Thursday 24 October 2019

SARAWAK REGATTA SEJAK 1871


HUJUNG minggu ini merupakan bermulanya acara sukan air terbesar di Sarawak yang dikenali sebagai Sarawak Regatta.  Jika dahulu ianya adalah sukan air kecil-kecilan sahaja namun sekarang ianya telah diangkat sebagai satu acara nasional di dalam kalendar Negeri Sarawak.  

Menyelusuri sejarah sukan regatta Sarawak yang mana lokasi utamanya di Sungai Sarawak sudahpun bermula sejak di zaman Brooke memerintah lagi. Pada waktu masyarakat Sarawak tidaklah bersatu padu seperti sekarang sebaliknya masih banyak pertelingkahan kaum yang menyebabkan Sarawak boleh di dalam huru hara.  Bagi meredakan permasalah ini maka seorang penjawat awam bangsa Eropah Brooke mencadangkan agar satu sukan diadakan bagi memberikan kaum-kaum yang bertingkah sedikit ruang untuk berdamai.   

Pemilihan sukan air iaitu sukan lumba perahu sebenarnya mempunyai ceritanya tersendiri. Ini kerana sungai atau pengangkutan air itu merupakan nadi utama rakyatnya dari dahulu sehingga sekarang. Dek kerana itu, sudah pasti rakyat Sarawak tanpa mengira kaum amat arif tentang teknologi membuat perahu tradisional mahupun cara untuk mendayung dengan betul. Jadi sememangnya sukan lumba perahu itu merupakan satu-satunya sukan yang dijangka boleh menyatupadukan semua pihak.

Sekitar Januari 1871 itulah satu sukan lumba perahu diadakan di Sungai Sarawak.  Bagi memastikan bahawa sukan ini mendapat sambutan dikatakan Rajah Charles Brooke iaitu Rajah kedua Sarawak telah bertindak sendiri menghantar kapalnya yang bernama “Maimunah” untuk menghantar undangan kepada semua ketua kaum di Sarawak mengenai perlumbaan ini. Walau pada masa itu dikatakan beliau tidak begitu pasti tentang maklumbalas masyarakat Sarawak namun ternyata respons yang diterima amat positif.

Bermula dari penerimaan undangan untuk menyertai Sarawak Regatta itulah dikatakan ramai ketua kaum telah berganding bahu dengan pengikut mereka untuk pergi ke hutan mencari kayu yang terbaik untuk membuat perahu. Pelbagai kaedah digunakan dengan setiap satu daripada kaum menampilkan ciri-ciri unik bagi menonjolkan keseniaan dan kekuatan kaum mereka. Selain daripada itu, pendayung-pendayung pula dipilih di kalangan mereka yang kuat dan pandai tentang seni berdayung perahu. Malah ada segelintir daripada pasukan pada masa itu turut “menyembunyikan” latihan mereka bagi memastikan sentiasa ada kejutan sewaktu pertandingan kelak.

Mungkin sekarang imbuhan memenangi sukan lumba perahu dan dinobatkan sebagai “Raja Air Sungai Sarawak” menjadi pendokong semangat untuk setiap pasukan yang menyertainya namun suatu waktu dahulu memenangi sukan ini berkait langsung dengan maruah kaum. Maruah sebagai pendominasi dunia sukan air di Sarawak itu lebih penting berbanding segalanya.

#SarawakRegatta2019 

No comments:

Post a Comment