SEKARANG merupakan musimnya mengeluarkan kekabu daripada pohonnya. Sesuatu kejadian yang saban tahun akan menarik minat warga Kuching akan berhimpun di Padang Merdeka, Kuching. Manakan tidak kerana berada di tengah-tengah lokasi itu seolah-olah berada di suasana bersalji walaupun bahangnya panas. Itulah istimewanya satu pohon kekabu yang sudah wujud di Padang Merdeka ratusan tahun lamanya.
Dikala corat-coret dunia netizen di media sosial memuat turun suasana di aktiviti pohon kekabu di Padang Merdeka, mungkin kita semua lupa bahawa pohon kekabu ini juga turut menyimpan seribu satu memori di dalam lipatan sejarah Sarawak dari pemerintahan Brooke sehinggalah Sarawak, Malaysia sekarang. Tanggal 22 Julai 1963, ianya juga menyaksikan geo politik Sarawak bertukar tangan dari pemerintahan Koloni Mahkota Sarawak British kepada pemerintahan anak watan Sarawak melalui kabinet pertama yang dipimpin oleh Tan Sri Datuk Stephen Ningkan serta lima lagi Ahli Supreme Council iaitu Teo Kui Seng, James Wong Kim Min, Dustan Endawie anak Enchana, Awang Hipni bin Pengiran Anu dan Abdul Taib bin Mahmud.
Kemudian pada tanggal 16hb September 1963, di Padang Merdeka inilah juga pengistiharan Negara Malaysia diumumkan oleh Gabenor pertama iaitu Tun Datuk Abang Haji Openg bin Abang Sapiee dan Ketua Menteri Sarawak yang pertama iaitu Tan Sri Datuk Stephen Kalong Ningkan. Pokok kekabu jugalah antara saksi bersama ribuan rakyat Sarawak yang bersama-sama meraikan satu negara baru bergelar Negara Malaysia.
Dari zaman pendudukan Jepun Perang Dunia Kedua serta laungan anti-cession Sarawak kepada koloni British, pohon kekabu di Padang Merdeka tetap ada. Tiada tanda harga yang boleh diletakkan untuk pohon kekabu di Padang Merdeka. Ianya terlalu dekat di hati rakyat Sarawak amnya warga Kuching khususnya. Sebagai saksi bisu sejarah Sarawak selamanya.
Selamat Menyambut Hari Sarawak, 22 Julai 1963
No comments:
Post a Comment