Saturday, 31 December 2016
Tuesday, 27 December 2016
TUN M: BRIM ITU RASUAH!
KENYATAAN yang dikeluarkan oleh mantan PM dan
juga sekarang Pengerusi Parti Pribumi Bersatu iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) itu satu rasuah dan salah disisi undang-undang baru-baru ini telah
mendapat respons pelbagai daripada rakyat.
Namun disebalik kenyataan ini mungkin ramai tidak sedar bahawa ianya
sebenarnya menghina golongan penerima BR1M itu sendiri.
Kita mengetahui bahawa pemberian bantuan ini
hanyalah atas rasa tanggungjawab Kerajaan Malaysia dibawah Barisan Nasional
untuk bersama-sama meringankan beban rakyat.
Dengan kos sarahidup sekarang walaupun ianya Nampak sedikit tetapi
sekurang-kurangnya ia boleh membantu juga.
Dan pemberian bantuan tidak mengira penerimanya menyokong parti politik
mana asalkan memenuhi syarat sudah tentu layak untuk menerimanya.
Jika kita melihat kaedah bantuan kepada rakyat
ini sudah lama diamalkan oleh Negara-negara lain. Di Amerika Syarikat telah
diadakan pemberian kupon makanan kepada rakyat dan tidak terkecuali juga di
United Kingdom terkenal dengan dana sosial.
Dan untuk Negara jiran seperti Thailand juga turut ada iaitu pemberian
wang tunai saban tahun kepada rakyatnya yang berpendapatan rendah agar
sama-sama meransang ekonomi. Jadi
dimanakah silapnya sekiranya Malaysia juga berbuat demikian bagi membantu
rakyat berpendapatan rendah.
Untuk rekod bagi tahun 2016 ini sahaja
terdapat lebih kurang 7,280,349 penerima BR1M yang layak di seluruh Negara. Dan yang paling tinggi penerimanya adalah
negeri Selangor iaitu kira-kira 1,017,403 orang penerima. Jika diskriminasi yang dikaitkan mengapa
rakyat negeri Selangor bebas memilih parti pemerintahnya kerana itu bukan
negeri dibawah pentadbiran Barisan Nasional.
Yang pasti, BR1M itu hak rakyat dan siapa
sahaja layak untuk menerimanya jika memenuhi syarat. Umpama kata bidalan lama, orang memberi kita
merasa. Mengundi siapa itu hak setiap rakyatnya.
PROGRAM BACK TO SCHOOL BINTULU 2017
2016 akan melabuhkan tirainya dalam beberapa
hari lagi. Maka menjelmalah tahun 2017 yang sudah tentu menandakan bahawa
inilah tahun baru persekolahan bagi anak-anak kita. Sekarang ramai ibubapa sudah membuat persediaan
yang perlu bagi anak-anak mereka menyambung persekolahan. Tetapi bukan semua
yang bernasib baik kerana janganlah kita melupakan keluarga yang kurang
berkemampuan.
Untuk ke sekian kalinya Program Back To School
Bintulu 2017 diadakan lagi iaitu hasil daripada inisiatif MyCare dengan
kerjasama daripada i-Bantu dan IKRAM wilayah Bintulu. Untuk kali ini seramai 42 orang pelajar
terpilih untuk menerima peralatan persekolahan baru. 42 pelajar ini adalah anak-anak penduduk di
Kampung Baru Laut, Kampung Jepak dan Kampung Kemunting, Kuala Tatau.
Badan-badan NGO ini bersatu hati untuk
melestarikannya dengan membuat pembelian sendiri ke gedung-gedung yang
menawarkan harga yang berpatutan. Dan sekali lagi kerana niat yang baik sudah
tentu ada yang turut menyokong iaitu untuk pembelian persekolahan kali ini
mendapat “diskaun istimewa” dari pihak Sing Kwong Supermarket, Bintulu.
Melihat anak-anak ini menerima bantuan
persekolah sudah tentu tersentuh hati kita.
Semoga usaha murni ini akan diteruskan untuk tahun-tahun
berikutnya. Semoga anak-anak pewaris
pemimpin Negara ini mendapat motivasi untuk terus menimba ilmu sebalik
mungkin.
Monday, 26 December 2016
MUSIM DABEI DI SARAWAK
BUAH Dabei atau dabai di dalam
bahasa Malaysia standard bukanlah asing bagi masyarakat di Sarawak. Dan sekarang merupakan musim buah dabei
kerana buah ini bukanlah ada di sepanjang tahun sebaliknya musimnya jatuh pada
setiap November hingga Januari saban tahun.
Di dalam bahasa saintifik, Buah Dabei dipanggil dengan nama
Canarium Odontophyllum dan merupakan salah satu daripada buah nadir tempatan di
dalam keluarga Burseraceae. Di dalam keluarga Burseraceae ini pula terdapat 75
spesis dan buah dabei pula adalah salah satu daripada yang satu-satunya boleh
tumbuh di Sarawak, Malaysia. Dan setakat ini tiada lagi kenyataan yang
membenarkan bahawa pokok dabei boleh tumbuh di mana-mana negeri di dalam
Gagasan Malaysia selain daripada di Sarawak. Itulah keunikan buah dabei yang
ramai tidak mengetahuinya.
Perlulah
diingatkan bahawa buah dabei bukannya boleh dimakan mentah kerana ianya keras
sewaktu mentahnya. Buah dabei yang sudah ranum masak harus direbus dahulu bagi
melembutkan isinya dan dengan hanya meletakkan sedikit garam sewaktu ianya
direbus, keenakannya tekstur isinya akan dapat dinikmati. Inilah salah satu
cara yang paling senang untuk menikmati kelazatan buah dabei Sarawak.
Namun
begitu sejajar dengan waktu, buah dabei juga sekarang menjadi salah satu ramuan
di dalam menu masakan masyarakat Sarawak dan yang paling popular adalah menu
masakan “Nasi Aruk Dabei”. Selain itu
dabei juga sudah dikomersialkan seperti jus dabei serta banyak lagi bagi
memenuhi permintaannya di pasaran.
Sekarang lambakan buah dabei
banyak di pasaran tempatan dan sudah tentu masyarakat Sarawak yang berbilang
bangsa sedang “berpesta” buah dabei. Dan
sesuai dengan kedatangan musimnya juga maka ianya memberi seribu rahmat kepada
penjaja-penjaja kecil-kecilan kerana dapat mencari rezeki lebih pada ketika
ini.
Sunday, 25 December 2016
PEMBINAAN DEWAN SERBAGUNA KAMPUNG TERBESAR DI MIRI
DEWAN serba
guna sememangnya antara kemudahan komuniti yang sering menjadi tumpuan
masyarakat setempat untuk melakukan aktiviti samada bersukan mahupun untuk
mengadakan majlis kenduri kendara. Ini
memandangkan kemudahan parkir serta banyak lagi sudah tentu amat
menyelesakan.
Yang biasa
kita lihat mungkin dewan serbaguna bersaiz kecil sahaja tetapi tidak bagi
projek pembinaan dewan serbaguna Kampung Pujut Tanjung Batu di Miri. Dengan kos pembinaan sebanyak hampir setengah
juta iaitu RM550,000 menyaksikan dewan serbaguna kampung ini akan mencatat
sejarahnya tersendiri kerana ianya adalah dewan serbaguna kampung terbesar
pernah dibina di Miri, Sarawak.
Dengan
saiznya 100 kaki panjang dan 40 kaki lebar sudah tentu akan memberikan impak
kepada aktiviti rakyat setempat.
Ditambahlagi banyak kemudahan sukan boleh disediakan dengan ditambah
pembinaan parkir atau kawasan letak kereta yang besar buat kemudahan
semua. Dan diceritakan bahawa projek ini
dijadualkan siap sepenuhnya pada pertengahan April 2017 ini.
Inilah antara
permintaan yang sering diimpikan oleh rakyat dan kerajaan harus mendengar apa
yang mereka mahukan. Mereka tidak
meminta bangunan pencakar langit untuk dibina sebaliknya apa yang baik dan
selesa bagi mereka melakukan sebarang aktiviti sukan dan kemasyarakatan.
Wednesday, 21 December 2016
MERRY CHRISTMAS 2016
MAY the spirit of christmas bring you and your family hope,
happiness and love.
Merry Christmas And Happy New Year!
TAMAN NEGARA BAKO, KUCHING, SARAWAK
JIKA
melihat kepada teaser artikel ini janganlah pula terkeliru bahawa pemandangan
yang indah ini merujuk kepada Pulau Phuket di Thailand. Sebaliknya inilah
antara panorama indah ciptaan Ilahi apabila kita berbicara mengenai satu taman Negara
yang lokasinya kira-kira 37 km ke utara ibukota Kuching, Sarawak.
Dibuka
pada tahun 1957 menjadikan ianya satu taman Negara yang unik kerana ianya
adalah antara legasi taman Negara sejak Sarawak masih lagi menjadi tanah
jajahan Koloni British Borneo Sarawak.
Kerana keindahan dan juga kepentingannya di dalam memulihara sumber alam
semulajadi walaupun Sarawak membentuk Malaysia pada tahun 1963, ianya tetap
dikekalkan menjadi salah satu tarikan pelancongan di Sarawak sehingga
sekarang.
Untuk
ke taman Negara ini masih tiada lagi perhubungan darat namun begitu sejak ianya
dibuka lagi masih mengekalkan pengangkutan yang sama iaitu perkhidmatan bot
yang boleh didapati di Kampung Bako, salah satu perkampungan nelayan yang ada
di Sarawak. Dengan mengambil masa
kira-kira 45 minit, maka tibalah ke destinasi iaitu di Telok Assam, Bako.
Keindahan
taman Negara tertua ini bukan hanya terletak kepada panorama alamnya malahan
juga keindahan dan kekayaannya terletak pada penghidupan liar yang mempunyai
pelbagai spesis seperti kera belanda, burung-burung serta banyak lagi. Biarpun ianya adalah taman Negara yang kecil
namun disini sahaja mempunyai pelbagai aktiviti boleh dilakukan.
Bagi
yang suka pada sukan lasak maka bolehlah memulakan perjalanan “hiking” membuat
eksplorasi dari satu pantai ke pantai mengelilingi taman Negara Bako. Ianya juga sebenarnya memerlukan “endurance”
yang tinggi kerana perjalanannya agak panjang jika berjalan kaki. Selain itu apabila lelah dan ingin mandi
manda mungkin boleh menyejukkan badan di air terjun di dalam kawasan hutan
taman Negara yang mana airnya begitu jernih dan menyejukkan.
Sememangnya
banyak tarikan di taman Negara sehingga ianya boleh bertahan sehingga
sekarang. Taman Negara Bako juga
merupakan salah satu daripada pusat kajian bagi mereka yang mengkaji mengenai
penghidupan paya bakau yang menjadikannya antara taman Negara yang gah namanya
di dunia.
ANAK SARAWAK, PANGLIMA TUDM KE-18 YANG BAHARU
SATU
lagi sejarah terukir semalam apabila seorang anak Sarawak terpilih untuk
menjadi Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia yang ke-18 bagi menggantikan
Jeneral Tan Sri Roslan bin Saad yang bersara wajib baru-baru ini. Anak Sarawak yang menjadi kebanggaan kita ini
adalah Jeneral Datuk Seri Affendi bin Buang.
Perlantikan ini juga mencatatkan sejarahnya tersendiri kerana inilah
kali pertama seorang anak Sarawak yang pernah dilantik untuk memegang jawatan
No.1 di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia.
Dilahirkan
pada tahun 1962 di Kampung Lintang, Petrajaya, Kuching Sarawak, kerjayanya
bermula sebagai anggota tentera apabila memasuki perkhidmatan pegawai kadet
TUDM dan ditauliah di
dalam Tentera Udara Diraja Malaysia pada tahun 1981. Setelah tamat latihan
penerbangan sekitar tahun 1983, beliau telah menceburi banyak tugasan
juruterbang jet pejuang seperti seperti MB 339A , A4PTM, Skyhawk dan MIG29N
Fulcrum.
Sebelum memegang jawatan no.1 TUDM
ini, beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan penting seperti Jurulatih
Penerbangan dan Komander Pangkalan Butterworth, Pengarah Perancangan dan
Kontingensi di Markas Angkatan Bersama Malaysia, Ketua Pengarah Operasi dan
Latihan dalam Markas Operasi Udara, Panglima Angkatan Bersama dan Panglima
Operasi Udara. Dan jawatan terakhirnya adalah sebagai Timbalan Panglima Tentera
Udara.
Bertemu jodohnya dengan YAB Tengku
Puteri Seri Teja Pahang iaitu Tengku Muhaini Ibnu Sultan Haji Ahmad Shah telah
dikurniakan dengan 4 putera dan 3 puteri.
Salam tahniah dan semoga terus
berkhidmat untuk Negara dengan sebaik-baiknya.
Tuesday, 20 December 2016
SUMBANGAN KRISMAS DARI KM SARAWAK DAN ISTERI
BILA tiba musim perayaan seperti hari Krismas serta sambutan yang lain,
kita jangan sesekali melupakan mereka yang tidak bernasib baik. Banyak cara untuk kita memberikan hadiah
walaupun tidak seberapa namun ianya besar ertinya bagi mereka.
Semalam menyaksikan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan dan
isterinya memberikan sejumlah sumbangan hasil daripada bakat kedua-duanya iaitu
bernyanyi di dalam banyak majlis-majlis rasmi yang dianjurkan kerajaan dan
swasta di Sarawak. Setakat ini dikatakan
bahawa hasil sumbangan lagu-lagu mereka telah berjaya mengumpul hampir RM6 juta
semuanya.
Untuk perayaan krismas kali ini, Datuk Adenan dan isterinya telah
memberikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada 10 rumah kebajikan dan badan
amal menerusi Yayasan Sarawak. Antara
yang menerima adalah Pibakat, Pusat Aktiviti Warga Emas Kuching dan Kota
Samarahan, Sarawak Heart Foundation, Kidney Association of Sarawak, Sarawak
Society for the Blind, Sarawak Children’s Cancer Society, Persatuan Kebajikan
Harapan Malaysia, Malaysian AIDS Foundation, Sabati, The Carnation Club dan 52
orang kanak-kanak dari Salvation Army.
Sunday, 18 December 2016
JAMBATAN BATANG SADONG BUKTI KOMITMEN KERAJAAN
Dengan kos sebanyak RM231 juta, jambatan
Batang Sadong juga menempa sejarahnya tersendiri kerana dibina kurang daripada
kos yang diperuntukkan iaitu RM243 juta iaitu kurang RM12 juta. Jambatan yang merentangi Batang Sadong ini
dianggarkan panjangnya sahaja adalah 1.48 km.
Dan ianya adalah jambatan yang terpanjang di Sarawak buat masa
sekarang.
Selain daripada itu berita gembira turut
diraikan oleh rakyat Sarawak apabila di ketika perasmian, PM Malaysia turut
mengumumkan bahawa menjelang tahun 2018 satu lagi projek mega akan dilaksanakan
di Sarawak apabila perancangan pembinaan jambatan Batang Lupar pula akan
menyusul selepas ini. Dijangkakan kos
untuk pembinaan jambatan ini sahaja boleh mencecah sebanyak RM1 bilion.
Dan seperti yang kita maklum bagi memenuhi
tuntutan jajaran Lebuhraya Pan Borneo juga, beberapa jambatan sedang dibina
sekarang seperti jambatan Batang Samarahan yang juga dijangka siap pada tahun
2018. Manakala jambatan Batang Igan yang
bernilai RM300 juta dan jambatan Batang Rambungan (RM130 juta) pula di dalam
peringkat akhir perancangan.
Foto kredit: BERNAMA
Saturday, 17 December 2016
TAMAN NEGARA KUBAH DAN GUNUNG GADING DICEROBOH
SARAWAK cukup
kaya dengan hutan tropikanya yang mana ada sesetengah kawasan hutan dijadikan
taman Negara bagi memulihara sumbernya.
Malah jika dilihat kepada pencapaian misi dan visi Kerajaan Negeri
Sarawak cukup membanggakan. Segalanya
dikekalkan agar ianya boleh dijadikan warisan untuk anak cucu kita pada masa
hadapan.
Namun di
sebalik cerita keindahan dan keunikan taman Negara Sarawak yang kaya dengan
biodiversitinya ini terselit satu cerita kurang enak. Melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh
Jabatan Perhutanan Sarawak pada sabtu lepas menyaksikan ada cubaan untuk
menceroboh Taman Negara Kubah dan Gunung Gading. Kedua-dua taman Negara ini
terletak di sempadan antara Sarawak dan Kalimantan/Indonesia.
Berdasarkan
kepada denai-denai yang ditemui oleh penguatkuasa perhutanan meyakinkan bahawa
pencerobohan ini dilakukan untuk mencuri kayu gaharu. Kayu gaharu yang menjadi sebahagian daripada
jenis pokok yang dipulihara di taman Negara ini cukup tinggi nilainya di
pasaran dunia. Apa yang lebih
memeranjatkan lagi pencerobohan ini dipercayai dilakukan oleh rakyat di Negara jiran.
Bukan untuk
menuding jari pada sesiapa namun sebenarnya penglibatan semua dituntut untuk memastikan
bahawa taman Negara kita tidak diceroboh sewenang-wenangnya. Jika ada penduduk-penduduk tempatan yang
tinggal di kawasan taman Negara ini mendapati ada kelibat aktiviti yang
mencurigakan, diharap akan terus melaporkan kepada pihak yang berwajib agar
pembasmian awal boleh dilakukan segera.
Thursday, 15 December 2016
PERKHIDMATAN “DOKTOR TERBANG”DI SARAWAK
KEDATANGAN mereka ke kawasan
pedalaman Sarawak sering ditunggu-tunggu malah ada sesetengah pesakit yang berkehendakkan
rawatan akan terpaksa meredah perjalanan darat mahupun sungai yang jauh untuk
sampai ke “checkpoint” menanti. Kekerapan
ianya datang pula bukanlah secara harian sebaliknya ada yang sebulan mahupun
dua bulan sekali barulah ada kelibatnya.
Mengimbau sejarahnya
perkhidmatan “Doktor Terbang” ini bermula pada tahun 1973 di Sarawak dan tujuannya
untuk memberikan perkhidmatan kesihatan asas kepada penduduk di pedalaman
Sarawak. Dan perkhidmatan helicopter sewaan
khas ini diterbangkan dari 3 wilayahnya iaitu Kuching, Sibu dan Miri. Dan kebiasaannya pasukan “doktor terbang”
akan dianggotai oleh seorang pegawai kesihatan, penolong pegawai kesihatan dan
2 jururawat pada setiap kali penerbangan. Mereka inilah yang dinanti-nantikan oleh
rakyat di pedalaman untuk merujuk tentang kesihatan mereka.
Bumi Sarawak ini cukup luas dan
belum lagi ditambah dengan faktor mukabuminya maka selagi infrastruktur seperti
kemudahan jalanraya masih tidak mencakupi semua tempat maka selagi itulah ianya
akan dituntut. Jika Sabah sudah
menghentikan perkhidmatan ini bermula Oktober 2016 yang lepas atas kekangan
kewangan tetapi tidak bagi Sarawak kerana walau apapun juga alasan, rakyat
Sarawak tidak kira di Bandar, luar Bandar mahupun pedalaman sentiasa
didahulukan.
Inilah antara denyut nadi
penduduk di pedalaman Sarawak kerana perkhidmatan “Doktor Terbang” itu sangat
penting disamping klinik-klinik kesihatan yang ada. Satu perkhidmatan kesihatan
yang ramai tidak mengetahuinya sebaliknya begitu sinonim dengan penduduk di
pedalaman Sarawak. Sudah 43 tahun
perkhidmatan “doktor terbang” ini menabur bakti mereka dan ianya akan
diteruskan selagi diperlukan di Sarawak.
Wednesday, 14 December 2016
ZON BEBAS ASAP ROKOK MULAI 1 JANUARI 2017
BERKUATKUASA 1 Januari 2017, semua restoran, tandas awam dan tempat terbuka
dibawah seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menjadi kawasan Zon
Bebas Asap Rokok. Ini merupakan salah satu usaha daripada majlis berkuasa
tempatan di dalam mencapai misi untuk menjadi sebuah bandaraya yang bersih,
cantik dan selamat kepada masyarakat.
Kejayaan program ini di Negara-negara Eropah sememangnya cukup memberangsangkan malah banyak negeri di Malaysia contohnya Melaka sudah lama melaksanakan. Diharap majlis kerajaan tempatan yang lain di Sarawak turut sama melaksanakan dan bukan sahaja untuk di Kuching Utara sahaja.
Jadi pada mereka yang berada di kawasan yang dinyatakan sentiasalah peka pada persekitaran anda dan hormatilah setiap apa yang dianjurkan oleh Kerajaan. Sesungguhnya apa yang disarankan adalah demi kebaikan semua pihak.
SIA-SIALAH PENGORBANAN BILL KAYONG BILA...?
TRAGEDI yang menimpa Allahyarham Bill Kayong sememang
sesuatu yang menyedihkan bagi setiap rakyat Sarawak tanpa mengira batas politik
mahupun agama. Namun sebalik bagi Vernon Aji Kerdit yang juga antara pemimpin
PKR Sarawak. Apa yang dimuatnaik beliau di dalam status fbnya
seolah-olah menidakkan usaha untuk menegakkan keadilan buat Allahyarham Bill.
Menuduh dan memfitnah membabi buta umpama berpisah tiada dengan pemimpin PKR
ini.
Tertangkapnya
Dato' Stephen Lee adalah subjek utama di dalam merungkai kes pembunuhan ini.
Tindakan VAK langsung tidak menghormati segala perjuangan BK selama ini.
Tuesday, 13 December 2016
SUSPEK UTAMA PEMBUNUHAN BILL KAYONG DITANGKAP
PADA
21 Jun yang lalu, kita dikejutkan dengan pembunuhan ke atas Allahyarham Bill
Kayong yang juga seorang aktivis serta ahli politik PKR Sarawak di Kuala Baram,
Miri, Sarawak. Dan kita juga menyaksikan
beberapa individu telah didakwa di mahkamah.
Sebaliknya dikatakan suspek utama yang juga perancang kepada tragedi
pembunuhan ini iaitu Dato’ Stephen Lee Chee Kiang berjaya meloloskan diri dan
dikatakan bersembunyi di Melbourne, Australia.
Umpama
kata bidalan, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua maka
begitulah juga episod pelarian Dato’ Stephen Lee telah berakhir semalam apabila
beliau telah ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut sumber daripada PDRM menyatakan bahawa Dato’ Lee sebenarnya telah
ditangkap oleh Ministry of Public Security China di Putian, Fujian Province
pada 12hb Disember 2016 sebelum diusir keluar melalui Xiamen ke Malaysia.
Usahasama
PDRM dan Interpol memungkinkan hal ini berlaku malah suspek utama ini turut
diiringi pulang ke Malaysia oleh satu pasukan khas yang diketuai oleh Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak sendiri iaitu SAC Dato’Dev Kumar. Suspek utama pembunuhan ini dikhabarkan akan
dibawa pulang ke Sarawak pada hari ini 14 Disember 2016 dan sudah tentu proses
pendakwaannya akan dijalankan dengan segera.
Tahniah
PDRM atas tindakan yang cepat ini. Tiada
kompromi bagi mereka yang merasakan mereka adalah “raja” mengatasi
undang-undang Negara kita. Keadilan
untuk Bill Kayong harus ditegakkan.
Monday, 12 December 2016
SULUK KEMBALI KE MIRI LAGI?
TAHUN
lepas menyaksikan Kerajaan Negeri Sarawak dibawah agensinya telah melakukan
operasi ke atas penempatan orang-orang Suluk yang dikatakan memasuki Sarawak
secara haram di Miri. Ramai antara
mereka ditangkap dan dihantar pulang ke Negara asalnya. Dan tindakan itu dapat
meredakan sedikit kebimbangan masyarakat tempatan lebih-lebih lagi warga
nelayan yang mana dikatakan orang-orang Suluk ini turut melakukan aktiviti
menangkap ikan di kawasan perairan Sarawak.
Namun
berdasarkan kepada laporan ekslusif yang dikeluarkan oleh Borneo Post bertarikh
12 Disember 2016 menyatakan seolah-olah orang-orang Suluk ini kembali lagi ke
Miri. Dan pihak nelayan tempatan di Miri
menjadi saksi bahawa orang-orang Suluk ini melakukan aktiviti mereka seperti
tiada yang perlu ditakuti. .
Bertindak
daripada pembongkaran itu juga menyebabkan pihak berkuasa Sarawak dikatakan
akan bermesyuarat pada hari Khamis ini bagi memperdalamkan serta meneliti
segala bukti yang ada. Hal ini harus dilihat secara lebih serius kerana ianya
sebenarnya mengganggugugat isu-isu keselamatan dan juga betapa penguatkuasaan maritime
mahupun sempadan Sarawak seperti mudah untuk dibolosi.
Sekiranya
benar, tindakan segera harus diambil kerana kita tidak mahu Sarawak menghadapi
masalah yang sama seperti apa yang dilalui oleh jiran seBorneo kita iaitu
Sabah.
Sunday, 11 December 2016
MAULIDUR RASUL 2016
SELAWAT dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad
S.A.W. Baginda Rasul adalah pemimpin umat Islam yang tiada tolok tandingnya.
Bersama-samalah kita berpegang kepada Sunnah dan Ajarannya.
12 Disember 2016 / 1438H
Thursday, 8 December 2016
AMARAN UNTUK PENJAWAT AWAM YANG MENYALAHGUNA KUASA
TIADA
kompromi dan mana-mana penjawat awam Negeri Sarawak yang menyalahguna kuasa
untuk kepentingan diri maka mereka akan dibawa ke Suruhanjaya Pencegah Rasuah
walau siapa pun mereka. Itulah antara
amaran awal kepada penjawat awam Sarawak daripada Pengerusi PAC Sarawak
(Sarawak Public Accounts Committee) yang baru sahaja dilantik iaitu ADUN Sadong
Jaya, YB Ir. Aidel Lariwoo.
Dengan
banyaknya kes-kes penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh penjawat awam
lebih-lebih di kalangan jawatan ekskutif di seluruh Negara sekarang menjadikan
peringatan keras ini amat perlu bagi mereka yang telah diberikan tanggungjawab
daripada kerajaan bagi berkhidmat untuk rakyat dengan penuh telus dan
berintegriti tinggi. Dan PAC sebagai mata dan telinga kerajaan
harus lebih keras di dalam tindakannya lebih-lebih lagi menguruskan Sarawak
yang besar ini sudah tentu mempunyai “loop-hole” yang boleh saja
diambil kesempatan oleh mereka yang tidak lurus hatinya.
Barisan
PAC Sarawak yang baru dilantik ini dianggotai oleh ADUN-ADUN dari pelbagai
parti di Sarawak tanpa mengira mereka mewakili parti Barisan Nasional mahupun
pembangkang. Dengan diketuai oleh YB
Aidel Lariwoo(BN-Sadong Jaya), pasukannya turut menampilkan muka-muka baru
iaitu YB Lo Khere Chiang (BN-Batu Kitang), YB Dato Ranun Mina (BN-Opar), YB Chiew Chiu
Sing (DAP-Tanjung Batu), YB Alexander Vincent (BN-Ngemah), YB Yussibnosh Balo
(BN-Telian) dan YB See Chee How (PKR-Batu Lintang).
Ketelusan
daripada PAC Sarawak ini amat dituntut oleh rakyat Sarawak kerana jika amalan
penyalahgunaan kuasa dan rasuah terus bermaharajalela di kalangan penjawat awam
maka pada siapalah lagi rakyat untuk bergantung harap.
Rasuah
Itu Musuh Negara.
Tuesday, 6 December 2016
TINDAKAN PANTAS BERJAYA SELAMATKAN 2 NYAWA
2 remaja yang berjaya diselamatkan dari dibawa arus deras di Pantai Tanjung Batu, Bintulu
Aksi menyelamat dengan menggunakan kayak.
Julian Uloi, antara orang awam yang tampil menyelamatkan 2 remaja dari dihanyutkan.
MUSIM
cuti sekolah sememangnya sesuatu yang ditunggu oleh para ibubapa dan
kanak-kanak. Kerana pada musim cuti
inilah ramai yang mempunyai masa bersantai-santai bersama keluarga ke tempat
peranginan dan sebagainya.
Hasrat
2 remaja untuk bermandi manda di pantai Tanjung Batu, Bintulu 2 hari lepas
bertukar menjadi tragedi hitam kerana mereka dihanyutkan oleh ombak yang deras. Tidak mampu melawan tolakan arus itu
menyebabkan kedua-duanya terkapai-kapai di lautan. Kejadian tersebut disedari orangramai dan
ramai yang tampil untuk membantu tetapi kerana kurang kelengkapan mereka hanya
mampu melihat dari jauh.
Muncullah
beberapa orang awam yang berada di situ termasuklah Julian Uloi, seorang pemuda
yang dengan beraninya membelah lautan dengan berkayak. Dengan adanya pelampung keselamatan beliau
akhirnya berjaya menyelamat kedua-dua remaja tersebut ke pantai Tanjung Batu. Kerana tindakan orang awam termasuklah Julian
Uloi, nyawa kedua-dua remaja itu berjaya diselamatkan dan jika tidak mungkin
kita akan mendengar satu lagi berita sedih setiapkali cuti sekolah akhir tahun
bermula.
Untuk
rekod, Julian Uloi sebenarnya terlatih di dalam Safe & Rescue di dalam air
kerana beliau juga merupakan seorang atlit.
Terima kasih kepada orang awam di Tanjung Batu, Bintulu termasuklah
Julian Uloi kerana membantu mereka yang di dalam kesusahan.
Bagi para ibubapa dan orang awam perlulah
sentiasa waspada dan beringat kerana malang itu tidak berbau.
Sunday, 4 December 2016
ISU ROHINGYA ISU KEMANUSIAAN
INI
bukan isu agama kerana hakikatnya penganut agama Islam di Bandar-bandar besar
seperti Rangoon bebas untuk mengerjakan ibadah mereka. Namun isu penghapusan
etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar adalah satu isu kemanusiaan. Dalam pada itu dunia seperti diam seribu
bahasa seolah-olah membutakan mata serta memekakkan telinga atas penderitaan
mereka.
Natijah
ramai pelarian Rohingya dari Rakhine menyelamatkan diri sehingga ada yang
sanggup menaiki kapal bersesak-sesak untuk ke Negara jiran contohnya
Malaysia. Belum lagi yang menjadi mangsa
petualang pemerdagangan orang sehingga mereka terkorban di hutan belantara di
sempadan Malaysia. Walaupun hakikatnya
Malaysia tidak pernah menandatangani perjanjian untuk menerima pelarian
Rohingya namun atas nama kemanusiaan mereka diterima atas tiket UNHCR.
Oleh
itu jika dibiarkan sahaja Rohingya di Rakhine nescaya Malaysia akan terus
dihambat kebanjiran mereka. Setakat ini
dikatakan ada lebih kurang 10 ribu orang Rohingya Muslim dari Rakhine yang ada
di merata Malaysia dan ini tidak termasuk etnik-etnik Myanmar yang lain. Ini sudah tentu amat menyulitkan Malaysia terutama
sekali masalah sosial yang membebankan Malaysia.
Untuk
itu jika sekiranya Kerajaan Malaysia membuat bantahan keras dan meminta pihak
junta Myanmar menghentikannya bukannya bermakna Malaysia mencampuri urusan
dalaman Myanmmar. Sebaliknya, Malaysia
bertindak untuk kepentingan rakyat Malaysia sendiri yang terpaksa berhadapan
dengan segalanya mengenai kebanjiran pelarian Rohingya ini kelak.
Isu
Rohingya BUKAN isu agama TETAPI ianya isu kemanusiaan kerana sebenarnya ada pihak
yang tidak faham hak asasi seorang manusia untuk hidup di dunia ini dengan
aman.
#SolidaritiUmmahUntukRohingya
PEMBANGUNAN SEMULA TAPAK WARISAN SEJARAH SARAWAK
OLEH kerana
berdirinya Sarawak mempunyai beberapa era maka keunikan tapak warisan
sejarahnya seperti kubu-kubu lama dan juga bangunan-bangunan mempunyai keunikan
yang tersendiri. Namun ditengah-tengah
kekayaan sejarah ini ada sesetengah kubu-kubu lama mahupun bangunan-bangunan
lama banyak yang tidak terjaga.
Sesuai dengan
misi dan visi Sarawak untuk menaiktaraf sektor pelancongannya agar lebih
berdaya saing maka baru-baru ini Menteri Pelancongan Sarawak yang juga Timbalan
Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Abang Johari bin Tun Abang Openg mengwar-warkan
Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Datuk Adenan telah memperuntukkan RM15 juta yang
dikhaskan untuk pembangunan semula tapak warisan sejarah Sarawak.
Walaupun
hakikatnya jumlah itu sebenarnya agak kecil kerana untuk memulihara kota lama
dan juga bangunan bersejarah memerlukan kos yang tinggi. Untuk itu adalah diharapkan agar pihak sektor
swasta juga turut serta untuk bersama-sama bergandingbahu atas kerja-kerja
pemuliharaan ini.
Kejayaan Kubu
Alice di Sri Aman misalnya menjadi saksi penglibatan sektor swasta memungkinkan
kubu lama itu sekarang menjadi antara tarikan pelancongan semula di Sri Aman
setelah bertahun-tahun terbiar dan hampir menyembah bumi.
PEMBINAAN SMK BALINGIAN MAC 2017
LAMA
sudah menanti malah ianya telah dijanjikan sewaktu PRK Balingian 2014 lagi
namun masih tidak kunjung tiba pembinaannya.
Dan sekali lagi pada PRN ke-11 Mei 2016 ianya juga turut menghiasi janji
pilihanraya pada waktu itu.
Penantian
rakyat di Balingian mungkin berakhir pada tahun hadapan apabila dikatakan
bahawa kerja-kerja pembinaan sebuah sekolah yang mana kosnya menelan belanja
sebanyak RM60 juta akan bermula pada Mac 2017.
Itulah yang diwar-warkan oleh ADUN Balingian iaitu YB Abdul Yakub bin
Haji Arbi baru-baru ini.
SMK
Balingian adalah satu projek sekolah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Balingian
memandang buat masa sekarang kemudahan persekolahan penduduk Balingian terlalu
jauh daripada kawasan tempat tinggal mereka.
Kadang kala kerana kesukaran itu telah membuat ramai yang beralah dan
tidak menyambung persekolahan mereka.
Semoga
janji ini akan ditepati sepenuhnya atau ianya akan terus menjadi “duri dalam
daging” pada setiapkali pilihanraya diadakan.
Thursday, 1 December 2016
MESYUARAT JAWATANKUASA TEKNIKAL SARAWAK MASUK FASA KE-2
BILAMANA Ketua Menteri Sarawak menarikbalik keputusan untuk membuat
resolusi Perjanjian Malaysia di sidang DUN Sarawak yang baru sahaja melabuhkan
tirainya pada 30 November 2016, ramai rakyat Sarawak memberi respons yang
pelbagai baik di media sosial dan sebagainya.
Hakikatnya apa yang diusahakan oleh Datuk Adenan sebenarnya TIDAK PERNAH
TERHENTI walaupun mengambil jalan “tidak popular” kerana percaya diplomasi itu
lebih baik daripada konfrantasi.
Pada 1 Disember 2016 seperti yang diwar-warkan oleh Datuk Adenan ketika
ucapan beliau di DUN Sarawak menyatakan bahawa mesyuarat mengenai perihal
penurusan kuasa dari Persekutuan kepada Sarawak yang memasuki fasa ke-2
berlangsung. Isu-isu yang berkaitan
dengan kewangan, penerokaan dan perlombongan minyak dan gas juga perolehan dari
tanah menjadi antara agenda yang dibincangkan antara Jawatankuasa Teknikal
Sarawak dan juga pihak Persekutuan yang terlibat.
Untuk memperkasakan segala yang diusahakan ini bukanlah satu hal yang
mudah sebaliknya akan mengambil masa jadi adalah perlu untuk rakyat Sarawak terus
bersatu di bawah Kerajaan Negeri Sarawak bagi menjadikan ianya berjaya
direalisasikan. Jadi, sama-samalah kita
tunggu keputusan akhir perbincangan tersebut kelak.
Subscribe to:
Posts (Atom)