MENGHITUNG hari tarikh penamaan calon PRK N3 Tanjung Datu yang
akan diadakan pada tanggal 4 Februari 2017 ini.
Walau sudah ada yang mencongak kemungkinan besar BN akan menang tanpa
bertanding apabila PKR Sarawak sudah awal menyatakan mereka tidak akan
bertanding di PRK kali ini. Keputusan
PKR Sarawak itu haruslah dilihat dari segi positif kerana ianya juga
membuktikan bahawa legasi kepimpinan Tok Nan di Tanjung Datu amat dihormati
oleh rakan mahupun lawannya selama ini.
Namun begitu, BN Sarawak tetap tidak mahu terlalu yakin kerana
kita semua mengamalkan sistem demokrasi yang mana sesiapa sahaja berhak untuk
bertanding selagi ianya layak. Dikatakan
2 calon bebas yang terdiri daripada anak tempatan Tanjung Datu dikhabarkan akan
mencabar calon BN nanti. Untuk itu juga
melalui Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom mengwar-warkan
bahawa berkemungkinan besar 1 Februari ini merupakan tarikh penting bagi
mengumumkan siapakah calon pilihan untuk mewakili BN-PBB di Tanjung Datu
kelak. Ianya sudah tentu akan diumumkan
oleh Presiden PBB yang juga KM Sarawak sendiri iaitu Datuk Amar Abg Jo
nanti.
Setakat ini yang diketahui sudah ada 4 calon yang sudah
disenaraipendekkan untuk menjadi pilihan winnable candidate BN di PRK ini
kelak. Tiada bayangan siapakah mereka ini
kerana ianya tetap menjadi rahsia kepada BN Sarawak. Mungkinkah isteri kepada Allahyarham Tok Nan
iaitu Datin Patinggi Hajjah Jamilah Anu Datu atau mungkin juga 2 anak lelakinya
akan menjadi penerus legasi kepimpinan Tok Nan di dalam arena politik Sarawak
masih lagi samar-samar. Atau mungkin
juga anak tempatan Tanjung Datu sendiri yang akan dipilih seperti yang jelas
kedengaran laungannya di peringkat akar umbi.
Yang pasti biar siapa sahaja calon BN di PRK Tanjung Datu kelak
samada akan bertanding atau menang di tebing, biarlah orangnya mampu menggalas
segala tanggungjawab yang selama ini dipikul oleh Allahyarham Tok Nan dengan
jayanya. Kerana itulah sahaja permintaan
rakyat di Tanjung Datu kerana dialah nanti yang akan berkhidmat untuk mereka
dan mampu menjadikan Tanjung Datu lebih makmur nanti.