MASIH panas lagi cerita mengenai rampasan rasuah SPRM
yang merupakan nilai rampasan yang terbesar di dalam sejarah SPRM menjadi tajuk
utama perbualan rakyat Malaysia, muncul pula seorang “Hero” anak didik
pengerusi DAP Sarawak membuat kenyataan media mengenai isu perangi rasuah yang
akan mereka (DAP) lakukan usai sahaja mengambilalih Putrajaya.
Disebalik “kecerdikan” Abdul Aziz Isa mengatur bicara
di dalam kenyataan medianya mengenai isu perangi rasuah ini seperti ada sesuatu
yang tidak kena apabila berbicara mengenai isu rasuah yang melibatkan ahli
politik DAP sendiri. Sebagai barisan hadapan Barisan Nasional
Sarawak, Pemuda BN Sarawak telah memberi maklumbalas mereka ke atas kenyataan
media yang dibuat oleh Pemuda Sosialis DAP Sarawak.
======================
KENYATAAN MEDIA PEMUDA BN SARAWAK, SEBAGAI RESPON
KEPADA KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS DAP SARAWAK
Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak mencabar Pemuda
Sosialis DAP supaya memulakan usaha memerangi rasuah di Pulau Pinang jika
mereka benar-benar serius mahu memerangi gejala rasuah seperti yang mereka
dakwa.
Tidak perlu untuk Pemuda Sosialis DAP menunggu kononnya
sehingga berjaya menawan Putrajaya untuk memerangi rasuah, sebaliknya mereka
seharusnya memulakanya di negeri yang kini dalam pentadbiran pembangkang
khususnya Pulau Pinang.
Di Pulau Pinang, Ketua Menterinya sendiri kini
berdepan perbicaraan di Mahkamah atas pertuduhan rasuah berhubung penukaran
status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot
tanah dan banglo di bawah nilai pasaran, dengan perbicaraan masih lagi
berjalan.
Manakala Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC)
negeri Pulau Pinang untuk Projek Terowong Dasar Laut bernilai RM6.34 bilion
yang penuh dengan kontroversi juga sudah dua kali gagal dibentangkan di Dewan
Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan kini sudah terlewat selama setahun.
Malahan, kos yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang
untuk kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut yang mencecah RM305
juta itu juga masih menjadi persoalan besar bagi rakyat Pulau Pinang sendiri.
Ini jelas membuktikan Kenyataan media yang dibuat oleh
Abdul Aziz Isa, Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak yang juga Setiausaha
Publisiti Pemuda Sosialis DAP Petra Jaya, kononnya mereka akan memerangi rasuah
besar-besaran jika berjaya menawan Putrajaya, sebagai gimik dan sandiwara
politik semata-mata serta ibarat 'cakap tidak serupa bikin'.
Memerangi dan menghapuskan rasuah sememangnya menjadi
salah satu keutamaan Kerajaan BN selama ini dan usaha berterusan dilakukan
untuk memperkukuh dan memartabatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM). DAP pula hanya pandai mempolitikkan isu dan hanya pandai bermain
'blaming game'.
SPRM bertindak tanpa mengira latar belakang parti
dengan banyak tangkapan sudah dibuat termasuk yang terbesar di Sabah baru-baru
ini. Itulah komitmen Kerajaan BN dalam membenteras rasuah dengan kebebasan diberikan
kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan memerangi rasuah.
Malah di Sarawak, YAB Ketua Menteri amat lantang
bersuara membanteras rasuah dan memberi amaran akan menyokong tindakan tegas
terhadap pelaku rasuah. Ini dapat disaksikan dengan pembekuan permit pembalakan
dan perladangan serta usaha memerangi pembalakan haram secara berterusan. Pada
masa sama juga agensi penguatkuasaan negeri semakin diperkasakan.
Merujuk kepada kenyataan Bank Dunia pada 2008 bahawa
rasuah jika tidak dibendung boleh menyebabkan negara kerugian RM10 billion
setahun dari segi pertumbuhan domestik, ia hanyalah merupakan kenyataan secara
umum. Bank Dunia menyebut secara am bahawa rasuah boleh menyebabkan kadar
pertumbuhan ekonomi sesebuah negara boleh berkurangan antara 2% hingga 4%. Bank
Dunia tidak mengatakan bahawa Malaysia mengalami kehilangan RM10 billion kerana
gejala rasuah.
Kenyataan Pemuda Sosialis DAP yang kononnya Ketua
Audit Negara melaporkan bahawa RM28 billion telah dibazirkan dalam pemerolehan
kerajaan juga tidak tepat. Ketua Audit Negara tidak pernah mengeluarkan laporan
sebegini dan besar kemungkinan, angka RM28 billion ini dipetik dari propaganda
media sosial pembangkang sendiri.
Justeru Pemuda BN Sarawak berharap supaya Pemuda
Sosialis DAP lebih bertanggung jawab diatas kenyataan rasmi mereka dan tidak
lagi memetik angka dan fakta salah dari sumber yang tidak sahih untuk
mengelirukan rakyat.
Hakikatnya Kerajaan BN sudah lama memerangi rasuah dan
penyelewengan, sedangkan Pemuda Sosialis DAP 'baru sedar dari tidur'.
Setiausaha Pemuda BN Sarawak,
Leonard anak Jambu.
9.10.2016