara sendiri
ataupun terpaksa membayar hutang bagi kos mereka untuk berhijrah pada masa itu. Dan kerana itulah dikatakan bagi menghilang
stress bekerja keras ada yang membiasakan diri mereka dengan menghisap candu
serta bermain judi yang akhirnya menambahlagi beban penghidupan mereka.
Selain itu bukanlah semua yang
bernasib malang kerana ada diantara mereka mampu menyelamatkan diri dengan
memulakan perniagaan kecil-kecilan dan akhirnya apabila mereka semakin berjaya
turut menjadi antara pemain ekonomi bagi bersama-sama membangunkan tempat
mereka mencari rezeki.
Penghijrahan pada gelombang kedua
ini sebenarnya tidaklah membawa golongan kaum Cina yang bijak pandai serta
berpendidikan dan ianya dapat digambarkan melalui dimana mereka tinggal. Bagi imigran kaum Cina yang berpendidikan
kebanyakan daripada mereka tinggal di ibukota besar manakala yang lain tinggal
di kawasan lombong mahupun ladang.
Kerana kebanjiran imigran ini
menjadikan pentadbiran British turut sama memberi ruang pendidikan kepada
mereka dengan bekerjasama dengan ketua-ketua imigran itu sendiri. Pembinaan sekolah-sekolah beraliran Cina
dengan pendidikan mengikut skala Negara China diwujudkan agar anak-anak imigran
Cina lebih berpendidikan.
Sejajar dengan waktu juga,
sekolah-sekolah mubaligh kristian turut didominasi oleh anak-anak imigran Cina
kerana mereka sendiri mengetahui bahawa kepandaian bahasa Inggeris bagi
anak-anak mereka itu penting untuk survival mereka pada mereka. Disinilah juga melahirkan anak-anak imigran
Cina yang berpendidikan barat yang akhirnya turut mendominasi dunia pekerjaan
di Malaya, Sarawak mahupun North Borneo suatu waktu dahulu.
Gelombang Penghijrahan Ketiga
Untuk gelombang penghijrahan ketiga
berlaku di ketika Gagasan Malaysia sudahpun diwujudkan. Ini dapat dilihat dari segi dahulu jumlah
populasi mereka iaitu yang bersandarkan daripada penghijrahan kedua semakin
bertambah. Pada kali ini kebanyakan yang
berhijrah adalah mereka yang dari golongan kaya raya dan pertengahan kaum Cina. Pada kali ini kebanyakannya berhijrah melalui
perkahwinan iaitu ramai Kaum Cina Malaysia mengahwini gadis-gadis yang berasal
dari Negara China secara langsung.
Dan gelombang ketiga ini juga turut
diwarnai dengan penghijrahan golongan elit Cina yang sengaja memilih Malaysia
sebagai tempat tinggal mereka bagi melarikan diri daripada pencemaran, gaya
hidup serta suasana politik di Negara asal mereka. Golongan inilah yang sebenarnya memilih untuk
menjadi “Malaysia My Second Home” iaitu satu skim yang membenarkan rakyat asing
tinggal di Malaysia lebih lama dengan beberapa syarat yang ketat.
Mungkin ramai yang tidak menyedari
bahawa penghijrahan nenek-moyang Kaum Cina di Malaysia mempunyai banyak
signifikasinya yang tersendiri. Jika
nenek moyang mereka lebih kepada survival penghidupan sehingga sanggup
berhijrah untuk mereka yang sudah digelar sebagai anak Malaysia sekarang
mempunyai halatuju mereka sendiri.
Ada
yang ingin memperkembangkan perniagaan dan menjadi pemain sektor ekonomi dan
tidak kurang juga ramai yang sudah menjadi golongan professional serta tidak
dilupakan ahli politik yang mampu mencorak halatuju sebuah Negara bergelar
Malaysia.