SUDAH terjawab
semuanya apabila pada Sabtu lepas sahih menyaksikan pertembungan 3 penjuru akan
berlaku pada PRK N03 Tanjung Datu.
Seawal hari penamaan calon sebenarnya menyaksikan 4 individu yang
membuat pencalonan namun hanya 3 yang melepasi saringan apabila calon bebas
iaitu Encik Asbor Abdullah seorang bekas tentera yang dahulunya bergiat aktif
di dalam DAP dibatalkan pencalonannya kerana masalah bankrupsi.
Dengan SPR
sudah menetapkan tarikh pengundian awal adalah pada 12 Februari manakala hari
pengundian sebenar pada tanggal 18 Februari 2017 ini bermakna setiap calon
mempunyai masa 14 hari untuk berkempen.
DUN Tanjung Datu mempunyai daftar pemilih yang mengandungi 9,959
pengundi berdaftar dengan pemilih biasanya adalah seramai 9,771 orang manakala
188 pengundi di kategorikan sebagai pengundi awal. Dan N03 Tanjung Datu seperti yang dimaklumi
adalah kubu kuat BN/PBB dan sejak di PRN 2006 lagi, Allahyarham Tok Nan
mengungguli rekod sebagai pemimpin Tanjung Datu yang cukup lama tanpa kalah
dalam setiap musim pilihanraya.
Dan seperti
yang sedia maklum, pertembungan 3 penjuru di PRK N03 Tanjung Datu ini
melibatkan 3 parti politik dengan calon-calonnya pula adalah Datin Patinggi
Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu (PBB/BN), Johnny Bob ak Aput (STAR)
dan Rapelson Richard Hamit (PBDS Baru).
Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti
Haji Anu (PBB/BN)
Barisan
Nasional Sarawak menampilkan seorang calon yang cukup tidak asing lagi di dunia
Tanjung Datu kerana beliaulah balu kepada penyandang sebelumnya iaitu
Allahyarham Tok Nan yang dicintai oleh rakyat Sarawak. Berusia 62 tahun dan lahir pada 14 Ogos 1955
di Kampung Buso, Bau, Sarawak. Ibu
kepada 2 anak ini merupakan tiang sandaran Tok Nan sepanjang Allahyarham
mengemudi kepimpinan Sarawak dan Tanjung Datu selama ini.
Lulusan
Diploma Sains Kesetiausahaan dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah ini
begitu terkenal dengan sifatnya yang dermawan.
Beliau unggul menerajui beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Sarawak
seperti Yayasan Jaznan (Milik keluarganya), Matron untuk PPIM, PERKATA,
Persatuan Pengasuh & Pendidikan Awal Kanak-kanak, Lembaga Pemegang Amanah
Yayasan Sarawak serta Pengerusi SABATI.
Boleh
dikatakan pemilihan DPDA Hajjah Jamilah sebenarnya adalah bertepatan memandangkan
beliau sudah sebati dengan Tanjung Datu dan dikenali oleh rakyatnya sejak
dahulu lagi. Walaupun untuk kali ini,
beliau tidak turun berkempen kerana masih di dalam eddah namun visi dan misinya
akan disampaikan kepada rakyat Tanjung Datu melalui anak-anak dan keluarga
serta jentera BN Sarawak yang akan turun berkempen menemui rakyat
untuknya.
Johnny Bob ak Aput (STAR)
STAR sebagai
parti tempatan Sarawak pula mempertaruhkan Johnny Bob ak Aput yang berusia 54
tahun. Seorang anak Bidayuh yang berasal
dari Paon Rimu, Serian. Di dalam dunia
politik STAR, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Parti.
Setakat ini
yang diketahui, Johnny Bob tidaklah begitu dikenali oleh rakyat di Tanjung Datu
dan nampak gayanya beliau harus berkempen untuk mengwar-warkan dirinya dengan
lebih berkesan. Namun begitu misi dan
visi yang dibawa oleh Johnny Bob begitu dekat di hati rakyat iaitu Autonomi
seperti yang dicatitkan di dalam Perjanjian Malaysia 1963. Ianya hampir sama dengan apa yang diperjuangkan
oleh Allahyarham Tok Nan selama ini sehingga setiap apa yang dilakukannya
sememangnya menjadikan aspirasi bagi setiap anak Sarawak.
Rapelson Richard Hamit (PBDS Baru)
Berasal dari
Siburan dan ayah kepada seorang anak ini masih muda iaitu 31 tahun
usianya. Seorang aktivis sosial yang
sememangnya agak terkenal di dalam menyuarakan hak Dayak di dalam Native Customary
Rights (NCR Land). Pemegang Ijazah Sains
Politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ini bukanlah asing di dalam
dunia politik Sarawak memandangkan pada PRK Ke-11 lepas, beliau mewakili Parti
Amanah Nasional (PAN) di N26 Gedong. Pada PRK itu, beliau hanya mendapat 699
undi sementara calon bebas Uja Bansi mendapat 396 undi. BN/PBB pula pada waktu itu yang diwakili oleh
Datuk Mohd Naroden Majais menang majoriti dengan 4,064 undi.
Kali ini bertanding
bukan dibawah panji PAN sebaliknya sebuah parti tempatan iaitu Parti Baru Dayak
Sarawak sememangnya sesuatu yang agak songsang dengan perjuangannya sebelum
ini. Namun begitu sebagai aktivis
sosial, Rapelson tetap dengan misi dan visinya memperjuangkan tanah NCR
lebih-lebih lagi isu “Pemakai Menoa” dan “Pulau Galau” sememangnya satu isu
yang mendapat tempat di hati pengundi Dayak.
Namun sekali lagi adakah beliau dikenali oleh rakyat Tanjung Datu yang
pelbagai kaum dan budaya turut akan memainkan peranan yang penting sepanjang
berkempen kelak.
Bolehlah
dirangkumkan bahawa ketiga-tiga personaliti ini mempunyai kekuatan
masing-masing dari segi visi dan misi yang dibawa untuk tatapan dan perjuangan rakyat
di Tanjung Datu. Cuma kekuatan DPDA
Hajjah Jamilah agak terserlah kerana beliau sudah cukup dikenali di Tanjung
Datu malah dikatakan mendapat mandate sendiri dari penyokong PBB di akar umbi
sementara kedua-dua calon dari PBDS dan STAR masih lagi cuba untuk
berjingkit-jingkit menguak pintu hati pengundi di Tanjung Datu.
Negara
Malaysia sebuah Negara demokrasi dan kita semua menghormati setiap calon yang
bertanding di N03 Tanjung Datu. Rakyat
Tanjung Datu sudah semestinya tahu apa yang mereka mahukan kerana legasi
pemerintahan Tok Nan yang cemerlang itu terletak di tangan mereka.
Gendang
bertandak sudah dipalu
Rentak tari
janganlah sumbang
Bertingkahlah
di dalam semangat bersatu
Sarawak akan
terus cemerlang, gemilang dan terbilang.